Surat rayuan kepada PM, Najib, Anwar dan Dr Zulkifli

DENGAN nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Berkuasa, selepas sekian lama saya beristikharah memohon petunjuk daripada Allah S.W.T. dan melihatkan kesusahan rakyat di samping data serta fakta daripada KWSP, Kementerian Kewangan, Kementerian Kesihatan berkait COVID-19, serta agensi-agensi kritikal yang lain, saya memutuskan untuk menulis surat rayuan berikut kepada para pemimpin kita. 

Kurang 24 jam lagi undian belanjawan di Parlimen akan memutuskan sama ada Belanjawan 2021 akan ditolak atau diluluskan. Demi Allah, ujian pandemik ini terlalu berat dan membebankan buat segenap lapisan masyarakat dan jangkaan jangkitan COVID-19 empat angka sehari secara berterusan bakal menggugat kestabilan ekonomi dan sosial negara. Sekiranya belanjawan ditolak, tiada MP yang mendapat sokongan majoriti, dan mendorong Pilihan Raya Umum terpaksa dilaksanakan segera, bencana yang lebih besar tidak mustahil berlaku.

Maka saya sebagai rakyat biasa yang tidak mempunyai sebarang kepentingan jawatan dalam mana-mana parti politik, GLC, mahu pun GLIC telah menulis surat rayuan berbeza kepada empat pemimpin kita iaitu YAB Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, Ketua BBC BN di Parlimen Datuk Seri Najib Razak, Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan juga Menteri Agama Sahibus Samahah Datuk Dr. Zulkifli al-Bakri. 

Advertisement

Mengambil iktibar peristiwa peletakan Batu Hajarul Aswad selepas Makkah dilanda banjir besar, para pemimpin kita wajib merenungi bagaimana Rasulullah S.A.W berjaya menyatukan ketua-ketua puak yang berbeza dalam keadaan krisis yang hampir mencetuskan peperangan. Berikut kandungan empat pucuk surat rayuan saya. 

Surat kepada YAB Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin

Assalamualaikum W.B.T YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin,

Semoga Tan Sri berada dalam keadaan yang sihat sejahtera serta berterusan dibimbing Yang Maha Esa dalam memimpin kerajaan, rakyat, dan negara. Pertamanya saya memohon ampun dan maaf kerana surat saya ini hadir dalam keadaan Tan Sri serta seluruh barisan Kabinet sedang sibuk bersedia menjelang pengundian Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat esok. 

Namun begitu saya mewakili suara rakyat biasa yang sangat terkesan dengan perkembangan politik negara untuk mencoretkan sedikit rasa, menyampaikan rayuan kami kepada Tan Sri. Tidak kira sama ada nelayan, petani, buruh, peniaga, mahu pun usahawan berjaya, saat ini seluruh lapisan rakyat sedang bergelut dengan krisis pandemik yang pastinya Tan Sri cukup sedar kedahsyatannya. 

Sungguh, belanjawan yang kerajaan Tan Sri bentangkan sememangnya komprehensif. Namun percayalah, tiada apa yang sempurna selagi sesuatu rancangan itu dirangka oleh tangan-tangan kita hamba-Nya yang tidak sempurna. Maka saya dengan ini merayu supaya Tan Sri tidak hanya membaca data-data rasmi semata-mata, sebaliknya turut merasakan denyut nadi rakyat, mengambil kira beberapa sentimen besar lain yang turut diharapkan oleh rakyat di luar sana.

Tan Sri, sesungguhnya saya dan jutaan rakyat yang lain amat mengetahui betapa sejak Tan Sri menjadi Perdana Menteri pada Mac tahun ini, tidak kurang 4 pakej rangsangan ekonomi telah dilancarkan: PRIHATIN, PRIHATIN PKS, PENJANA dan KITA PRIHATIN yang berjumlah RM305 bilion keseluruhannya. 

Belanjawan 2021 yang kerajaan pimpinan Tan Sri bentangkan pula bernilai RM322.5 bilion, iaitu yang terbesar dalam sejarah negara. Kesemuanya bernilai RM627.5 bilion – satu jumlah yang cukup besar dan kami sebagai rakyat menghargai keputusan serta usaha Tan Sri dan seluruh kakitangan kerajaan yang terlibat. 

Namun begitu, saat ini rakyat cukup terdesak. Terlalu terdesak. Tidak keterlaluan jika saya tegaskan bahawa jutaan rakyat di luar sana memerlukan keputusan segera berkait dengan dua cadangan yang dikemukakan oleh MP Pekan Datuk Seri Najib Razak iaitu pengeluaran Akaun 1 KWSP RM10,000 secara ‘One-Off’ dan Lanjutan Moratorium secara pukal 6 bulan lagi sehingga 30 Jun 2021. 

Percayalah Tan Sri, jutaan rakyat yang menyokong kedua-dua usul BN ini sama sekali tidak bermakna mereka menolak Belanjawan 2021 yang telah kerajaan Tan Sri usahakan. Tidak sama sekali. Sebaliknya, rakyat melihat ada ruang penambahbaikan yang boleh diusahakan.

Dalam kes pengeluaran KWSP sebagai contoh, Datuk Seri Najib sendiri telah bagaimana dana yang diperlukan untuk pengeluaran Akaun 1 KWSP maksimum RM10,000 itu adalah sekitar RM30-40 bilion berbanding dana semasa KWSP berjumlah RM940 bilion. 

Memandangkan 54 peratus dana KWSP adalah dalam bentuk instrumen pendapatan tetap seperti bon-bon kerajaan, maka Bank Negara boleh membeli balik beberapa bon atau sukuk berkadar sederhana untuk menampung keperluan ini tanpa menjejaskan pasaran bon.

Kedua, kerajaan boleh menaikkan kadar caruman (majikan dan pekerja) apabila pandemik berakhir untuk menaikkan kembali dana KWSP. Ketiga, kerajaan boleh menyediakan pelaburan berpotensi keuntungan tinggi dalam bentuk projek-projek kerajaan untuk dilaburkan oleh KWSP bagi membolehkan KWSP menampung kembali keuntungan mereka.

Keempat, KWSP juga boleh menstrukturkan pembayaran dividen dalam bentuk ‘multi-layered dividend payment’ yang mana pencarum yang mempunyai penyimpanan yang rendah mendapat dividen yang lebih tinggi. Dalam jangka panjang boleh menampung kembali dana pencarum yang dikeluarkan waktu kecemasan dan kesusahan ketika COVID-19 ini. Begitulah perincian cadangan mekanisme daripada Datuk Seri Najib Razak.

Janganlah sampai kerajaan Tan Sri disalah anggap sebagai menafikan para pencarum KWSP daripada mengakses wang milik mereka sendiri dalam keadaan mereka sangat-sangat terdesak. 

Begitu juga dalam kes pelanjutan moratorium. Amatlah malang jika kerajaan Tan Sri disalah anggap hanya mengutamakan kepentingan bank-bank swasta, sedangkan kerajaan Tan Sri telah membelanjakan lebih RM300 bilion untuk orang susah dan rakyat segenap lapisan masyarakat (bukan sahaja Mak Cik Kiah) sejak Mac lalu. 

Tan Sri pastinya mengetahui bahawa keuntungan bank-bank Malaysia bagi suku ketiga 2020 sahaja dijangka akan naik antara 25 peratus hingga 30 peratus lebih tinggi berbanding suku ke-2 biarpun moratorium secara pukal telah dilaksanakan sepanjang tempoh suku ketiga sehingga 31 September 2020. Benar, kadar keuntungan yang dicatat bank-bank kita telah merosot sekitar RM6 bilion akibat moratorium pinjaman pukal tempoh hari, namun tidaklah sampai mereka mencatatkan kerugian.

Dalam kita berhadapan dengan krisis pandemik COVID-19 ini, saya merayu Tan Sri untuk membuktikan jiwa besar Tan Sri melalui paradigma ‘positive-sum game’ iaitu saling menang-menang, dan bukannya ‘Zero-sum game’ yakni ada ‘kalah menang’ dalam mempertimbangkan kedua-dua usul BN tersebut dengan Belanjawan 2021. Menerima cadangan pengeluaran KWSP dan pelanjutan moratorium ini tidaklah bermakna Tan Sri kalah, tidak juga bermakna Tan Sri salah. 

Demi rakyat, demi negara, Tan Sri usahakanlah untuk duduk bersama dan mencapai konsensus bukan sahaja dengan BN, bahkan juga dengan pembangkang yang saat ini dipimpin Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Saya menjemput Tan Sri untuk menghayati peristiwa peletakan Batu Hajarul Aswad selepas Makkah dilanda banjir besar dahulu. Ketika itu, ketua puak Arab saling berebut untuk meletakkan batu Hajarul Aswad kembali ke Kaabah. 

Junjungan besar kita Rasulullah S.A.W membuktikan kepimpinan Baginda ketika itu; Baginda bertindak membentangkan kain dan meletakkan Hajarul Aswad di tengah-tengah kain tersebut. Baginda kemudiannya meminta wakil setiap kabilah memegang penjuru kain tersebut dan mengangkatnya bersama-sama ke sisi Kaabah. Setelah itu, Baginda mengangkat dan meletakkan Hajarul Aswad di tempat asal, sekali gus mengelakkan berlakunya peperangan.

Saya sebagai rakyat biasa yang tidak mempunyai sebarang kepentingan jawatan mendoakan semoga Allah mempermudahkan segala urusan Tan Sri menjelang pengundian Belanjawan 2021 nanti. Walau apa sekali pun keputusan di Dewan Rakyat, saya pasti jutaan rakyat sudah pun menjadi saksi betapa Tan Sri dan barisan Kabinet Tan Sri telah berusaha sebaiknya demi seluruh lapisan rakyat. Semoga Tan Sri juga berhasil menyatukan para pemimpin politik yang berbeza dalam keadaan krisis ini, persis mekanisme penyatuan Rasulullah S.A.W dalam peristiwa peletakan Hajarul Aswad dahulu. 

Surat kepada Ketua BBC BN Datuk Seri Najib Razak 

Assalamualaikum W.B.T YB Datuk Seri Najib Razak,

Semoga Datuk Seri berada dalam keadaan yang sihat sejahtera serta berterusan dipelihara-Nya Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. Izinkan saya sebagai seorang rakyat biasa yang sangat mengambil berat segenap perkembangan negara untuk mencoretkan sedikit rasa kepada Datuk Seri, mewakili jutaan rakyat yang lain juga di luar sana menjelang pengundian Belanjawan 2021 nanti. Tidak kira sama ada nelayan, petani, buruh, peniaga, mahu pun usahawan berjaya, saat ini sedang bergelut dengan krisis pandemik yang pastinya Datuk Seri cukup sedar kedahsyatannya. 

Wajib saya tegaskan betapa rakyat tidak akan lupa bahawa Kerajaan BN pimpinan Datuk Seri dahulu telah mewariskan ekonomi negara yang cukup stabil sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 pada Mei 2018: Pertumbuhan KDNK dengan kadar 5.9 peratus (hinggakan Bank Dunia mengunjurkan Malaysia bakal mencapai status negara berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020), kadar pertumbuhan eksport negara sebanyak 18.9 peratus, bursa saham yang mencapai paras tertinggi dalam sejarah (April 2018), dividen KWSP yang tertinggi dalam tempoh 20 tahun, defisit bajet yang menurun 8 tahun berturut-turut, rizab tunai Petronas RM176 bilion, nilai aset bersih Khazanah Nasional sebesar RM116 bilion, nisbah hutang negara kepada KDNK pada paras 48.7 peratus, serta penurunan kebergantungan negara kepada hasil minyak kepada 12.7 peratus sahaja.

Terkini, dalam keadaan negara kita hebat dibadai pandemik COVID-19, dua cadangan Datuk Seri iaitu pengeluaran Akaun 1 KWSP RM10,000 secara ‘One-Off’ dan lanjutan moratorium secara pukal 6 bulan lagi sehingga 30 Jun 2021 benar-benar bermakna kepada jutaan rakyat di luar sana. 

Datuk Seri bukan sahaja mengemukakan dua usul yang secara langsung menyentuh nadi jutaan rakyat yang sedang dalam kesusahan, bahkan juga memperincikan mekanisme bagaimana kedua-dua usul Datuk Seri itu boleh direalisasikan oleh kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini.

Namun begitu, izinkan saya menyampaikan rasa bimbang dengan pendirian Datuk Seri yang mungkin menolak Belanjawan 2021 sekiranya kedua-dua usul Datuk Seri itu tidak diterima oleh Kerajaan Perikatan Nasional. Datuk Seri, sesungguhnya situasi semasa benar-benar mendesak kita – khususnya para petugas barisan hadapan – untuk mengawal penularan COVID-19 yang memasuki gelombang ke-3. 

Dalam keadaan seluruh dunia menantikan penemuan vaksin, kita juga perlu bersedia memastikan sebaik sahaja tersedia, vaksin dapat disampaikan kepada seramai mungkin rakyat dalam jangka masa yang cepat; namun sekiranya Belanjawan 2021 ditolak, maka masa, sumber, dan tenaga kita akan benar-benar terpaksa disalurkan ke Pilihan Raya Umum ke-15.

Datuk Seri, kedua-dua cadangan Datuk Seri sememangnya bakal memanfaatkan jutaan rakyat. Namun begitu, Belanjawan 2021 juga cukup-cukup komprehensif. Saya memohon Datuk Seri agar berusaha meluluskannya bukan sahaja agar momentum pemulihan boleh diteruskan, tetapi juga kerana manfaat-manfaat lain berikut.

Dalam Belanjawan 2021, Skim Jaminan Penjanaan Pekerjaan (JanaKerja) Perikatan Nasional menyasarkan mewujudkan 500,000 peluang pekerjaan baharu. Ini termasuk pelbagai program peningkatan kemahiran dan latihan semula dengan perbelanjaan sebanyak RM3.7 bilion. 

Melalui Penjana Kerjaya yang bakal melibatkan 250,000 peluang pekerjaan, Insentif gaji bulanan untuk pekerja bergaji RM1,500 ke atas dinaikkan daripada kadar rata RM800 sebulan kepada 40 peratus daripada gaji bulanan terhad kepada maksimum RM4,000 sebulan untuk setiap pekerja. Bagi menggalakkan pengambilan golongan OKU, penganggur jangka panjang dan pekerja yang diberhentikan, insentif sehingga 60 peratus daripada gaji bulanan terhad kepada maksimum RM6,000 sebulan. Insentif ini diberikan untuk tempoh 6 bulan.

Melalui MySTEP yang bakal melibatkan 50,000 peluang pekerjaan, sebanyak 15,000 penempatan di GLC dan 35,000 penempatan di sektor awam, dalam bidang seperti kesihatan, perguruan, kewangan dan teknikal. 

Melalui program peningkatan kemahiran dan latihan semula yang bakal melibatkan 200,000 peluang pekerjaan pula, latihan semula kepada golongan pencari kerja seperti KPT-PACE, Latihan kepada Veteran Tentera, dan Peralihan Bakat Tenaga Sedia Ada akan dilaksanakan. 

Kerajaan juga akan melaksanakan Program Subsidi Upah (PSU) Bersasar untuk sektor pelancongan dan peruncitan untuk 3 bulan pada 2021, yang dijangka memanfaatkan 900,000 pekerja dalam sektor-sektor ini. 

Projek-projek infrastruktur dan peruntukan pembangunan untuk membolehkan syarikat-syarikat mewujudkan pekerjaan merentasi lebih 30 sektor perniagaan turut digariskan dalam Belanjawan 2021.

Seperti mana jangkaan Kementerian Kewangan, jika Belanjawan 2021 diluluskan dan dilaksanakan, Insya-Allah, kita dapat menambah pekerjaan, menambah sumber pendapatan, dan merangsang ekonomi setinggi 4 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). 

Dalam kita berhadapan dengan krisis pandemik COVID-19 ini, saya merayu Datuk Seri untuk membuktikan jiwa besar Datuk Seri melalui paradigma ‘positive-sum game’ iaitu saling menang-menang, dan bukannya ‘Zero-sum game’ yakni ada ‘kalah menang’ dalam mempertimbangkan kedua-dua Belanjawan 2021 dengan usul Datuk Seri. Menyokong Belanjawan 2021 ini tidak bermakna Datuk Seri salah dan salah. 

Demi rakyat, demi negara, Datuk Seri usahakanlah untuk duduk bersama dan mencapai konsensus bukan sahaja dengan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, tetapi juga dengan Menteri Kewangan YAM Tengku Zafrul.

Saya menjemput Datuk Seri untuk menghayati peristiwa peletakan Batu Hajarul Aswad selepas Makkah dilanda banjir besar dahulu. Ketika itu, ketua puak Arab saling berebut untuk meletakkan batu Hajarul Aswad kembali ke Kaabah. 

Junjungan besar kita Rasulullah S.A.W membuktikan kepimpinan Baginda ketika itu; Baginda bertindak membentangkan kain dan meletakkan Hajarul Aswad di tengah-tengah kain tersebut. Baginda kemudiannya meminta wakil setiap kabilah memegang penjuru kain tersebut dan mengangkatnya bersama-sama ke sisi Kaabah. Setelah itu, Baginda mengangkat dan meletakkan Hajarul Aswad di tempat asal, sekali gus mengelakkan berlakunya peperangan.

Saya sebagai rakyat biasa yang tidak mempunyai sebarang kepentingan jawatan mendoakan semoga Allah mempermudahkan segala urusan Datuk Seri menjelang pengundian Belanjawan 2021 nanti. Walau apa sekali pun keputusan di Dewan Rakyat, saya pasti jutaan rakyat sudah pun menjadi saksi betapa Datuk Seri cukup dekat dengan denyut nadi rakyat. Semoga Datuk Seri sudi bersatu-padu dengan para pemimpin politik yang berbeza dalam keadaan krisis ini, persis mekanisme penyatuan Rasulullah S.A.W dalam peristiwa peletakan Hajarul Aswad dahulu. 

Surat kepada Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim

Assalamualaikum W.B.T YB Datuk Seri Anwar Ibrahim,

Semoga Datuk Seri berada dalam keadaan yang sihat sejahtera serta berterusan di bawah lindungan rahmat-Nya Yang Maha Berkuasa. Izinkan saya sebagai seorang rakyat biasa yang sangat terkesan dengan perkembangan negara untuk mencoretkan sedikit rasa kepada Datuk Seri, mewakili jutaan rakyat yang lain juga di luar sana menjelang pengundian Belanjawan 2021 nanti. Tidak kira sama ada nelayan, petani, buruh, peniaga, mahu pun usahawan berjaya, saat ini sedang bergelut dengan krisis pandemik yang pastinya Datuk Seri cukup sedar kedahsyatannya. 

Kebenaran tidak boleh dinafikan. Datuk Seri adalah mantan Menteri Kewangan Terbaik Asia, pernah menjadi Pengerusi Development Committee of The World Bank dan IMF. Datuk Seri bahkan menghentikan pinjaman negara daripada World Bank pada tahun 1993. Datuk Seri turut berusaha membatalkan hutang negara-negara paling miskin di Afrika melalui inisiatif HIPC (Heavily Indebted Poor Countries), mendesak kuasa besar seperti Amerika dan mantan PM Britain Gordon Brown dahulu. 

Maka sebagai rakyat yang kini dihimpit pandemik COVID-19, kami menghargai kesemua enam usul Belanjawan 2021 yang dikemukakan Pakatan Harapan pimpinan Datuk Seri: meningkatkan peruntukan kepada Kementerian Kesihatan bagi menangani COVID-19 dan penyakit tidak berjangkit (NCD); pelanjutan moratorium sehingga 31 Mac 2021; langkah memperkasakan perlindungan sosial, jaringan keselamatan dan pembayaran kebajikan kepada golongan berisiko serta penganggur dengan meningkatkan bantuan kebajikan kepada RM1,000; meneruskan subsidi upah sehingga 31 Mac 2021; serta syor peningkatan perbelanjaan pendidikan serta menyediakan perbelanjaan pembangunan untuk projek berkaitan pelan gentian optik dan kesalinghubungan selain menaik taraf insfrastruktur air Selangor, Kelantan dan Pahang.

Persoalan Datuk Seri berkait unjuran pertumbuhan KDNK Kementerian Kewangan sebanyak 8.6-9.6 peratus bagi tahun 2021 dan pertambahan hasil yang tinggi juga berasas kerana unjuran pertumbuhan yang rendah telah dibuat oleh badan-badan Antarabangsa seperti World Bank dan IMF, dan juga Bank Negara sendiri. 

Namun begitu, izinkan saya menyampaikan rasa bimbang dengan pendirian Datuk Seri yang mungkin menolak Belanjawan 2021 sekiranya kesemua usul Datuk Seri itu tidak diterima oleh Kerajaan Perikatan Nasional. Datuk Seri, sesungguhnya situasi semasa benar-benar mendesak kita – khususnya para petugas barisan hadapan – untuk mengawal penularan COVID-19 yang memasuki gelombang ke-3. 

Dalam keadaan seluruh dunia menantikan penemuan vaksin, kita juga perlu bersedia memastikan sebaik sahaja tersedia, vaksin dapat disampaikan kepada seramai mungkin rakyat dalam jangka masa yang cepat; namun sekiranya Belanjawan 2021 ditolak, maka masa, sumber, dan tenaga kita akan benar-benar terpaksa disalurkan ke Pilihan Raya Umum ke-15.

Datuk Seri, kesemua enam cadangan Datuk Seri sememangnya bakal memanfaatkan jutaan rakyat. Namun begitu, Belanjawan 2021 juga cukup-cukup komprehensif. Saya memohon Datuk Seri agar berusaha menyokongnya bukan sahaja agar momentum pemulihan boleh diteruskan, tetapi juga kerana manfaat-manfaat lain berikut.

Dalam Belanjawan 2021, Skim Jaminan Penjanaan Pekerjaan (JanaKerja) Perikatan Nasional menyasarkan mewujudkan 500,000 peluang pekerjaan baharu. Ini termasuk pelbagai program peningkatan kemahiran dan latihan semula dengan perbelanjaan sebanyak RM3.7 bilion. 

Melalui Penjana Kerjaya yang bakal melibatkan 250,000 peluang pekerjaan, Insentif gaji bulanan untuk pekerja bergaji RM1,500 ke atas dinaikkan daripada kadar rata RM800 sebulan kepada 40 peratus daripada gaji bulanan terhad kepada maksimum RM4,000 sebulan untuk setiap pekerja. Bagi menggalakkan pengambilan golongan OKU, penganggur jangka panjang dan pekerja yang diberhentikan, insentif sehingga 60 peratus daripada gaji bulanan terhad kepada maksimum RM6,000 sebulan. Insentif ini diberikan untuk tempoh 6 bulan.

Melalui MySTEP yang bakal melibatkan 50,000 peluang pekerjaan, sebanyak 15,000 penempatan di GLC dan 35,000 penempatan di sektor awam, dalam bidang seperti kesihatan, perguruan, kewangan dan teknikal. 

Melalui program peningkatan kemahiran dan latihan semula yang bakal melibatkan 200,000 peluang pekerjaan pula, latihan semula kepada golongan pencari kerja seperti KPT-PACE, Latihan kepada Veteran Tentera, dan Peralihan Bakat Tenaga Sedia Ada akan dilaksanakan. 

Kerajaan juga akan melaksanakan Program Subsidi Upah (PSU) Bersasar untuk sektor pelancongan dan peruncitan untuk 3 bulan pada 2021, yang dijangka memanfaatkan 900,000 pekerja dalam sektor-sektor ini. 

Projek-projek infrastruktur dan peruntukan pembangunan untuk membolehkan syarikat-syarikat mewujudkan pekerjaan merentasi lebih 30 sektor perniagaan turut digariskan dalam Belanjawan 2021.

Seperti mana jangkaan Kementerian Kewangan, jika Belanjawan 2021 diluluskan dan dilaksanakan, Insya-Allah, kita dapat menambah pekerjaan, menambah sumber pendapatan, dan merangsang ekonomi setinggi 4 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). 

Dalam kita berhadapan dengan krisis pandemik COVID-19 ini, saya merayu Datuk Seri untuk membuktikan jiwa besar Datuk Seri melalui paradigma ‘positive-sum game’ iaitu saling menang-menang, dan bukannya ‘Zero-sum game’ yakni ada ‘kalah menang’ dalam mempertimbangkan kedua-dua Belanjawan 2021 dengan enam cadangan Datuk Seri dan Pakatan Harapan. Menyokong Belanjawan 2021 ini tidak bermakna Datuk Seri kalah mahu pun salah. 

Demi rakyat, demi negara, Datuk Seri usahakanlah untuk duduk bersama dan mencapai konsensus bukan sahaja dengan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, tetapi juga dengan Menteri Kewangan YAM Tengku Zafrul.

Saya menjemput Datuk Seri untuk menghayati peristiwa peletakan Batu Hajarul Aswad selepas Makkah dilanda banjir besar dahulu. Ketika itu, ketua puak Arab saling berebut untuk meletakkan batu Hajarul Aswad kembali ke Kaabah. 

Junjungan besar kita Rasulullah S.A.W membuktikan kepimpinan Baginda ketika itu; Baginda bertindak membentangkan kain dan meletakkan Hajarul Aswad di tengah-tengah kain tersebut. Baginda kemudiannya meminta wakil setiap kabilah memegang penjuru kain tersebut dan mengangkatnya bersama-sama ke sisi Kaabah. Setelah itu, Baginda mengangkat dan meletakkan Hajarul Aswad di tempat asal, sekali gus mengelakkan berlakunya peperangan.

Saya sebagai rakyat biasa yang tidak mempunyai sebarang kepentingan jawatan mendoakan semoga Allah mempermudahkan segala urusan Datuk Seri menjelang pengundian Belanjawan 2021 nanti. Walau apa sekali pun keputusan di Dewan Rakyat, saya pasti jutaan rakyat sudah pun menjadi saksi betapa Datuk Seri cukup dekat dengan denyut nadi rakyat. Semoga Datuk Seri sudi bersatu-padu dengan para pemimpin politik yang berbeza dalam keadaan krisis ini, persis mekanisme penyatuan Rasulullah S.A.W dalam peristiwa peletakan Hajarul Aswad dahulu. 

Surat kepada Menteri Agama Sahibus Samahah Datuk Dr. Zulkifli al-Bakri

Assalamualaikum W.B.T YB Datuk Seri Dr. Zulkifli al-Bakri,

Semoga Datuk Seri berada dalam keadaan yang sihat sejahtera serta berterusan dibimbing Yang Maha Esa dalam memimpin kerajaan, rakyat, dan negara. Pertamanya saya memohon ampun dan maaf kerana surat saya ini hadir dalam keadaan Datuk Seri serta seluruh barisan Kabinet sedang sibuk bersedia menjelang pengundian Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat esok. 

Namun begitu saya mewakili suara rakyat biasa yang sangat terkesan dengan perkembangan politik negara untuk mencoretkan sedikit rasa, menyampaikan rayuan kami kepada Datuk Seri. Tidak kira sama ada nelayan, petani, buruh, peniaga, mahu pun usahawan berjaya, saat ini seluruh lapisan rakyat sedang bergelut dengan krisis pandemik yang pastinya Datuk Seri cukup sedar kedahsyatannya. 

Sungguh, Belanjawan 2021 yang dibentangkan Kerajaan Tan Sri Muhyiddin Yassin sememangnya komprehensif. Namun saya percaya, Datuk Seri juga pasti menginsafi betapa tiada apa yang sempurna selagi sesuatu rancangan itu dirangka oleh tangan-tangan kita hamba-Nya yang tidak sempurna. Maka saya dengan ini merayu supaya Datuk Seri mengambil peranan pendamai dalam menyatukan beberapa pendirian berbeza Ahli Parlimen kerajaan dan juga pembangkang terhadap Belanjawan 2021 ini – persis peranan junjungan besar kita Rasulullah S.A.W yang menyatukan kabilah Arab sewaktu peristiwa peletakan batu Hajarul Aswad dahulu.

Sememangnya, Belanjawan 2021 yang kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin bentangkan bernilai RM322.5 bilion, iaitu yang terbesar dalam sejarah negara. Namun begitu, saat ini rakyat cukup terdesak. Terlalu terdesak. Tidak keterlaluan jika saya tegaskan bahawa jutaan rakyat di luar sana memerlukan keputusan segera berkait dengan dua cadangan khusus yang dikemukakan oleh MP Pekan Datuk Seri Najib Razak iaitu pengeluaran Akaun 1 KWSP RM10,000 secara ‘One-Off’ dan lanjutan moratorium secara pukal 6 bulan lagi sehingga 30 Jun 2021. 

Percayalah Dato Seri, jutaan rakyat yang menyokong kedua-dua usul BN ini sama sekali tidak bermakna mereka menolak Belanjawan 2021 yang telah Kerajaan Perikatan Nasional usahakan. Tidak sama sekali. Sebaliknya, rakyat melihat ada ruang penambahbaikan yang boleh diusahakan.

Dalam kes pengeluaran KWSP sebagai contoh, Datuk Seri Najib sendiri telah bagaimana dana yang diperlukan untuk pengeluaran Akaun 1 KWSP maksimum RM10,000 itu adalah sekitar RM30-40 bilion berbanding dana semasa KWSP berjumlah RM940 bilion. 

Memandangkan 54 peratus dana KWSP adalah dalam bentuk instrumen pendapatan tetap seperti bon-bon kerajaan, maka Bank Negara boleh membeli balik beberapa bon atau sukuk berkadar sederhana untuk menampung keperluan ini tanpa menjejaskan pasaran bon.

Kedua, kerajaan boleh menaikkan kadar caruman (majikan dan pekerja) apabila pandemik berakhir untuk menaikkan kembali dana KWSP. Ketiga, kerajaan boleh menyediakan pelaburan berpotensi keuntungan tinggi dalam bentuk projek-projek kerajaan untuk dilaburkan oleh KWSP bagi membolehkan KWSP menampung kembali keuntungan mereka.

Keempat, KWSP juga boleh menstrukturkan pembayaran dividen dalam bentuk ‘multi-layered dividend payment’ yang mana pencarum yang mempunyai penyimpanan yang rendah mendapat dividen yang lebih tinggi. Dalam jangka panjang boleh menampung kembali dana pencarum yang dikeluarkan waktu kecemasan dan kesusahan ketika COVID-19 ini. Begitulah perincian cadangan mekanisme daripada Datuk Seri Najib Razak.

Saya mohon kepada Datuk Seri, janganlah sampai Kerajaan Perikatan Nasional yang dianggotai Datuk Seri ini disalah anggap sebagai menafikan para pencarum KWSP daripada mengakses wang milik mereka sendiri dalam keadaan mereka sangat-sangat terdesak. 

Begitu juga dalam kes pelanjutan moratorium. Amatlah malang jika Perikatan Nasional yang dianggotai Datuk Seri ini disalah anggap hanya mengutamakan kepentingan bank-bank swasta, sedangkan kerajaan ini telah membelanjakan lebih RM300 bilion untuk orang susah dan rakyat segenap lapisan masyarakat (bukan sahaja Mak Cik Kiah) sejak Mac lalu. 

Datuk Seri pastinya mengetahui bahawa keuntungan bank-bank Malaysia bagi suku ketiga 2020 sahaja dijangka akan naik antara 25 peratus hingga 30 peratus lebih tinggi berbanding suku ke-2 biarpun moratorium secara pukal telah dilaksanakan sepanjang tempoh suku ketiga sehingga 31 September 2020. Benar, kadar keuntungan yang dicatat bank-bank kita telah merosot sekitar RM6 bilion akibat moratorium pinjaman pukal tempoh hari, namun tidaklah sampai mereka mencatatkan kerugian.

Dalam kita berhadapan dengan krisis pandemik COVID-19 ini, saya merayu Datuk Seri untuk menjadi perantara yang berjiwa besar dalam menyatukan semua pemimpin politik menjelang pengundian Belanjawan 2021 nanti. Datuk Seri boleh memujuk mereka dengan paradigma ‘positive-sum game’ iaitu saling menang-menang, dan bukannya ‘Zero-sum game’ yakni ada ‘kalah menang’ dalam mempertimbangkan usul BN, usul Pakatan Harapan, dan juga Belanjawan 2021. 

Demi rakyat, demi negara, Datuk Seri usahakanlah agar para pemimpin kita duduk bersama di Dewan Rakyat sewaktu pengundian Belanjawan 2021 nanti dan mencapai konsensus bukan sahaja dengan BN, bahkan juga dengan pembangkang yang saat ini dipimpin Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Saya menjemput Datuk Seri untuk menghayati peristiwa peletakan Batu Hajarul Aswad selepas Makkah dilanda banjir besar dahulu. Ketika itu, ketua puak Arab saling berebut untuk meletakkan batu Hajarul Aswad kembali ke Kaabah. Junjungan besar kita Rasulullah S.A.W membuktikan kepimpinan Baginda; Baginda bertindak membentangkan kain dan meletakkan Hajarul Aswad di tengah-tengah kain tersebut. Baginda kemudiannya meminta wakil setiap kabilah memegang penjuru kain tersebut dan mengangkatnya bersama-sama ke sisi Kaabah. Setelah itu, Baginda mengangkat dan meletakkan Hajarul Aswad di tempat asal, sekali gus mengelakkan berlakunya peperangan.

Saya sebagai rakyat biasa yang tidak mempunyai sebarang kepentingan jawatan mendoakan semoga Allah mempermudahkan segala urusan Datuk Seri mengusahakan penyatuan para pemimpin politik kita menjelang pengundian Belanjawan 2021 nanti. Walau apa sekali pun keputusan di Dewan Rakyat, saya pasti jutaan rakyat sudah pun menjadi saksi betapa Datuk Seri cukup dekat dengan denyut nadi rakyat. 

Semoga Allah S.W.T mempermudahkan usaha Datuk Seri dalam menyatukan para pemimpin politik yang berbeza dalam keadaan krisis ini, persis mekanisme penyatuan Rasulullah S.A.W dalam peristiwa peletakan Hajarul Aswad dahulu. 

ABDUL MUEIN ABADI 
Penyelidik PhD di Faculty of Governance and Global Affairs, Leiden University, Belanda – HARAKAHDAILY 25/11/2020

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.