Akta penyalahgunaan ketum perlu diwujud

- Advertisement -

KANGAR: Penyalahgunaan ketum bukan sahaja menyebabkan masalah ketagihan, malah dipercayai punca seorang anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) mati ditembak dalam satu kejadian di sempadan Malaysia-Thailand semalam.

- Advertisement -

Pesuruhjaya PAS Perlis, Mohd Shukri Ramli berkata, sudah tiba masanya pihak kerajaan menguatkuasakan undang-undang yang melibatkan penyalahgunaan daun ketum.

“Saya berasa amat dukacita dengan kematian yang melibatkan seorang perwira negara manakala seorang lagi mengalami cedera parah.

“Sudah tiba masanya kerajaan mengkategorikan daun ketum sebagai dadah dan dikenakan hukuman yang setimpal terhadap pengedaran dan penyalahgunaan daun tersebut.

“Penyalahgunaan daum ketum sudah lama berlaku, namun masih tiada undang-undang yang dapat digubal melibatkan penyalahgunaannya.

“Dengan kejadian yang berlaku ini, diharap pihak kerajaan akan memandang serius dan segera mengambil tindakan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Dalam kejadian pada 3.10 pagi semalam, mangsa, Koperal Baharuddin Ramli, 54, ditembak ketika bertugas bersama seorang lagi anggota PGA, Koperal Norihan A/L Tari, 39, yang mengalami kecederaan parah.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di Kangar dan mangsa yang cedera sedang dirawat di HTF dengan keadaannya dilaporkan kritikal. – HARAKAHDAILY 25/11/2020

- Advertisement -