Bajet 2021: Terengganu ambil kira kepentingan awam

Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri menunjukkan Buku Belanjawan 2021 Terengganu disaksikan Pegawai Kewangan Negeri Terengganu, Dato’ Zainal Abidin Hussin.
- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Belanjawan (Bajet) 2021 Terengganu yang baharu diluluskan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) ini mengambil kira kepentingan awam didahulukan.

Menteri Besarnya, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, Belanjawan yang dibentangkan setiap tahun adalah bagi menentukan halatuju dan keutamaan kerajaan.

- Advertisement -

Katanya, ia juga mempengaruhi aktiviti ekonomi yang melibatkan pelaburan, perindustrian, perusahaan, perniagaan serta menjamin kesejahteraan sosial dan menunaikan janji kepada rakyat.

“Dalam menyediakan dan meluluskan Belanjawan 2021 ini, kepentingan awam hendaklah didahulukan.

“Saya berkeyakinan penuh bahawa semua kritikan dan komentar yang dikemukakan oleh kita (Ahli Dewan) semua adalah atas dasar ukhuwwah fillah dan fastabiqul khairat seperti yang saya nyatakan sebelum ini,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan perbahasan persidangan Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga, Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu ke-14, di Wisma Darul Iman, hari ini.

Sehubungan itu, katanya kerajaan negeri telah mempertimbangkan faktor semasa dan unjuran jangka panjang dengan tidak membesarkan perbelanjaan dalam bajet kali ini.

“Sebaliknya mengambil pendekatan untuk melaksanakan belanjawan berasaskan keutamaan (priority-based budget) dalam kerangka kapasiti yang kita ada sekarang.

“Kerana itulah, kerajaan negeri konsisten menghadkan defisit tidak melebihi 10 peratus atau RM125 juta bagi Belanjawan 2021,” jelasnya.

Menurutnya, kerajaan yakin bahawa keseluruhan inisiatif ini mampu membentuk keseimbangan antara penawaran dan permintaan dalam ekosistem ekonomi negeri ini.

Pada 23 November lalu, beliau membentangkan Belanjawan 2021 Terengganu bertemakan ‘Melestarikan Kesejahteraan Bersama’ dengan peruntukan sebanyak RM1.375 bilion berbanding RM1.832 bilion pada tahun ini. – HARAKAHDAILY 25/11/2020

- Advertisement -