Dinaik pangkat Sarjan secara anumerta, dicadang pingat

Keberanian mendiang Baharuddin dan Norihan dianggap luar biasa

JEMPOL: Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersetuju menaikkan pangkat Koperal Baharuddin Ramli dan Koperal Norihan a/l Tari yang bertugas di Batalion 3 (Senoi Praaq) Briged Utara Pasukan Gerakan Am (PGA) kepada Sarjan, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador.

Beliau berkata mendiang Baharuddin menerima kenaikan pangkat itu secara anumerta.

“Saya telah berbincang dengan pengarah-pengarah jabatan (dalam PDRM) dan kami bersetuju menaikkan pangkat mendiang secara anumerta serta kepada Norihan atas keberanian luar biasa,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Advertisement

Abdul Hamid berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri upacara pengebumian mendiang Baharuddin yang dilangsungkan dengan penuh istiadat kepolisan sebelum disemadikan di Tanah Perkuburan Orang Asli, Kampung Sungai Sampo, Bandar Sri Jempol. 

Beliau juga berkata PDRM telah mencadangkan nama kedua-dua anggota PGA itu kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk dipertimbangkan bagi penganugerahan pingat keberanian sebagai menghargai jasa mereka. 
 
“Saya telah menyampaikan kepada Perdana Menteri supaya mendiang dan Koperal Norihan dipertimbangkan penghargaan tinggi dalam bentuk pingat,” katanya.

Abdul Hamid juga berkata pihaknya telah menyalurkan sumbangan daripada insurans berkelompok, Koperasi Polis Diraja Malaysia dan Tabung Amanah Perwira kepada keluarga mendiang.

“Selain itu, sumbangan juga diterima daripada Briged Utara, Batalion 3 dan Tabung Kebajikan Bukit Aman,” katanya.

Dalam insiden berbalas tembakan dengan kumpulan penyeludup di tembok sempadan Malaysia-Thailand di Padang Besar, Perlis pada 2.30 pagi semalam, Baharuddin, 54, terkorban manakala rakan setugasnya, Norihan, 39, cedera dan dirawat di Hospital Tuanku Fauziah, Kangar.

Terdahulu, Abdul Hamid meluangkan masa selama dua jam menziarahi keluarga serta memberikan penghormatan terakhir kepada mendiang.

Jasad Baharuddin selamat disemadikan pada 12:20 tengah hari dan upacara pengebumiannya dihadiri ratusan hadirin yang terdiri daripada keluarga, penduduk kampung serta pegawai dan anggota polis. – BERNAMA