Belanjawan 2021 semakin nampak sinar

Foto Jabatan Penerangan Malaysia sempena Bajet 2021 pada hari pembentangan 6 November 2020
- Advertisement -

ANALISIS: Sehari dua ini tiada berita lain yang menarik. Semua mata dan telinga tertumpu ke Parlimen. Dari Sabah ke Perlis masing-masing mencuri tumpuan menjengok apa yang berlaku di Dewan Rakyat.

Tidak kurang juga yang bimbang dan gusar. Rakyat boleh membuat kesimpulan mudah berdasar apa yang diungkap setiap ahli Parlimen.

Setiap ahli Parlimen mewakili kawasan masing-masing. Ada yang mempunyai ratusan ribu pengundi. Suara pengundilah yang mereka bawa.

- Advertisement -

Masalah sungai tercemar, banjir, longkang tersumbat, sekolah daif dan macam-macam lagi ahli Parlimen utarakan.

Itu normal sejak dahulu sehingga sekarang. Membelek ilmu politik pun, itulah tugas mereka, membawa suara rakyat. Di sisi teori Sains Politik ia dikenali sebagai sistem perwakilan kepentingan.

Namun ada sarjana meluahkan rasa bimbang antaranya Schumpeter. Ada kebimbangan ahli Parlimen menyisih daripada rakyat yang memilih mereka.

Nah ini yang benar-benar berlaku sekarang di negara kita. Bukan hari ini namun sejak dahulu lagi.

Wakil rakyat menyimpang daripada rakyat yang memilih berlaku di mana-mana. Ada istilah menyebut nomadisme.

Di Malaysia dianggap tidak salah berhijrah daripada sokongan rakyat ketika pilihan raya. Ia tidak boleh diadili di mahkamah.

Perkara 10(1)(C) memberi hak kepada individu berpersatuan (parti). Kerajaan Kelantan pernah gagal membawa kes lompat parti ke mahkamah pada 1992.

Bagi ahli Parlimen yang menjejaki nomadisme mereka ada seribu alasan. Kata orang kampung hijrah ke arah kebaikan.

Berpangkal rentetan yang berlaku itulah muncul kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang mengemudi bahtera di Putrajaya sejak 1 Mac lepas.

Ternyata ia dianggap hijrah ke arah kepentingan ummah. Kerajaan PN terus mara biarpun mengharungi ejekan pembangkang tanpa jemu.

Macam-macam istilah mereka gunakan. Pembangkang gemar menggunakan istilah rapuh. Sebelum tebuk atap. Biarlah itu hak mereka.

Bagi Pak Mat, tebuk atap ketika paras banjir memuncak mampu menyelamatkan banyak nyawa. Inilah yang berlaku sekarang. Tebuk atap kerana menyelamatkan keadaan.

Suhu kebimbangan yang muncul selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 sentiasa mendidih sebelum ini.

Ketuanan Melayu yang menjadi teras tergugat, hala tuju politik negara menjadi seperti caca merba.

Rakyat menyaksi detik dan peristiwa yang berlaku itu. Pembangkang tidak mampu menafikan lagi. Ia berlaku di sekeliling kita.

Maka mengambil kira kronologi tersebut nomadisme bagi mengelakkan kerosakan lebih besar boleh dianggap lebih afdal.

Lautan Covid

Bermula 1 Mac sehingga sekarang PN terus belayar di lautan Covid. Selepas satu, satu dugaan mendatang.

Pada September lepas kebimbangan seperti disuara hari ini juga berlaku. Ketika itu ramai bimbang Rang Undang-Undang (RUU) Langkah-Langkah Sementara bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Koronavirus 2019) 2020 tidak diluluskan.

Ramai penganalisis mengambil kira jumlah penyokong kerajaan dan pembangkang hampir setara. Ramai minat bermain angka antara 114 dan 108.

RUU itu bertujuan mengadakan peruntukan bagi langkah sementara berhubung pembiayaan kerajaan untuk mengurangkan kesan Covid-19.

Ia juga dibentang Menteri Kewangan, Tengku Dato’ Sri Zafrul Tengku Abdul Aziz. Kebimbangan dibiarkan bermain di minda rakyat setiap hari.

Ramai yang menjangka RUU itu tidak dilulus kerana kerajaan miliki suara minoriti. Namun akhirnya segala telahan tersasar. RUU itu dilulus juga.

Begitu juga situasi RUU Perbekalan 2021 yang dijangka dibuat undian esok. Sebelum ini ada ahli Parlimen kelompok PN pun memberi syarat bagi menyokong bajet.

Lebih-lebih lagi pembangkang memperlihatkan menolak RUU tersebut. Ada juga yang memberi sokong bersyarat.

Mengambil kira apa yang berlaku di Parlimen selepas Bajet 2021 dibentang 6 November lepas, penganalisis membuat kesimpulan mudah.

Bagi mereka laluan untuk dilulus sukar. Mereka mengambil kira apa yang berlaku sebelum ini. Namun dalam sehari dua ini keadaan sudah berbeza.

Semalam menteri dan timbalan menteri daripada Barisan Nasional (BN) menyatakan sokongan penuh kepada kepimpinan Muhyiddin Yassin.

Dalam satu kenyataan bersama 20 ahli Parlimen BN yang menganggotai pentadbiran kerajaan, memperlihatkan peluang Belanjawan 2021 semakin cerah.

Begitu juga blok pembangkang. Mereka tentunya berjiwa besar biarpun ketika membahas bajet menampakkan ada yang menolak.

Ada yang menentang usaha kerajaan menghidupkan kembali Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA). Peruntukan RM81 juta disediakan untuk JASA dalam Bajet 2021.

Mengambil kira ramai yang membantah, kerajaan menjenamakan semula sebagai Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM). Ia berperanan mewujudkan komunikasi dua hala antara kerajaan dan rakyat.

Kata menteri komunikasi, peranan J-KOM menyalur maklumat yang tepat, sahih serta bijaksana.

Apa yang berlaku itu memperlihatkan kerajaan PN mendengar debat rakyat. Belanjawan 2021 akhirnya ditambah baik semula.

Berdasar perkembangan itu nampaknya tidak sukar untuk Bajet 2021 dilulus.

Lagi pun pengundian bajet tidak memerlukan sokongan dua pertiga. Hanya sekadar ‘simple majority’ ahli Parlimen yang hadir. – HARAKAHDAILY 25/11/2020

- Advertisement -