Tiada individu menjadi ‘tikus makmal’

Kementerian tidak akan berkompromi dengan segala hal yang membabitkan soal keselamatan rakyat - Khairy Jamaluddin Abu Bakar

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan memastikan tiada individu menjadi ‘tikus makmal’ berhubung keberkesanan vaksin Covid-19 yang dijangka tiba pada suku pertama tahun hadapan.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, kementeriannya tidak akan berkompromi dengan segala hal yang membabitkan soal keselamatan rakyat.

- Advertisement -

“Kita akan memastikan terlebih dahulu bahawa segala maklumat awal dan interim berkenaan keselamatan (safety data) akan diteliti sebaiknya bagi memastikan tidak ada sesiapa di Malaysia menjadi bahan makmal.

“Kita akan lihat apa sahaja data klinikal yang disediakan setiap syarikat yang terlibat terutamanya syarikat yang kita akan buat perolehan bagi vaksin tersebut,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa satu pengumuman khas berkaitan vaksin tersebut akan dibuat dalam masa terdekat oleh Perdana Menteri.

Beliau berkata demikian bagi menjawap soalan Dato’ Mohd Azis Jamman [Sepanggar-WARISAN] dalam sesi perbahasan Dewan Rakyat, hari ini.

Ianya mengenai sama ada kementerian mempunyai rancangan B sekiranya fungsi vaksin yang dijadualkan untuk dibekalkan kepada petugas barisan hadapan pada suku pertama tahun 2021 menyebabkan implikasi sampingan setelah suntikan diberikan seperti yang berlaku di Korea Selatan. – HARAKAHDAILY 25/11/2020

- Advertisement -