Wira Senoi Praaq digeruni sejak zaman Komunis

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dua wira yang terlibat dalam insiden berbalas tembakan di sempadan Malaysia-Thailand semalam bukan calang-calang orang kerana mereka dari unit Senoi Praaq, Pasukan Gerakan Am (PGA), unit yang digeruni musuh sejak zaman Komunis hingga sekarang.

Orang Asli yang dipilih menyertai unit itu merupakan mereka yang mahir dan pakar dalam soal hutan belantara, suatu kemahiran yang tidak boleh diperolehi melalui buku teks.

“Kepakaran mereka ini merupakan satu kemahiran yang sememangnya ada pada diri mereka sahaja dan ilmu tersebut tidak dapat ditimba melalui buku, sebaliknya diperolehi melalui pengalaman (tinggal) di hutan,” kata Senator Datuk Isa Ab Hamid yang mewakili masyarakat Orang Asli di Dewan Negara.

- Advertisement -

Beliau, yang berasal dari masyarakat Orang Asli Melayu Proto dari suku kaum Kuala di Johor, berkata perkara itu terbukti apabila pasukan yang ditubuhkan pada Mei 1956 oleh Pengarah Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA), Lt Kol. R.O.D. Noone itu telah dipilih menyertai pelbagai operasi termasuk operasi menjejak Komunis, mengawal sempadan negara serta misi mencari dan menyelamat orang hilang di hutan.

“Penubuhan pasukan ini (ketika itu) kerana Orang Asli mempunyai kemahiran dalam bidang ‘tracking‘ (menjejak) yang mana boleh membantu pasukan keselamatan membuat serangan ke atas Komunis, selain menyelamatkan masyarakat daripada dipengaruhi fahaman Komunis.
 
“Mereka bukan sahaja bertindak sebagai pasukan serang hendap tetapi juga sebagai pengintip, penjejak jalan di hutan dan menghidu kubu-kubu serta membunuh komunis,” katanya kepada Bernama.

Dalam insiden awal pagi semalam, Koperal Baharuddin Ramli, 54, terbunuh manakala rakannya Koperal Norihan a/l Tari, 39, cedera parah ketika berbalas tembakan dengan sekumpulan penyeludup di lokasi kejadian iaitu kira-kira 600 meter dari pos kawalan TS9 di Padang Besar, Perlis.

Isa berkata sungguhpun kini tiada lagi ancaman Komunis, namun peranan PGA Senoi Praaq ini tetap diperlukan negara selain bertugas mengawal sempadan bersama-sama pasukan keselamatan dan terlibat dalam misi menjejak.

“Memang tidak dapat dinafikan kemahiran luar biasa PGA Senoi Praaq ini memandangkan ilmu yang mereka ada tidak terdapat dalam mana-mana pasukan keselamatan lain.

“Mereka ini sangat diperlukan untuk tugasan pertama sewaktu melakukan serangan hendap. Merekalah yang membuat dapatan, kajian intipan, menjejaki sebarang tanda, laluan atau simbol dalam hutan termasuk mengesan bau asap dan kesan pokok dan kesan air. Semuanya mereka boleh kesan,” katanya.
 
Isa berkata Orang Asli yang menyertai PGA Senoi Praaq ini juga memiliki semangat yang kental, digeruni lawan, lasak, tidak mudah berputus asa dan sanggup berkorban demi negara dan tanah air tercinta.

Malah Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador mengakui PGA Senoi Praaq mempunyai reputasi yang digeruni dalam kalangan penyeludup di sempadan negara.

Abdul Hamid juga dalam sidang media di Bukit Aman semalam berkata anggota pasukan itu sangat amanah, berintegriti dan cekap serta cemerlang dalam melaksanakan tugas.

Mengenai pengorbanan kedua-dua wira itu, Isa berkata perkara itu merupakan sebahagian daripada jasa bakti dan pengorbanan yang tidak berbelah bagi Orang Asli kepada negara tercinta.

“Kita berharap supaya perkara ini tidak melemahkan semangat Senoi Praaq yang dikenali sebagai pasukan yang digeruni dan bersemangat tinggi.
 
“Ia sepatutnya membakar semangat PGA Senoi Praaq dalam menabur bakti kepada negara kerana mereka merupakan barisan hadapan masa kini di sempadan negara yang dilihat semakin mencabar,” katanya.

Dalam pada itu, Isa meminta prosedur operasi standard bagi operasi pemantauan di sempadan negara dikaji semula dan ditambah baik bagi mengelak kejadian sama berulang.

“Ini termasuk dengan pemakaian baju kalis peluru. Saya tidak pasti sama ada baju itu dibekalkan atau tidak, namun sepatutnya ada dalam menjaga kawasan ‘panas’ kerana mereka ini berdepan dengan risiko 24 jam,” katanya.

Selain itu, Isa turut mencadangkan agar diterbitkan satu buku atau dokumentari yang menceritakan mengenai kehebatan pasukan PGA Senoi Praaq agar dapat dikongsikan kepada umum. – BERNAMA 

- Advertisement -