Tindakan Anwar tidak ‘gemparkan’ Sarawak

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Rakyat negeri Sarawak tidak merasa hairan atau terkejut dengan pengumuman Presiden PKR, Dato’ Seri Anwar Ibrahim kononnya beliau memiliki ‘nombor’ sokongan majoriti Ahli Dewan Rakyat.

- Advertisement -

Pesuruhjaya PAS Sarawak, Jofri Jaraiee berkata, tidak ada perkara menggemparkan dari dakwaan Anwar itu kerana Ahli Parlimen Port Dickson itu sudah dikenali suka membuat gempar yang seumpama.

“Sudah banyak kali dia buat pengumuman macam itu sebelum ini, tapi akhir sekali semuanya tidak menjadi. Orang ramai termasuk ahli PKR sendiri pun dah mula bosan dengan janji Anwar Ibrahim,” ujarnya.

Peringat beliau, Anwar tidak sepatutnya membuat masalah apatah lagi ketika ini Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) terpaksa dilaksanakan semula di beberapa negeri yang antaranya terkesan dari PRN Sabah.

Katanya, rakyat telah menunjukkan kemarahan disebabkan akibat dihadapi dan mengisyaratkan tidak mahu PRU15 dalam masa terdekat yang memungkinkan PKP dilaksanakan semula di seluruh negara.

Sementara itu lapor Bernama, Presiden Parti Demokratik Progresif (PDP), Datuk Seri Tiong King Sing membidas dakwaan Anwar itu yang dikatakannya telah memberi gambaran buruk terhadap negara.

“Ia menimbulkan kebimbangan yang tidak perlu bagi rakyat pada masa seluruh negara berhadapan dengan pandemik yang semakin teruk (COVID-19).

“Situasi ini hanya menunjukkan kepada dunia bahawa pemimpin politik Malaysia terlalu mementingkan agenda politik peribadi mereka. Imej antarabangsa Malaysia semakin terhakis dari hari ke hari,” katanya.

Tegas Tiong, ahli politik secara keseluruhannya, dari parti yang memerintah hinggalah pembangkang, perlu mengutamakan rakyat mengatasi cita-cita mereka untuk kepentingan peribadi.

Ahli Parlimen Bintulu berkata, persaingan untuk merebut kuasa oleh pelbagai kelompok politik dengan kini masing-masing mendakwa mempunyai sokongan majoriti sehingga mereka telah mengabaikan situasi semasa COVID-19.

Beliau turut meminta agar perselisihan atau keraguan sesama anggota dalam kerajaan yang memerintah sekarang harus dibincangkan dalam semangat saling bekerjasama dan bersatu, bukannya ditangani melalui media.

“Biar masyarakat antarabangsa mendapatkan kembali kepercayaan terhadap negara kita supaya para pelabur yakin dapat membuat pilihan yang tepat.

“Juga kita dapat menarik pelaburan asing yang diperlukan untuk mencergaskan kembali ekonomi,” harapnya. – HARAKAHDAILY 15/10/2020

- Advertisement -