Pantang Melayu bertindak khianat

- Advertisement -

PADA 14 September 2019 lalu dua parti Melayu Islam terbesar dalam negara, PAS dan Umno telah mencipta sejarah, berhimpun bersepakat dan bersetuju memperakui perjanjian dikenali ‘Piagam Muafakat Nasional (MN)’ yang telah dinobatkan bersama sebagai teras perjuangan demi membela dan mempertahankan agama, bangsa dan negara.

Negara ketika itu kacau dan tidak menentu apabila tonggak kuasa di Putrajaya dikuasai oleh Pakatan Harapan (PH). PH ini pula didominasi oleh DAP, sebuah parti Sosialis Liberal Sekular yang 41 dari 42 Ahli Parlimennya terdiri dari bukan-Melayu. Tatkala itu rakyat khususnya umat Melayu Islam cukup resah dan gelisah kerana DAP kelihatan cukup ghairah memaksa kerajaan menerima dan melaksanakan dasar dan matlamat perjuangannya. Kuasa politik Melayu dalam Kerajaan PH ketika itu cukup rapuh.

Pembentukan MN menjanjikan tawaran baru buat negara, yang pastinya ia wadah untuk umat Melayu Islam berpayung dan seterusnya berangkat keluar dari kepompong ancaman Kerajaan PH di bawah cengkaman DAP itu. Umat Melayu dan masyarakat Malaysia memberi ‘signal’ cukup positif apabila beberapa Pilihan Raya Kecil yang diadakan bermula dari Cameron Highlands dan berakhir di Tg Piai memberikan kemenangan besar buat calon-calon MN.

- Advertisement -

PAS dan Umno yang bersengketa sekian lama sebelum ini memperakui bahawa perpaduan ummah yang mereka teroka melalui MN ini adalah politik baru yang cukup kondusif yang bakal melakarkan landskap baru politik negara di masa hadapan. 

PAS dan Umno tidak lagi boleh berpanjangan bersengketa kerana ianya hanya akan merugikan ummah dan akhirnya yang naik berkuasa adalah mereka yang menerjang arus. Kemenangan masa depan hanya dapat dicatat apabila muafakat ini kental dan kukuh, Umno dan PAS tidak bercakaran tetapi bergerak dengan penuh yakin dalam satu saf yang padu dan berdisiplin.

Selepas pembentukkan MN dengan takdir Allah pada tanggal 24 Febuari 2020, Tun Dr Mahathir, Perdana Menteri (PM) PH ketika itu meletak jawatan lalu robohlah Kerajaan PH yang mahu ditentang MN itu. Dari situ semua bergerak pantas akhirnya atas kebijaksanaan dan pandangan jauh pimpinan MN selain BERSATU dan pimpinan parti-parti lain khasnya dari Borneo, terbentuk kerajaan baru Perikatan Nasional (PN) bawah kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang turut didukung dan disertai MN.

Kerajaan ini didukung MN kerana ianya jalan pintas untuk menyelamatkan dan memperjuangkan nasib dan masa depan ummah. PH terutama DAP begitu gusar dengan perkembangan ini dan pemerkasaan hubungan PAS dan Umno dilihat bakal meranapkan apa sahaja peluang untuk mereka kembali berkuasa di Putrajaya. Sokongan Melayu terhadap PKR dan PAN tidaklah lagi boleh diyakini apabila umat Melayu berderu berdiri di belakang MN.

Namun demikian kelemahan Kerajaan PN ini adalah bahawa ia berdiri atas majoriti yang cukup tipis. Ia boleh kekal hingga ke hujung penggal akan tetapi kiranya ada di kalangan Ahli Parlimennya melarikan sokongan dan menyokong PH, Kerajaan PN boleh tumbang sebagaimana berlaku di Johor, Melaka, Perak dan Kedah.

Terbaru, Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa kononnya beliau telah punya cukup bilangan Ahli Parlimen untuk menggantikan Muhyiddin sebagai PM. 

Tidak mustahil jika ada yang menyokong PN hari ini khianat dan menyokong blok Anwar maka tumbanglah Kerajaan Muhyiddin. Soalnya apakah ada di kalangan Ahli-ahli Parlimen Kerajaan PN, tidak kiralah sama ada dari Umno, PAS ataupun BERSATU yang tergamak dan tergiur mahu menyokong Anwar? 

Menyokong Anwar menjadi PM bermakna mengembalikan kehadiran DAP dalam kerajaan dan jika ini berlaku sekali lagi dengan 42 Ahli Parlimen DAP akan kembali sebagai blok yang terbesar dan paling dominan dalam kerajaan baru Anwar, apakah kita bersedia menerima DAP kembali berkuasa?

Persepakatan dan permuafakatan MN dan kini dengan penyertaan BERSATU ke dalam MN adalah diasaskan atas kesungguhan mahu mengikis keluar pengaruh dan kuasa politik DAP dalam kerajaan, akan tetapi jika terdapat sama ada dari mana-mana pihak dalam Umno, PAS atau BERSATU yang memilih berpaling tadah dan khianat maka mereka sesungguhnya telah mengkhianati agama dan bangsa mereka sendiri.

Pantang Melayu khianat dalam perjuangan, malah tersohor dalam adat kita menyebut:

Adat Melayu pantang khianat,
Orang khianat dimakan kutuk,
Menurutkan nafsu datanglah laknat,
Orang terlaknat matinya teruk.

Dan dalam Islam sendiri Rasulullah S.A.W bersabda: 

“Tanda orang Munafik itu tiga, iaitu apabila dia berbicara dia dusta, apabila dia berjanji tidak ditepati dan apabila diberi amanah dia khianati.”

Sanggupkah atau adakah di kalangan kita yang kerana tekanan emosi atau mabukkan kuasa dan kedudukan maka sanggup melacurkan maruah mengkhianati adat dan agama?

Sia-sialah kata orang tua-tua kita: 

“Apa tanda Melayu jati, Membela keadilan berani mati, Berani kerana benar, Berani pada yang hak, Berani menegakkan keadilan, Berani menghapus arang di kening, Berani mati memegang amanah, Berani mati membela maruah, Berani mati di jalan Allah”

Adalah diyakini setiap batang tubuh Ahli Parlimen sama ada dari Umno, PAS atau BERSATU tidak sama-sekali bersedia hidup khianat sehingga membiarkan diri dan keluarga dilaknat dan dicemuh masyarakat dan generasi akan datang. Semua mereka sedar akan tanggungjawab masing-masing dan insaf pada pengharapan besar umat Melayu Islam terhadap kita.

Di peringkat ini sepatutnya semua pihak fokus dan memberi tumpuan pada usaha memperkasakan lagi MN. Tolak dan ketepikan sebarang agenda atau kepentingan peribadi, duduk dan berunding dengan penuh hemah dan tanggungjawab, pedulikan Anwar dan langkah ’Mat Jenin’-nya, jangan sekali-kali membuka ruang buat beliau dan kuncunya memecahbelakan muafakat ini.

Semakin kukuh dan kuat MN serta Kerajaan PN maka semakin tipislah peluang untuk mereka mengganggu apatah lagi mencabar bagi kembali berkuasa. Kemenangan GRS di Sabah sesungguhnya adalah petanda masa depan yang gelap gulita buat mereka. 

Sama ada kerajaan ini mahu dibiarkan kekal hingga ke hujung penggal atau lebih bijak dibubarkan Parlimen dan dipanggil Pilihan Raya Umum, tertakluk kepada bacaan politik dan kebijaksaan semua pimpinan dalam keluarga besar Kerajaan PN. Fikirlah yang terbaik buat negara.

Yang penting tiada ruang untuk pengkhianatan dalam Kerajaan PN dan MN, moga Allah kekalkan permuafakatan ini.

ROSLAN SHAHIR MOHD SHAHIR – HARAKAHDAILY 14/10/2020

- Advertisement -