Kalau aku jadi PM… Jangan sampai pandir

- Advertisement -

BARU sebentar tadi, ketika berlegar-legar di dalam kedai buku Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM), tiba-tiba terpandang karya Khalid Salleh, seorang seniman. ‘Kalau Aku Jadi PM…’ katanya. Rupa-rupanya ramai orang Malaysia yang berangan-angan nak jadi Perdana Menteri (PM). Biarlah sesiapa nak berangan-angan jadi PM, ada aku kisah…

Tapi kalau sejak sekian lama asyik berangan nak jadi PM, boleh pandir dibuatnya. Teringatlah pula seorang hamba Allah yang nak mengadap Tuanku esok, sebab dah lama berangan ‘Kalau aku jadi PM.’ Sejak awal 1990-an lagi katanya. Panjang betul angan-angan dia. Hampir pandir seluruh rakyat Malaysia, dek permainan politik dia. Dulu dia gulingkan Timbalan Perdana Menteri pada 1994, kerana mahu mendaki cita-cita.

Tahun 1998, dia dipecat dengan tuduhan liwat dan salah laku. Katanya, dia mahu mencabar Sang Perdana Menteri ketika itu. Dalam keadaan terbuang, dia masih terbilang. Rakyat mahu dia menjadi PM, terbakar semangatnya. Pada 2008, dia muncul dengan mimpi 16 September. Ramai juga yang berjaya dia pandirkan. Pada tahun 2020, dia bersaing lagi dengan Sang Perdana Menteri yang sama. Perdana Menteri meletak jawatan, dia terlepas peluang.

- Advertisement -

Sehari dua ini dia mengulangi lagi projek pandirnya. Mahu mengadap Tuanku esok katanya. Berpandir lagi nampaknya semua. Tunggulah kita beramai-ramai, menanti takdir esok, apa akan jadi…

Tiba-tiba terpandang satu lagi karya Khalid Salleh… ’Pandirnya Si Pandir.’ Saya terfikir… Siapa pula akan dipandirkan beramai-ramai esok. Kali ini benar-benar pandir si pandir jika tertipu lagi oleh si dia…

MOHD FADLI GHANI – HARAKAHDAILY 13/10/2020

- Advertisement -