Pesakit kanser berhasrat temui Permaisuri Agong

- Advertisement -

LANGKAWI: Setelah impiannya untuk mengunjungi pulau ini tercapai, penghidap kanser otak tahap empat Alleya Rumaiesyah Abdullah, 13, kini berhasrat untuk bersua dengan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah. 

Remaja itu yang jelas gembira dapat menghabiskan masa selama tiga hari di pulau peranginan ini bersama ibu bapa dan lima adik, turut dikatakan menangis apabila hasratnya untuk mandi di kolam renang hotel tercapai pada hari pertama percutian, Jumaat lepas. 

“Seronok dapat mandi kolam, dapat lihat pemandangan cantik sepanjang tiga hari di sini. Impian ke Langkawi dah dapat, selepas ini saya berhajat untuk berjumpa dengan Raja Permaisuri Agong,” katanya kepada pemberita selepas Program Menunaikan Impian anjuran Persatuan Ziarah Sahabat Kanser (PZSK) dan Kem Isi Rimba, di sini hari ini.

- Advertisement -

Berasal dari Pelabuhan Klang, Selangor, Alleya Rumaiesyah dikesan menghidap barah otak ketika berusia tiga tahun dan telah sekian lama memasang impian untuk mengunjungi Langkawi. 

Menurut bapanya Idaruzi Samsudin, 46, dia tidak mampu menunaikan hasrat anak sulungnya itu kerana kesempitan hidup. 
 
“Alleya pernah beritahu saya, dia teringin nak pergi ke Langkawi nak tengok keadaan pulau ini, Alhamdulillah, PZSK dan Kem Isi Rimba serta pihak hotel dapat tunaikan hajat tersebut kerana saya memang tidak mampu untuk bawa dia ke sini.

“Sepanjang di Langkawi, Alleya memang seronok dapat ikuti pelbagai aktiviti seperti belayar menaiki kapal mewah, pergi ke Kota Mahsuri selain dapat menginap di hotel mewah ini,” katanya.

Idaruzi berkata anaknya itu sedang menjalani rawatan radioterapi di Hospital Kuala Lumpur serta Hospital Sungai Buloh dan dijadual melakukan Pengimejan Resonans Magnetik bulan depan selepas dimaklumkan tumor pada otaknya semakin membesar.

Sementara itu, Pengerusi PZSK Zaki Yahya berkata Alleya merupakan pesakit kanser keenam Program Menunaikan Impian yang dilaksanakan pihaknya dengan kerjasama beberapa pertubuhan lain. – BERNAMA

- Advertisement -