Kesamarataan capai keadilan

- Advertisement -

SERING apabila berbicara isu-isu gender di Mahkamah Syariah, akan terpacul daripada mulut beberapa orang yang tidak memahami hukum syarak dan falsafahnya bahawa Undang-undang Islam menindas golongan wanita.

Undang-undang keterangan Islam dikatakan mendiskriminasi dan mengaibkan wanita sehingga menyebabkan mereka tidak mendapat keadilan di Mahkamah Syariah. Mereka berhujah, kenapa lelaki mendapat dua kali ganda berbanding wanita dalam pembahagian faraid? Mengapa dua orang saksi wanita hanya menyamai kesaksian seorang saksi lelaki. Mengapa wanita perlu mendapat izin suaminya apabila mahu keluar dari rumah?

Persoalan yang acapkali ditimbulkan adalah kesaksian di Mahkamah Syariah. Berbeza dengan Mahkamah Sivil, di Mahkamah Syariah keterangan yang diberikan saksi boleh dibahagikan kepada dua kategori yang besar iaitu syahadah dan bayinnah.

- Advertisement -

Untuk kesaksian dalam bentuk syahadah, sebenarnya bukan sahaja syahadah wanita yang sukar diterima di Mahkamah Syariah, malah kesaksian lelaki juga tertakluk kepada pemeriksaan yang ketat yang dipanggil ‘tazkiah al syuhud’. Dalam Islam, sesuatu penghakiman mestilah dibuat dalam keadaan hakim itu benar-benar pasti mengenai penghakimannya.

Namun, adakah itu bermakna wanita yang berulang-alik ke Mahkamah Syariah akan dinafikan hak mereka kerana tidak dapat mengemukakan saksi lelaki? Jawapannya tentulah tidak. Apabila kita melihat Undang-undang Islam yang diamalkan di Mahkamah Syariah, janganlah kita melihatnya daripada perspektif Mahkamah Sivil kerana terdapat perbezaan yang amat ketara.

Di Mahkamah Syariah, walaupun seseorang itu tidak mempunyai saksi atau pembuktian mencukupi, mereka masih boleh menang kes kerana terdapat prosedur menurut hukum syarak yang dinamakan ‘al yamin’. Ia adalah sumpah khusus yang menggunakan nama-nama Allah.

Dengan ‘al yamin’, wanita yang gagal mengemukakan keterangan mencukupi boleh bersumpah mengikut kaedah yang telah ditetapkan dan hakim akan membuat keputusan berdasarkan sumpah itu. Ia diwujudkan bagi memudahkan pelaksanaan perbicaraan, mengelak kes-kes ditangguh kerana ketiadaan saksi dan menghindar daripada perbicaraan yang panjang.

Namun, sekiranya keterangan palsu diberikan setelah ‘al yamin’ di Mahkamah Syariah, maka laknat Allah akan melanda orang yang bersumpah itu. Telah banyak kali terbukti, seseorang yang berbohong setelah bersumpah di Mahkamah Syariah dilaknat Allah dengan pelbagai penghinaan.

Namun, menyedihkan kerana peruntukan itu tidak digunakan sepenuhnya oleh pihak-pihak yang bertikai di Mahkamah Syariah. Memang sudah lumrah manusia akan menyalahkan orang lain apabila tidak berpuas hati dengan sesuatu perkara tanpa melihat diri sendiri terlebih dahulu. Sikap itulah yang harus dihakis dalam diri setiap orang Islam.

Sekali lagi apabila kita membandingkan sesuatu, kita hendaklah membandingkannya dengan betul. Janganlah hanya kerana dalam syahadah seorang saksi lelaki sama dengan dua orang saksi wanita, kita melabelkan Undang-undang Syariah sebagai diskriminasi dan menindas wanita.

Ada jalan keluar yang telah digariskan hukum syarak bagi memastikan keadilan diberikan kepada semua orang dan hak diberikan kepada mereka yang berhak. Fahami falsafah dan prinsip undang-undang itu sendiri. Janganlah mencemuh ulamak terdahulu hanya kerana mereka adalah lelaki. Ulamak terdahulu begitu amanah dalam ilmu yang mereka miliki dan mustahil mengkhianati anugerah ilmu yang Allah berikan kepada mereka.

DATUK ZAINUL RIJAL ABU BAKAR 
Presiden Persatuan Peguam-peguam Muslim Malaysia – HARAKAHDAILY 12/10/2020

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -