3 kali petugas Umno jalani ujian Covid

KOTA BHARU: Kesemua 95 ahli rombongan Umno Kelantan yang membantu kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah menjalani ujian saringan Covid-19 kali ketiga.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Dato’ Ahmad Jazlan Yaakub berkata keputusan ujian saringan tersebut kekal negatif.

Advertisement

“Walaupun ujian saringan kali pertama dan kedua didapati negatif, saya mengarahkan kesemua petugas wajib menjalani kuarantin selama 14 hari sebelum pulang ke pangkuan keluarga.

“Ujian tersebut melibatkan semua jentera yang bertugas di Sabah. Mereka mula kuarantin kendiri pada 27 dan 29 September lepas dan tempoh berkenaan berakhir semalam,” katanya pada satu kenyataan di sini.

Beliau juga berkata, ujian saringan kali terakhir pada 11 Oktober dilakukan pegawai perubatan dari Hospital Raja Perempuan Zainab II Kota Bharu.

Umno Kelantan katanya, mengambil pendekatan kuarantin kendiri demi keselamatan semua pihak selain keluarga dan kenalan.

Ahmad Jazlan yang juga Ahli Parlimen Machang berkata, Umno Kelantan bertugas di Sandakan ketika kempen PRN lepas. – HARAKAHDAILY 12/10/2020