Sudah lama ‘Kita slow pak ngona’

Gesaan pengacara selebriti, Amin Idris diberi penjelasan

- Advertisement -

SEBENARNYA akhi Amin, sekeping gambar ini sudah cukup menjawab semua polemik yang berselirat dalam media sosial sejak semalam. Ia dirakam pada hari Rabu, 2 September 2020. Baru lima hari lepas.

- Advertisement -

Yang tersurat dalam foto ini adalah semangat dan kegigihan seorang Menteri Besar yang turun menyantuni pegawai, pekerja dan buruh AKSB yang sedang bertungkus lumus menyiapkan ‘kerja kerja kecemasan’ membaiki paip utama yang menjadi sumber bekalan air mentah ke Loji Rawatan Air (LRA) di Pulai Chondong.

Yang terungkap pula, YAB Dato’ Menteri Besar menyebut, “saya berharap rakyat dapat bersabar sehinggalah kerja-kerja kecemasan ini dapat disiapkan secepat yang mungkin, dan kita berterima kasih kepada negeri terbabit iaitu Selangor, Melaka, Johor, Terengganu, dan Perak yang telah membekalkan 11 lori tangki air kepada negeri kita” katanya kepada sidang media pada hari tersebut.

Saranan akhi Amin agar Kelantan ‘cepat-cepat’ selesaikan masalah air di negeri ini amat bagus. Namun sebenarnya, sejak sekian lama, Kelantan telahpun ‘cepat-cepat’ dalam menyelesaikan isu pembangunan bekalan air negeri. Sudah lama, sebelum akhi berpesan di Facebook lagi. Usah risau. Segala komitmen dan kerja keras negeri ini dalam menguruskan pembangunan air, naik taraf fasiliti dan fizikal negeri boleh diikuti di laman Facebook YB Dato’ Sr. Azami Mohd Nor

https://www.facebook.com/azamimnor/

Malahan kerjasama erat antara Kerajaan Negeri dan Pusat turut dimanfaatkan setelah berlakunya perubahan tampuk kepimpinan di Putrajaya awal tahun lalu. Kelantan menyambut baik kenyataan media KASA mengenai perkhidmatan bekalan air yang lebih baik kepada penduduk negeri Kelantan khususnya pembangunan dan menaik taraf loji rawatan air serta pengurangan kadar air tidak terhasil pada 28 April lalu. Ia boleh dibaca di sini:

Pada 5 Julai 2020 pula, YAB Ustaz Dato’ Bentara Kanan Menteri Besar Kelantan menerima kunjungan hormat dan mesyuarat khas bersama Menteri Alam Sekitar dan Air, YB Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man dan delegasi pegawai Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) di Kota Darulnaim.

Sejumlah lapan projek dengan kos pembinaan sebanyak RM1.36 bilion telah dikenalpasti di bawah Projek Rolling Plan 4 (RP4) Rancangan Malaysia ke 11 (RMK-11) untuk dilaksanakan di Kelantan dalam masa terdekat. Kementerian juga sedang merancang untuk memohon peruntukan kepada Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri sebanyak RM7.293 bilion untuk Kelantan, termasuk RM594 juta projek pembetungan di bawah RMK-12, 2021-2026. Mari kita sama sama doakan agar hasrat murni ini tercapai.

Bukti lain akan kesungguhan Kelantan dalam isu bekalan air boleh juga dilihat di pautan ini:

yang mana pada 12 Febuari 2020, Kerajaan Negeri telah mengumumkan perbelanjaan RM52.5 juta daripada RM400 juta yang diberikan oleh Kerajaan Persekutuan pada Disember lalu akan digunakan bagi tujuan meningkatkan ekonomi dan kesejahteraan rakyat Kelantan khususnya RM30 juta adalah bagi membina mini loji dan menaiktaraf loji bagi meningkatkan bekalan air terawat kepada rakyat.

Dan yang sebenarnya buat kesekian kali, Kelantan telah, sedang dan akan terus bekerja kuat dalam menyelesaikan masalah air di negeri ini. Biarpun setiap negeri berdepan dengan cabaran, yang unik dan tersendiri, Selangor dengan isu pencemaran air, Kelantan dengan pembangunan fasiliti dan infra, serta negeri-negeri lain dengan isu masing-masing, namun sama-samalah kita doakan agar ianya selesai demi rakyat.

Dan hak sebenarnya akhi Amin, yang selesa dipanggil Abe Amin, kena kelik Kelate kerap sikit, kita maketeh di Kota Bharu sambil-sambil sembang isu semasa.

Wassalam.

Adindamu,
NAZMAN CHE IBERAHIM – HARAKAHDAILY 7/9/2020

- Advertisement -