Pemutihan tanah haram demi kepentingan ramai

- Advertisement -

SHAH ALAM: Tindakan kerajaan Negeri Pahang melakukan operasi pemutihan tanah haram di Raub bukan hanya kerana tanah itu milik kerajaan negeri tetapi ia berkaitan dengan hak kepentingan ramai iaitu memelihara kawasan tadahan air.

Setiausaha Politik Menteri Alam Sekitar dan Air, Dr Zuhdi Marzuki berkata, sehubungan itu pihaknya menyokong usaha kerajaan negeri berkenaan melalui penguatkuasaan undang-undang dan pemuliharaan ekosistem hutan.

- Advertisement -

Katanya, aktiviti penanaman pokok durian Musang King yang diusahakan secara haram di atas tanah kerajaan negeri itu amat berhubung kait dengan ekosistem di kawasan Raub dan kawasan berhampirannya.

“Kawasan dusun Musang King ini sebenarnya memberi kesan bukan hanya kepada hutan, tetapi juga memberi kesan kepada kawasan tadahan.

“Banyak pembukaan dusun Musang King contohnya di Jerantut dan beberapa lagi kawasan sebenarnya telah mencemarkan sungai dan menyebabkan sumber bekalan air bersih kita semakin kurang,” kata Zuhdi.

Zuhdi berkata demikian ketika ditemui Harakahdaily selepas melawat perobohan 19 buah rumah penduduk di Desa Perantau 2 baru-baru ini.

Berkongsi kejadian di Balik Pulau, Pulau Pinang, kata Zuhdi, kawasan tersebut kerap mengalami banjir setelah kerajaan Negeri Pulau Pinang meluluskan pembukaan ladang-ladang di kawasan tanah tinggi di negeri itu.

Katanya, penduduk di sekitar turut mendakwa bahawa punca kerap berlaku banjir adalah disebabkan pembukaan ladang durian di kawasan berhampiran penduduk.

Malah, pembukaan ladang durian itu secara langsung menyebabkan gangguan ekosistem air dan gangguan komologi, sekali gus menyebabkan banjir di beberapa kawasan.

Perkara membabitkan ekosistem air dan komologi ini katanya antara perkara yang mendapat perhatian kementeriannya.

Awal Ogos lalu, kerajaan Pahang bertindak tegas dalam menangani kegiatan pencerobohan hutan di Raub dengan aktiviti penanaman pokok durian Musang King yang diusahakan secara haram di atas tanah kerajaan negeri.

Tindakan itu dilakukan berikutan kerajaan negeri mengalami kerugian kira-kira RM30 juta dalam tempoh 10 tahun akibat kehilangan hasil cukai tanah dari kebun haram termasuk di kawasan hutan simpan.

Antara kawasan dusun durian di Raub yang terbabit ialah Hutan Simpan Gunung Benom, sekitar Sungai Ruan, Sungai Chalit serta Tranum dan Tras. – HARAKAHDAILY 7/9/2020

- Advertisement -