Jajaran jambatan Tumpat-Kota Bharu diubah

Azami Mohd Nor meninjau lokasi baharu projek jambatan menghubungkan Tumpat-Kota Bharu
- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerajaan negeri mengubah jajaran asal jambatan menghubungkan Penambang, Kota Bharu dan Palekbang, Tumpat.

Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) Dato’ Dr Tengku Mohamed Faziharudean Tengku Feissal berkata, ia dilakukan selepas kajian mendapati kepadatan penduduk dan bangunan di lokasi cadangan asal.

- Advertisement -

Katanya lokasi terbabit melibatkan pengambilan tanah penduduk sehingga boleh meningkatkan kos.

“Sebelum ini kerajaan negeri merancang membina jambatan di Kampung Cina namun penempatan di kampung itu begitu padat.

“Jadi jajaran baharu dipilih di mana ia dapat mengurangkan kos termasuk pengambilan balik tanah, ini pilihan terbaik,” katanya ketika ditemui pemberita selepas meninjau lokasi projek pembinaan Jambatan Penambang – Palekbang di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kerjaraya, Infrastruktur, Pengangkutan dan Utiliti Dato’ Sr Azami Mohd Noor.

Projek pembinaan Jambatan Palekbang-Penambang dijangka bermula Julai tahun depan dan dijangka siap pada Disember 2023 melibatkan kos RM250 juta.

Pembinaannya di bawah Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER). – HARAKAHDAILY 2/9/2020

- Advertisement -