Ada pihak dalang penceroboh tanah

Mohd Zai Mustafa
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) menentang sekerasnya pencerobohan tanah haram secara besar-besaran untuk aktiviti penanaman pokok durian Musang King yang diusahakan di atas tanah kerajaan negeri.

Pengerusinya, Mohd Zai Mustafa mendakwa seramai 111 pekebun durian Musang King terlibat dalam aktiviti tersebut mendapat sokongan dan dukungan pihak tertentu secara terancang dan berselindung.

- Advertisement -

Selain itu, pihaknya memandang serius kegagalan pentadbiran yang diamanahkan untuk menjaga urusan tanah daerah bagi mengekang pencerobohan ini sejak daripada awal.

“UMMAH juga memandang serius pihak pentadbiran dan agensi yang diamanahkan menjaga urusan tanah daerah, tetapi gagal mengawal perkara ini dari awal lagi sehingga menjadi barah yang memberi kesan buruk kepada kerajaan dan politik kerajaan Negeri Pahang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Berikutan itu, UMMAH menyeru pihak yang bertanggungjawab agar membuat laporan polis serta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi memastikan tiada unsur rasuah dan integriti di dalam pentadbiran tanah.

“Jika ada salah laku yang berlaku, maka satu tindakan yang tegas hendaklah diambil kepada tangan-tangan kotor ini,” tegasnya.

Mohd Zai berkata, UMMAH menyokong tindakan tegas Menteri Besar Pahang, Dato’ Seri Wan Rosdy Wan Ismail dalam usaha membanteras aktiviti pencerobohan berkenaan tanpa kompromi.

Malahan, memastikan perbuatan seperti ini diambil tindakan yang sewajarnya berdasarkan undang-undang yang dibenarkan mengikut Seksyen 425 Akta Kanun Tanah Negara 1965 dan Seksyen 47 Akta Perhutanan Negara 1984.

Pada 1 Ogos lalu, kerajaan Negeri Pahang bertindak tegas terhadap pekebun durian di Raub yang mengusahakan tanaman buah itu secara haram di atas tanah kerajaan serta kawasan hutan simpan.

Tindakan itu dilakukan berikutan kerajaan negeri mengalami kerugian kira-kira RM30 juta dalam tempoh 10 tahun akibat kehilangan hasil cukai tanah dari kebun haram.

Antara kawasan dusun durian di Raub yang terbabit ialah Hutan Simpan Gunung Benom, sekitar Sungai Ruan, Sungai Chalit serta Tranum dan Tras. – HARAKAHDAILY 2/9/2020

- Advertisement -