JHEAIK arah tangguh aktiviti masjid, surau

- Advertisement -

ALOR SETAR: Semua aktiviti keagamaan di masjid dan surau di kawasan berisiko COVID-19 di negeri Kedah, ditangguhkan berkuatkuasa hari ini.

Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah (JHEAIK) Mohd Yusri Md Daud berkata, masjid dan surau terlibat adalah dari tujuh daerah iaitu Kota Setar, Kuala Muda, Kulim, Baling, Yan, Kubang Pasu dan Padang Terap.

“Masjid terlibat adalah satu di daerah Kota Setar, Kuala Muda (30), Kulim (6), Baling (6), Yan (3) Kubang Pasu (6) dan Padang Terap (3), selain beberapa surau dari kawasan terjejas di setiap daerah tersebut. Keseluruhan operasi surau di kariah yang terlibat, adalah diarahkan ditutup.

- Advertisement -

“Solat Jumaat di masjid-masjid terlibat adalah ditangguhkan dan digantikan dengan solat fardu Zuhur, aktiviti-aktiviti keagamaan seperti majlis ilmu, kuliah, kelas pengajian, majlis bacaan Yasin dan sebagainya adalah tidak dibenarkan. Majlis akad nikah juga tidak dibenarkan,” katanya dalam kenyataan di sini, malam tadi.

Bagaimanapun katanya, solat fardu berjemaah di masjid-masjid terlibat adalah dibenarkan, dengan bilangan jemaah maksimum seramai tiga orang melibatkan imam, pegawai masjid atau jawatankuasa kariah, dengan mematuhi prosedur operasi standard yang ditetapkan.
 
“Anak kariah bagi masjid-masjid yang terlibat hendaklah menggantikan solat Jumaat dengan menunaikan solat Zuhur di rumah, dan menunaikan solat-solat fardu yang lain di rumah masing-masing,” katanya.

Selain itu, solat jenazah dan pengurusan jenazah di masjid dan surau terlibat juga tidak dibenarkan dan hendaklah dilaksanakan di rumah, dengan hanya melibatkan kehadiran pegawai masjid dan ahli keluarga terdekat.

Beliau menambah, mana-mana masjid atau surau yang didapati jemaahnya positif COVID-19, hendaklah disanitasi secara keseluruhan dan operasi masjid ditutup sepenuhnya, serta dibuka semula 14 hari selepas proses sanitasi dilakukan.

“Arahan ini adalah berkuatkuasa sehingga arahan rasmi terkini dikeluarkan, dari semasa ke semasa,” katanya. – BERNAMA

- Advertisement -