Hijrah memerdekakan umat Islam

- Advertisement -

KEPENTINGAN Hijrah

Hijrah merupakan antara peristiwa yang paling penting dalam sirah perjuangan Nabi Muhammad S.A.W. Hijrah ini menjadi satu titik perubahan suasana dakwah, daripada dakwah tanpa kuasa politik kepada dakwah yang mempunyai kuasa politik. Ketika di Makkah, Nabi S.A.W dan para Sahabat ditindas dengan pelbagai cubaan dan seksaan yang berat, sepertimana yang menimpa Bilal bin Rabah, Ammar bin Yasir, Khabbab al Arat dan ramai lagi. Bahkan Nabi Muhammad S.A.W sendiri berdepan dengan pelbagai ujian dan serangan yang dahsyat daripada kaum Quraisy. 

- Advertisement -

Peristiwa hijrah membawa pengalaman baru dalam perjuangan Islam. Kalau sebelumnya, para Sahabat mengalami ujian-ujian seperti diejek, ditahan, diseksa dan ada yang mati dibunuh, tetapi hijrah menguji kecintaan mereka kepada Allah dan Rasul-Nya, mengatasi kecintaan kepada tanah air, harta benda dan rumahtangga. Berhubung dengan hijrah ini, Nabi S.A.W bersabda:

رأيت في المنام أني أهاجر إلى الأرض بها نخل وذهب وهمي إلي أنها اليمامة أو هجُر فأذا هي يثرب

“Aku bermimpi bahawa aku berhijrah ke negeri yang mempunyai banyak pokok kurma, aku menyangka negeri itu ialah Yamamah atau Hajar, tiba-tiba negeri tersebut ialah Yathrib (Madinah).“

(Hadis Riwayat al Bukhari dan Muslim)

Orang-orang Islam ketika itu, diseru untuk pergi kesemuanya ke Yathrib (Madinah) untuk menunaikan perintah Allah. Mereka bukannya mundur atau melarikan diri daripada sendaan dan ejekan. Tetapi yang lebih penting ialah meneruskan kewajipan menegakkan Islam dan menunaikan tuntutan agama dalam konteks bermasyarakat dan bernegara. Mereka berhijrah bukan untuk mencari kesenangan waktu, tetapi berhijrah kerana Allah dan Rasul-Nya. 

Sabda Nabi S.A.W:

إِنَّمَا الأَعْمَالُ بِالنِّيَّاتِ، وَإِنَّمَا لِكُلِّ امْرِئٍ مَا نَوَى، فَمَنْ كَانَتْ هِجْرَتُهُ إِلَى اللَّهِ وَرَسُولِهِ فَهِجْرَتُهُ إِلَى اللَّهِ وَرَسُولِهِ، وَمَنْ كَانَتْ هِجْرَتُهُ لدُنْيَا يُصِيبُهَا أَوْ امْرَأَةٍ يَنْكِحُهَا فَهِجْرَتُهُ إِلَى مَا هَاجَرَ إِلَيْهِ

“Sesungguhnya setiap amal perbuatan itu bermula dengan niat. Sesunggunya bagi tiap-tiap orang itu menurut apa yang ia niatkan. Maka sesiapa yang berhijrah kepada Allah dan Rasul-Nya, maka kembalilah hijrahnya menurut perhitungan Allah dan Rasul-Nya. Sesiapa yang berhijrah kerana dunia yang mengenainya, atau perempuan yang hendak dikahwininya, maka hijrahnya jadilah seperti apa yang menjadi tujuan hijrahnya itu.”

 (Hadis Riwayat al Bukhari dan Muslim)

Bahkan Allah S.W.T juga telah memberi jaminan kepada mereka yang berhijrah dengan firman-Nya:

وَمَن يُهَاجِرْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ يَجِدْ فِي الْأَرْضِ مُرَاغَمًا كَثِيرًا وَسَعَةً ۚ وَمَن يَخْرُجْ مِن بَيْتِهِ مُهَاجِرًا إِلَى اللَّهِ وَرَسُولِهِ ثُمَّ يُدْرِكْهُ الْمَوْتُ فَقَدْ وَقَعَ أَجْرُهُ عَلَى اللَّهِ ۗ وَكَانَ اللَّهُ غَفُورًا رَّحِيمًا (النساء : ١٠٠)

“Dan barang siapa yang berhijrah ke jalan Allah, nescaya mereka mendapati di muka bumi tempat hijrah yang luas dan rezeki yang banyak. Barang siapa yang keluar dari rumahnya dengan maksud berhijrah kepada Allah dan Rasul-Nya, kemudian ia ditimpa kematian (sebelum sampai ke tempat hijrah), maka sesungguhnya telah tetap pahalanya di sisi Allah dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” 

(an-Nisa: 100)

Dengan sebab pentingnya hijrah inilah, Allah S.W.T memberi galakan dan ganjaran kepada para Sahabat R.A dengan pelbagai ganjaran dan memuji kepada sesiapa yang berhijrah bagi memenuhi arahan Allah S.W.T. Dalam masa yang sama, Allah S.W.T mengeji dan murka kepada mereka yang tidak berhijrah dan melanggar perintah Allah S.W.T, berdasarkan firmanNya:

إِنَّ الَّذِينَ تَوَفَّاهُمُ الْمَلَائِكَةُ ظَالِمِي أَنفُسِهِمْ قَالُوا فِيمَ كُنتُمْ ۖ قَالُوا كُنَّا مُسْتَضْعَفِينَ فِي الْأَرْضِ ۚ قَالُوا أَلَمْ تَكُنْ أَرْضُ اللَّهِ وَاسِعَةً فَتُهَاجِرُوا فِيهَا ۚ فَأُولَٰئِكَ مَأْوَاهُمْ جَهَنَّمُ ۖ وَسَاءَتْ مَصِيرًا 

“Sesungguhnya orang-orang yang diambil nyawanya oleh malaikat semasa mereka sedang menganiaya diri sendiri (kerana enggan berhijrah untuk membela Islam dan rela ditindas oleh kaum Kafir Musyrik), mereka ditanya oleh malaikat dengan berkata: “Apakah yang kamu telah lakukan mengenai agama kamu?” Mereka menjawab: “Kami dahulu adalah orang-orang yang tertindas di bumi”. Malaikat bertanya lagi: “Tidakkah bumi Allah itu luas, yang membolehkan kamu berhijrah dengan bebas padanya?” Maka orang-orang yang sedemikian itu keadaannya, tempat akhir mereka ialah neraka Jahanam, dan neraka Jahanam itu adalah seburuk-buruk tempat kembali.”

 (an-Nisa: 97)

Hijrah dan kuasa politik

Penghijrahan Nabi Muhammad S.A.W dan para Sahabat R.A adalah untuk membina sebuah Negara Islam. Dengan tertubuhnya negara ini, peluang menyebarkan Islam semakin luas sehingga ke pelosok Tanah Arab khususnya dan seluruh dunia amnya. Politik dalam Islam bukan untuk membina pengaruh individu, tetapi politik dalam Islam untuk menyempurnakan tuntutan dan arahan Allah S.W.T yang perlu kepada kuasa untuk melaksanakannya.

Contoh baru baru ini, peristiwa pertukaran Masjid Hagia Sofya daripada muzium kepada masjid kembali membuktikan bahawa pentingnya orang Islam mempunyai kuasa politik yang kukuh. Dalam masa yang sama perlu diingat, cabaran dan dugaan selepas mendapat kuasa politik lebih besar dan mencabar. Rom dan Parsi pada asalnya tidak menghiraukan Nabi S.A.W dan para Sahabat R.A. Tetapi selepas Negara Islam Madinah didirikan, Rom dan Parsi mula merasa terancam dan memulakan gerakan atau operasi untuk menghancurkan Madinah. 

Menerusi kuasa politik juga, umat Islam di Madinah dapat mengembalikan dan mengukuhkan ekonomi orang Islam menerusi penubuhan pasar Madinah yang mengamalkan urus niaga yang lebih jujur dan telus sehingga melumpuhkan pasar Yahudi. Bahkan sejarah juga telah membuktikan bahawa Islam itu apabila berkuasa, pasti keadilan itu tersebar kepada semua.

Dengan sebab itu, Syeikh Mustafa Sabri (Syeikhul Islam yang terakhir dalam Kerajaan Islam Uthmaniyyah) menganggap wajib dan perlu bagi umat Islam itu memahami politik dan menempatkan diri mereka di persadanya jika berkelayakan dan mempunyai sifat-sifat kepimpinan. Ini kerana ia termasuk dalam urusan menegakkan syariat dan Daulah Islamiyyah sebagaimana Baginda S.A.W mengasaskan Negara Islam Madinah.

Dalam hal ini, YB Senator Dr Zulkifli al-Bakri menyebut bahawa pemerintah tertinggi sangat penting untuk merealisasikan kewujudan sebenar umat Islam. Oleh itu, pemerintah mesti diwujudkan dan dilantik untuk memimpin umat Islam kerana sebab-sebab berikut:

(1) Antara tanggungjawab terbesar yang diperintahkan oleh Allah S.W.T kepada hamba-hamba-Nya yang Muslim adalah supaya mereka bersatu dengan cara berpegang kepada agama Allah S.W.T dan tidak berpecah atau bertelagah sesama sendiri. Kedudukan pemerintah di kalangan semua individu umat pula adalah umpama paksi pada sesuatu bulatan. Dialah yang akan merealisasikan perpaduan dan menjaga keutuhan mereka melalui kepimpinannya. Jawatan tersebut amat perlu demi kestabilan undang-undang dan keharmoniaan keadaan. Ia turut dirasai oleh spesis haiwan dan ternakan.

(2) Sebahagian besar pelaksanaan hukum-hakam dalam Syariat Islam tertakluk kepada kuasa pemerintah. Hukum-hakam itu tidak mungkin dapat dilaksanakan kecuali melalui kuasa dan arahan pemerintah, seperti menghakimi kes-kes mahkamah, melantik para penjaga, mengisytiharkan halangan (al-hajr) dan perang, memeterai perdamaian dan sebagainya. Oleh itu, bagi membolehkan hukum-hakam syarak dilaksanakan sepenuhnya dengan cara yang betul dan diterima oleh Allah S.W.T, mestilah ada pemerintah yang akan melaksanakan hukum-hakam itu dan memantau perlaksanaannya.

(3) Dalam Syariat Islam, terdapat satu kategori hukum yang disebut sebagai hukum-hakam imamah (pemerintahan) atau hukum-hakam Siyasah Syar’iyyah (Politik Islam). Hukum-hakam dalam kategori ini bersifat fleksibel dan syarak tidak memutuskannya secara terperinci. Sebaliknya hukum-hakam dalam kategori ini diserahkan kepada pendapat dan ijtihad pemerintah berdasarkan kepentingan dan keadaan umat Islam. Contohnya, sebahagian besar hukum-hakam berkaitan sistem pengurusan kewangan, gerakan ketenteraan dan pengurusan tawanan. Jika tiada pemerintah yang berkemampuan dan berwibawa untuk menduduki jawatan ini, sudah tentu segala hukum-hakam ini akan terus tergantung tanpa dapat dilaksanakan.

(4) Umat Islam sentiasa terdedah kepada kemunculan kumpulan pelampau di kalangan mereka yang menimbulkan ketidakstabilan dalam masyarakat Islam. Mereka didorong oleh hawa nafsu atau fahaman-fahaman sesat yang berselindung di sebalik nama agama atau pemulihan masyarakat.

Kesimpulan

Hijrah membentuk kesatuan ummah dan membebaskan umat Islam dari belenggu jahiliyyah kepada keadilan dan keluasan Islam sepertimana ungkapan Rub’ai bin Amir kepada tentera musuh:

الله ابتعثنا لنخرج من شاء من عبادة العباد إلى عبادة الله، ومن ضِيق الدنيا إلى سعَتَها، ومن جَوْر الأديان إلى عدل الإِسلام

“Allah yang mengutuskan kami, untuk mengeluarkan sesiapa yang dikehendakiNya daripada menyembah sesama manusia kepada menyembah Allah, daripada kesempitan hidup dunia kepada hidup dunia yang luas sehingga ke hari akhirat dan daripada kezaliman ajaran-ajaran lain kepada keadilan Islam.”

Menjadi kewajipan kepada umat Islam hari ini menyatupadukan kekuatan umat Islam tanpa mengira batas kepartian. Bahkan menjadi kewajipan kepada umat Islam membentuk jati diri sendiri dengan melaksanakan semua arahan yang termaktub dalam al-Quran dan Hadis Nabi S.A.W.

YB USTAZ MOHD AKMAL KAMARUDIN
Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam Dan Penerangan 
Kerajaan Negeri Perak – HARAKAHDAILY 20/8/2020

- Advertisement -