Kelantan bina jambatan antara Kg Cina ke Kg Laut

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerajaan Negeri Kelantan telah bersetuju dengan cadangan untuk membina sebuah jambatan yang menghubungkan Kampung Cina di sini dengan Kampung Laut di Tumpat yang membabitkan kos sebanyak RM200 juta.

Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata persetujuan itu telah dipanjangkan kepada Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) agar pembinaan jambatan merentangi Sungai Kelantan sejauh hampir dua kilometer itu menjadi kenyataan.

“Kita harapkan ia dapat mula dibina pada tahun ini atau awal tahun hadapan kerana urusan berkaitan pembinaan seperti tapak serta pelannya telah pun selesai.

- Advertisement -

“Pembinaan jambatan ini  adalah permintaan penduduk sejak dahulu dan sebelum ini kita pernah mengangkat kepada Kerajaan Pusat, namun, melalui ECER baru-baru ini, projek berkenaan diluluskan dan hari ini kerajaan negeri secara dasarnya meluluskan,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di Kompleks Kota Darul Naim di sini, hari ini.

Mohd Amar berkata dengan adanya jambatan itu nanti ia sebagai satu langkah penguraian trafik dari Tumpat ke Kota Bharu atau Kota Bharu ke Tumpat dan ia sebagai satu alternatif kepada pengguna yang tidak mahu melalui jalan yang ada sekarang.
 
Beliau berkata urusan pengambilan tanah adalah mudah kerana tidak membabitkan tanah milik individu sebaliknya membabitkan tanah milik kerajaan.

Sementara itu kerajaan negeri mencadangkan agar Universiti Malaysia Kelantan (UMK) memberikan laporan atau bertemu pihaknya mengenai laporan penemuan tapak kaki dinosaur di Bukit Panau, Tanah Merah bagi membolehkan kerajaan negeri memikirkan langkah selanjutnya termasuk cadangan untuk menjadikan ia sebagai kawasan pelancongan.

Mohd Amar berkata setakat ini pihaknya belum menerima laporan rasmi mengenai perkara itu daripada UMK selepas laporan mengenainya didedahkan oleh media sebelum ini.

“Kita tengok dulu macam mana sebab kita belum terima laporan rasmi, kena tengok laporan dulu. Jika ada potensi yang baik mungkin boleh dijadikan satu destinasi pelancongan sebab ini satu penemuan yang besar.

Sebelum ini kita ingat dinosaur ada di luar negara, ini kali pertama dikatakan ada di Kelantan,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, penyelidik daripada UMK menemui tujuh fosil yang didakwa tapak kaki dinosaur dianggarkan berusia puluhan hingga jutaan tahun di Bukit Panau.

Penemuan itu dibuat penyelidik daripada Jabatan Geosains, Fakulti Sains Bumi (FSB) UMK yang menemui kesan tapak kaki dipercayai spesies Sauropod dianggarkan berusia 66 juta hingga 160 juta tahun. – BERNAMA

- Advertisement -