Sejarah dan gerak kerja layakkan PAS bertanding

- Advertisement -

PUTATAN: Sejarah penubuhan dan gerak kerja yang telah berlangsung selama 23 tahun menjadi asas bahawa PAS layak untuk bertanding pada pilihan raya nanti, demikian bayangan dilontarkan Yang DiPertua PAS Kawasan Putatan, Ustaz Akmal Othman.

- Advertisement -

Menurutnya, PAS yang dirasmikan penubuhannya tahun 1951, mula bertapak di Sabah pada tahun 1987 dengan PAS Kawasan Tawau, Sandakan dan Kinabatangan menjadi perintis pertama pada 30 April 1988, sementara Putatan adalah kawasan kelima yang lahir tahun 1997.

“Ketika itu (namanya) PAS Kawasan Tanjong Aru dan surat pendaftarannya bertarikh 30 Mei 2000. Jika menurut kelahiran 1997, PAS Putatan sudah berusia 23 tahun. Sudah menjadi seorang pemuda tampan dan gagah sesuai umurnya.

“Dalam pilihan raya pula, kita sudah sertai dua kali iaitu pada PRU13 tahun 2013 DUN Tanjong Aru dan PRU14 tahun 2018 juga DUN sama dan Parlimen Putatan. Sebenarnya PAS Tanjong Aru sudah terlibat Pilihan Raya Negeri tahun 1999 apabila Haji Yahya Kasim menjadi calon DUN Likas.

“Walaupun DUN Likas bukan dalam Parlimen Tanjong Aru, sebaliknya dalam Parlimen Gaya, tetapi ia kerana ketika itu di sebelah Pantai Barat hanya ada PAS Tanjong Aru sebagai pangkalan PAS di Kota Kinabalu ini.

“Kitalah yang menjadi jentera utama dan perintis dalam penyertaan PAS di DUN Likas. Belum lagi ada PAS Kawasan Sepanggar (2010) dan PAS Kawasan Kota Kinabalu (2014),” ujarnya pada Mesyuarat Agung Tahunan PAS Putatan Kali Ke-20 di Dewan Perkumpulan Perempuan Sabah, di sini baru-baru ini.

Beliau dalam ucapan tersebut turut membentangkan pelbagai aktiviti dilaksanakan PAS sepanjang tahun meliputi pelbagai acara serta menyentuh banyak segmen masyarakat yang membuktikan penonjolan PAS di arena lapangan awam.

Malah pada ucapan itu beliau juga menggariskan pelbagai usaha dan janji komitmen untuk terus melebarkan peranan PAS Putatan yang disokongnya dengan pembentangan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) telah dicapai. – HARAKAHDAILY 12/8/2020

- Advertisement -