Komitmen Presiden atasi masalah KFA

- Advertisement -

“KALAU kelab lain, jika dianjurkan majlis seperti ini (makan malam dan ramah mesra bersama YAB Presiden), mungkin ramai yang tak hadir (sebab ada tunggakan gaji). Tapi kami semuanya hadir malam ini sebagai tanda sokongan terhadap YAB Presiden, dan sebagai semangat kami untuk terus memajukan sukan bola sepak di Negeri Kedah”. 

Ucapan Saudara Baddrol Bakhtiar selaku Kapten Pasukan mendapat tepukan gemuruh seluruh audiens yang hadir majlis malam tadi. 

Menteri Besar (MB) selaku Presiden KFA yang baru memulakan tugas sejak 12 Julai yang lalu turut memberikan tepukan, terharu dengan penerimaan positif pemain terhadap kepimpinannya. 

- Advertisement -

Majlis makan malam yang diadakan di kediaman rasmi MB malam tadi adalah anjuran MB sendiri. Julung kali diadakan khusus untuk bertemu dan beramah mesra dengan para pemain pasukan helang merah. 

Para pemain sebenarnya baru sahaja sampai dari KL, usai dua perlawanan persahabatan bertemu Perak 2 dan UKM. Walaupun keletihan, namun pemain-pemain bersemangat untuk hadir bertemu mata dengan MB selaku Presiden KFA. 

Majlis berlangsung dengan penuh harmoni dan ceria. YAB Presiden memberikan ucapan dan menerangkan mengenai situasi-situasi yang berlaku di dalam KFA, khususnya melibatkan aspek kewangan. 

Penjelasan terperinci YAB Presiden pula disambut baik oleh Kapten Pasukan, Saudara Baddrol Bakhtiar di dalam ucapannya. Nampak beliau berpuas hati dengan penjelasan yang diberi YAB Presiden. 

Berikut adalah rumusan ucapan YAB Presiden dan ucapan Kapten Pasukan: 

(1) YAB Presiden memohon maaf bagi pihak pengurusan yang lalu terhadap kes tunggakan gaji dan hutang yang ada berjumlah RM10.6 juta.

(2) YAB Presiden melahirkan rasa simpati terhadap para pemain yang terpaksa melalui saat-saat getir ketika tiada gaji. Saat-saat getir itu pernah dialaminya sendiri kerana berasal daripada keluarga kampung yang susah.

(3) YAB Presiden mengucapkan terima kasih atas keteguhan semangat pemain untuk terus berjuang bagi mengharumkan nama Negeri Kedah. 

(4) Gaji bulan Julai 2020 (bulan pertama MB menjadi Presiden KFA) telah dibayar dengan amaun penuh kepada akaun pemain. 

(5) Gaji yang tertunggak pada bulan sebelumnya (ketika Presiden terdahulu) akan dilunaskan secara beransur-ansur.

(6) Gaji ketika tempoh PKP akan dirunding bersama pemain seperti saranan FAM.

(7) Jaminan tiada tunggakan gaji bermula Julai 2020 hingga seterusnya.

(8) Ada beberapa penaja yang telah atau akan membantu memberikan tajaan. 

(9) Pemain ucap terima kasih terhadap inisiatif YAB Presiden membayar gaji bulan Julai 2020.

(10) Pemain menghargai kesediaan YAB Presiden bertemu berdialog dengan para pemain.

(11) Pemain bersedia untuk bertemu dan berunding dengan pengurusan KFA dari masa ke semasa. 

Di hujung pertemuan, pemain beramai-ramai bergambar bersama YAB Presiden. 

Laungan keramat ‘Pulun Kedah Pulun’ kembali bergema dengan penuh semangat! 

AFNAN HAMIMI 
Setiausaha Politik Menteri Besar Kedah – HARAKAHDAILY 12/8/2020

- Advertisement -