Memaknai konsep ‘hidup seimbang’ sebenar

- Advertisement -

TELUK INTAN: Makna kepada hidup yang seimbang adalah apabila individu menjaga hubungannya sesama manusia dan juga hubungan bersama Allah S.W.T selaku Penciptanya, demikian kata Ketua Ulamak PAS Negeri Perak, Ustaz Ibrahim Zakaria.

- Advertisement -

Menurutnya, konsep kehidupan seimbang yang diseru supaya diamalkan dalam kehidupan Muslim mesti memenuhi kedua-dua aspek tersebut di mana ia bertepatan dengan erti kata ‘hablun minallah wa hablun minannas’.

“Kehidupan manusia perlu dipenuhi dengan konsep hidup seimbang bersama Maha Penciptanya dan berbuat baik sesama manusia,” ujarnya berucap merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kawasan Teluk Intan di KOMPASTI, Padang Tembak, di sini kelmarin dahulu.

Jelas beliau, keredhaan Allah bukan hanya berada di surau dan masjid, tetapi ia termasuk apabila memberikan sumbangan gerak kerja kebaikan kepada orang lain yang merupakan antara dakwah dalam gerak kerja perjuangan siyasah.

Peringat Ustaz Ibrahim, setiap gerak kerja parti adalah ibadah yang mesti diyakini dengan janji Allah sebagai ketakwaan pada-Nya bahawa Dia pasti akan memenangkan agama dari dukungan perjuangan dilaksanakan sekian hamba-Nya.

Sementara itu, Yang DiPertua PAS Teluk Intan, Ustaz Ismail Cik Nik menyeru ahli-ahli PAS agar mempunyai ‘minda kerajaan’ sesuai kedudukan PAS kini berada bersama dalam Kerajaan Perikatan Nasional supaya selari agenda dibawa.

Sesuai dengan itu juga, ahli-ahli yang dilantil menganggotai jawatan kerajaan antaranya sebagai Ahli Majlis Perbandaran dan Jawatankuasa Sementara Pelantikan Kampung (JSPK) perlu melaksanakan tugas ditaklifkan.

“Mereka adalah sebagai perantara antara rakyat dengan kerajaan untuk melaksanakan segala agenda pentadbiran serta pembangunan setempat,” ujarnya.

Ustaz Ibrahim pada majlis itu telah menyampaikan anugerah kepada PAS Cawangan Kampung Padang Tembak atas pertambahan keahlian teramai, manakala PAS Cawangan Kampung Bahagia sebagai paling aktif. – HARAKAHDAILY 12/8/2020

- Advertisement -