KERABAT sedia gerak veteran dukung kerajaan

- Advertisement -

SEKRETARIAT Kebajikan Rangkaian Bekas Angkatan Tentera (KERABAT) PAS Pusat adalah sebuah entiti khas yang ditubuhkan pada 21 Julai 2010 untuk membantu pimpinan dalam memperkasakan hal ehwal kebajikan veteran ATM yang terdiri daripada 310,000 buah keluarga di seluruh Malaysia. Kerabat telah berfungsi menyakinkan veteran untuk menyokong segala usaha kerajaan memperjuangkan isu kebajikan veteran mengikut hak yang termaktub dalam perintah Majlis Angkatan Tentera 1/1973.

- Advertisement -

Inisiatif secara ’touch & go’ yang diamalkan oleh kerajaan terdahulu membosankan mereka, sedangkan kemelut asas meneruskan kehidupan harian tidak dapat diselesaikan. KERABAT menilai usaha kerajaan sejak tahun 1965 penubuhan tanah-tanah rancangan untuk diagihkan kepada veteran seperti di FELDA Sungai Koyan 3 dan FELDA Semenchu adalah pilihan terbaik kepada mereka. Insentif perolehan tanah diagihkan kepada veteran yang menamatkan perkhidmatan pada usia muda disebabkan alasan kebajikan atau kesihatan adalah tawaran terbaik.

Namun usaha kerajaan ini telah terhenti akibat arahan lisan mantan Perdana Menteri ke-4, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk tidak lagi mengagihkan tanah rancangan kepada peneroka baru termasuk veteran atas alasan menumpukan kepada peladangan berskala besar dan dasar penswastaan negara.

Akibat tindakan ini veteran telah gagal untuk bersaing dalam dunia korporat. Ramai telah kecundang dalam bidang perniagaan. Mereka inilah merupakan golongan miskin tegar dalam kalangan veteran terutama yang tidak berpencen.

Daripada 310,000 buah keluarga veteran ini dianggarkan seramai 50,000 buah keluarga tidak mempunyai tanah sendiri dan hidup menyewa atau menumpang di rumah pusaka di ceruk kampung. Ada di antara mereka malu untuk mengakui bahawa mereka pernah berkhidmat di dalam Angkatan Tentera Malaysia disebabkan kedaifan hidup.

Bagi mengatasi kemelut ini KERABAT mengusulkan agar veteran ditadbir sendiri oleh veteran di bawah seliaan Sekretariat KERABAT yang dilantik di setiap negeri. Oleh itu, untuk memperkasakan inisiatif kebajikan veteran, KERABAT mencadangkan:

(1) Penubuhan Lembaga Tabung Veteran (LTVT) di bawah kelolaan Jabatan Perdana Menteri. Tenaga mahir perbankan dan perundangan dalam kalangan bekas pegawai tentera yang berkelayakan sedang merangka dasar penubuhan LTV ini sebelum dibawa dalam Usul Khas Veteran di Dewan Negara pada 9 September 2020.

(2) Pemansuhan Akta Veteran atas dasar veteran sebagai rakyat bebas, warganegara yang berjasa dan bekas ’king soldier’.

(3) Peruntukan dana khas untuk menyediakan 30,000 hingga 50,000 buah rumah mampu milik kepada veteran dalam kategori miskin tegar. Keutamaan adalah kepada warga emas dan veteran OKU.

(4) Penubuhan Bandar Baru Veteran (BBV) dalam sektor terpilih seperti di FELDA Sahabat, Sabah. BBV ini akan fokus dalam penempatan veteran bagi menjana hasil pertanian dan ternakan ruminan bagi memperkasakan ‘Halal Food Hub: A Ration Storage’ kepada Malaysia. Dari 330,000 ekar yang terdapat di 50 buah FELDA Sahabat ini, veteran hanya memerlukan 100,000 ekar untuk diusahakan bagi menjana dana dan pendapatan untuk menjaga hal ehwal veteran. Sektor terpilih selain di Sabah adalah di Tenggara dan Sembrong, Johor bagi Zon Selatan. Sempadan Malaysia Thailand bagi Zon Utara manakala Kelantan dan Terengganu bagi zon Timur. Bandar Baru Veteran (BBV) ini juga berfungsi sebagai serampang dua mata dalam taktikal pertahanan negara. Keterampilan veteran dalam ilmu medan perang akan dimanfaatkan oleh kerajaan sebagai benteng pertahanan lapisan ketiga (3rd lines of defence) sekiranya kedaulatan dan keselamatan negara terancam. Dalam erti kata yang mudah, BBV bertindak sebagai pusat kaji selidik industri pemakanan negara semasa aman dan sebagai Pusat Operasi Barisan Hadapan (FOB) membantu ATM dan PDRM apabila diperlukan.

(5) Perlindungan insurans kepada semua veteran yang memberikan manfaat kepada perolehan rawatan, sakit, kemalangan dan musibah.

(6) Kerajaan Muafakat Nasional (MN) hendaklah dilihat sebagai pemangkin dalam menangani kemelut veteran secara serius dan berwawasan. Jika inisiatif di atas berjaya dicapai, kami daripada KERABAT yakin MN akan terus kekal berkuasa dan veteran ini akan berjuang habis-habisan untuk menggerakkan jentera membantu kerajaan kita. Sebagai pimpinan KERABAT, satu usaha untuk memperkasakan veteran telahpun dirancang agar diketengahkan sebagai ’blue print’ utama menjaga hal ehwal veteran. Konsultasi dengan pimpinan tertinggi ATM, beberapa kementerian dan agensi penting dalam kerajaan. KERABAT melihat keluarga 310 veteran yang merupakan penyumbang kepada 1.2 juta pengundi dalam PRU15 akan datang wajar diberikan tumpuan oleh kerajaan.

Sekian.

Yang menjalankan tugas,

HAJI MOHD NAZARI MOKHTAR
LT. KOL. TUDM (B)
Presiden KERABAT Malaysia – HARAKAHDAILY 8/8/2020

- Advertisement -