Muktamar PAS sempena setahun Muafakat Nasional

- Advertisement -

KOTA BHARU: Muktamar PAS tahun ini akan diadakan dalam suasana normal baharu dengan mengambil kira wabak Covid-19 yang masih menular.

- Advertisement -

Malah muktamar kali ke-66 tersebut juga mencatat sejarah, diadakan genap setahun usia Muafakat Nasional (MN) selepas dimaterai pada 14 September 2019.

Setiausaha Agung PAS, Dato’ Takiyuddin Hassan berkata muktamar tersebut akan diadakan di Pusat Tarbiah PAS Kelantan (Putik) 13 September ini dengan kehadiran yang terhad sekitar 400 perwakilan.

Katanya perwakilan hanya terdiri daripada ahli-ahli jawatankuasa PAS Pusat, wakil-wakil dewan termasuk DHPP dan Yang Dipertua PAS dari setiap kawasan sahaja.

“Selain itu wakil empat pimpinan PAS setiap kawasan di Kelantan sebagai tuan rumah muktamar kali ini. Manakala perwakilan PAS kawasan-kawasan lain akan mengikuti muktamar tersebut secara online.

“Mereka akan berada di Perhubungan PAS setiap negeri bagi mengikuti muktamar itu secara online. Mereka boleh mengikuti ucapan dasar presiden secara atas talian.

“Begitu juga perbahasan wakil-wakil negeri juga akan dibuat secara online dengan pimpinan utama yang berada di Putik,” katanya selepas merasmikan Muktamar PAS Kota Bharu kali ke-53 di Dewan Jubli Perak MPKB BRI di sini hari ini.

Hadir sama Timbalan Yang Dipertua PAS Kota Bharu, Dato’ Dr Ramli Mamat; Naib YDP Ustaz Nor Azariza Md Alawi dan pimpinan Dewan Ulama, Muslimat, Pemuda dan DHPP. Turut hadir Ketua Penerangan Umno Kota Bharu, Dato’ Hanapi Abdullah.

Takiyudin yang juga Yang Dipertua PAS Kota Bharu berkata, Pejabat Pendaftar Pertubuhan meluluskan diada muktamar tersebut dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.- HARAKAHDAILY 8/8/2020

- Advertisement -