Pembunuhan Adib perlu tindakan setimpal

- Advertisement -

KERAJAAN Perikatan Nasional (PN) dibentuk hasil gabungan beberapa parti dan dua yang dominan adalah parti Melayu Islam terbesar dalam negara iaitu Umno dan PAS selain BERSATU.

Ketika Piagam Muafakat Nasional (MN) dimeterai bulan September 2019 lalu, permuafakatan dua parti Melayu Islam terbesar dalam negara ini telah rata-rata mendapat sokongan dan sambutan umat Melayu seluruh negara.

Beberapa Pilihan Raya Kecil yang diadakan telah membuktikan betapa pengundi Melayu khasnya dari Cameron Highlands hinggalah Semenyih, Rantau, Tanjung Piai, Chini semuanya keluar beramai-ramai mengundi calon-calon MN kerana yakin dan percayakan perjuangannya.

- Advertisement -

Pengharapan rakyat begitu tinggi terhadap gabungan baru ini yang berjaya julung-julung kali menyatukan kuasa politik Melayu Islam dalam negara. Oleh itu jangan sekali-kali mengecewakan mereka.

Mereka mahukan pembelaan, mereka mahukan nasib dan masa depan mereka tidak lagi diabaikan malah diberi perhatian dan mereka pun bukan golongan minoriti tetapi kelompok majoriti rakyat dalam negara.

Salah satu kes yang turut diberi perhatian dalam usaha menyatukan kuasa politik Melayu ini dahulu adalah kes pembunuhan secara kejam terhadap seorang anak Melayu yang sedang bertugas untuk negara iaitu anggota Bomba Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim.

Mahkamah Koroner yang melakukan inkues terhadap kes ini pada bulan September tahun lalu telah pun memutuskan punca kematian Allahyarham adalah akibat perbuatan jenayah oleh dua atau lebih individu yang tidak dikenali. Sejak itu tiada susulan dilakukan dan ini cukup dikesali rakyat jelata.

Baru-baru ini di Dewan Rakyat Menteri Dalam Negeri menjawab berkaitan kes ini menyatakan pihak Polis kini mempunyai dua syor baru iaitu pertama untuk mendakwa 12 suspek di bawah Seksyen 143 Kanun Keseksaan kerana merusuh atau keduanya untuk mengadakan semula inkues sekiranya dipersetujui Pejabat Peguam Negara berdasarkan Seksyen 399 (2) Kanun Acara Jenayah.

Mengapa perlu didakwa merusuh sedangkan Adib dibunuh, dan mengapa perlu diadakan inkues semula sedangkan keputusan inkues pertama tidak pun dipertikaikan dan diterima semua?

Dalam hal ini saya bersetuju dengan pandangan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi Ahli Parlimen Bagan Datuk yang juga Presiden Umno, bekas Menteri Dalam Negeri yang telah berkata:

“Ini (syor kerajaan ini) tidak setimpal dengan nyawa seorang penjawat awam yang telah dibunuh. Sewajibnya, pendakwaan yang patut dikenakan kepada mereka yang terlibat adalah kesalahan yang berkaitan dengan jenayah membunuh sebagaimana yang diperuntukkan di dalam Bab 16 Kanun Keseksaan dan bukannya kesalahan himpunan haram.”

Cukuplah penderitaan dan penyeksaan yang ditanggung keluarga Allahyarham dan malah umat Melayu Islam dan rakyat Malaysia amnya memang mendesak dan mahukan tindakan segera yang setimpal diambil.

Semoga kerajaan menyemak semula keputusan ini dan sebagaimana pandangan Presiden Umno, segera mendakwa suspek atas jenayah membunuh. Keadilan jangan lagi ditangguh kerana rakyat di luar menanti-nanti.

ROSLAN SHAHIR MOHD SHAHIR – HARAKAHDAILY 6/8/2020

- Advertisement -