Moratorium bersasar ringankan beban belia

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Lanjutan moratorium dan bantuan bersasar yang diumumkan oleh Perdana Menteri mampu meringankan beban anak muda.

Malahan, lanjutan tempoh bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sedikit sebanyak memberi ruang kepada belia terus mencari peluang bagi menstabilkan sumber kewangan yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

- Advertisement -

Menurut Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abdul Kadir berkata, berdasarkan bukti kajian, antara golongan paling teruk terjejas akibat penularan Covid-19 adalah belia bawah usia 30 tahun.

“Majoriti mereka ini belum memiliki kestabilan kewangan kerana baru memulakan pekerjaan ataupun masih belum bekerja.

“Oleh yang demikian, tindakan kerajaan melanjutkan moratarium amat tepat sekali.

“Saya telah membangkitkan kebimbangan akan nasib anak muda yang masih menganggur jika moratarium tersebut diangkat terus,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Jelasnya, tindakan kerajaan itu adalah ‘soft landing’ yang baik dalam menyerap impak besar daripada pandemik Covid-19.

Bagaimanapun Shaharizukirnain berkata, golongan belia tidak sewajarnya leka dengan penangguhan bayaran ini.

Sebaliknya perlu terus proaktif mencari peluang daripada bantuan yang diberikan.

“Hal ini bagi memastikan mereka mampu membayar kembali segala hutang yang terbeban termasuk pinjaman PTPTN, pembayaran bulanan kereta mahupun rumah setelah moratarium ini dihapuskan kelak,” ujarnya.- HARAKAHDAILY 6/8/2020

- Advertisement -