Dunia diminta tidak terus hukum Top Glove

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Syarikat pengeluar sarung tangan getah terbesar dunia, Top Glove Corporation Bhd (Top Glove) dalam usaha menyelesaikan kemelut yang berlaku dalam syarikat itu.

Syarikat itu dilaporkan berdepan dengan larangan eksport produknya ke Amerika Syarikat (AS) apabila Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan Amerika Syarikat (CBP) menghalang kemasukan kontena sarung tangan getah daripada Malaysia daripada Top Glove kerana dikatakan menggunakan khidmat buruh paksa.

- Advertisement -

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata syarikat itu sedang berusaha menyelesaikan isu berbangkit antara lain berkaitan buruh asing.

Manakala, berhubung yuran pengambilan pekerja yang didakwa belum dibayar, dalam polisi terkini syarikat tersebut akan menanggung segala kos yuran berkaitan.

“Isu yuran pengambilan pekerja yang didakwa belum dibayar adalah isu lama yang melibatkan 9,000 orang pekerja dan syarikat memaklumkan bahawa mereka sedang berusaha untuk membayar balik.

“Top Glove juga memberi jaminan bahawa segala isu kebajikan pekerja akan diselesaikan,” katanya dalam sidang media di Parlimen, semalam.

Justeru, Mohd Khairuddin mengharapkan dunia mendengar penjelasan daripada syarikat Top Glove dan tidak terus memandang serong.

Sebaliknya, dunia perlu menghargai sumbangan syarikat itu terutamanya dalam penghasilan sarung tangan ketika krisis penularan wabak Covid-19.

Menurut Pengerusi Eksekutif Top Glove Corporation Bhd (Top Glove), Tan Sri Dr Lim Wee Chai turut hadir sama pada sidang media itu, memberi jaminan bahawa anggaran jumlah (yuran pengambilan pekerja) yang tidak dibayar akan diselesaikan secepat mungkin.

Lim juga menyatakan keyakinan bahawa isu sekatan oleh Jabatan Kastam dan CBP dapat diselesaikan pada Ogos ini.

Top Glove sebelum ini dilaporkan berkata anggaran jumlah yang tidak dibayar adalah kira-kira RM20 juta hingga RM50 juta.- HARAKAHDAILY 6/8/2020

- Advertisement -