Luar bandar Sarawak perlu keprihatinan berganda

- Advertisement -

KADAR kemiskinan di Sarawak lebih tinggi iaitu 15.2 peratus berbanding 8.8 peratus di peringkat nasional. Kadar Indeks Kemiskinan Pelbagai Dimensi (MPI) pula adalah 0.0303 peratus. Lima(5) kawasan tertinggi kadar kemiskinan mutlak di Sarawak adalah Pusa 38.6 peratus, Tebedu 28.7 peratus, Matu 24.1 peratus, Kabong 23.0 peratus dan Betong 22.4 peratus seperti yang dilaporkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, 2019. Angka tertinggi seperti di kawasan Pusa itu jelas memerlukan perhatian segera dan semaksimanya oleh kerajaan negeri.

Majoriti kawasan yang tinggi kadar kemiskinan mutlak ini adalah kawasan Melayu-Melanau yang mana rata-rata daripada mereka mendiami kawasan pesisir pantai luar bandar Sarawak. Usaha lebih gigih diperlukan bagi membasmi kemiskinan mutlak di kawasan terbabit dengan memastikan fungsi wakil rakyat bergerak untuk melaksanakan tanggungjawabnya. Sungguhpun begitu, pelbagai usaha dan inisiatif pembangunan yang kian rancak dilaksanakan oleh kerajaan negeri bagi memastikan angka-angka ini terus menurun. Sebagai rekod, kadar kemiskinan relatif di Sarawak pada tahun 2019 ialah 15.2 peratus itu telah menunjukkan penurunan daripada 16.8 peratus pada tahun 2016. Ini menunjukkan usaha gigih kerajaan negeri bagi membasmi kemiskinan menunjukkan keberkesanan.

- Advertisement -

Keadaan infrastruktur asas juga telah menunjukkan peningkatan dan ini sekali lagi membuktikan usaha dan inisiatif kerajaan negeri perlu terus disokong. Peratusan isi rumah yang mendapat kemudahan air paip di rumah pada 2019 meningkat sebanyak 0.4 mata peratus daripada 86.0 peratus pada 2016 kepada 86.4 peratus. Bagi bekalan elektrik meningkat sebanyak 0.2 mata peratus daripada 99.6 peratus pada 2016 kepada 99.8 peratus. Namun, PAS Sarawak ingin membawa rasa kekesalan terhadap kemudahan air bersih seperti yang berlaku kepada pendudukan di Daerah Pusa. Kampung Beladin secara spesifik telah mengalami gangguan tekanan air rendah yang menyukarkan kehidupan harian penduduk sehingga ke hari ini tanpa ada penjelasan dari pihak berwajib.

Bagi infrastruktur kesihatan pada tahun 2019, sebanyak 73.5 peratus isi rumah di Sarawak berada pada jarak kurang lima kilometer dari pusat kesihatan awam berbanding 65.1 peratus pada tahun 2016. Sementara itu, isi rumah yang menikmati kemudahan jarak kurang lima kilometer dari sekolah rendah dan sekolah menengah kerajaan masing-masing sebanyak 94.1 peratus (2016: 90.2 peratus) dan 74.8 peratus (2016: 69.6 peratus). Angka perlahan yang sepatutnya telah melebihi capaian 98 peratus ke atas ini perlu digembleng tenaga usaha sama di semua peringkat kerajaan negeri dan Persekutuan bagi memastikan hak rakyat Sarawak yang memiliki dan antara penyumbang hasil terbanyak kepada negara ini mendapat hak sewajarnya.

ZHARUDIN NARUDIN
Ketua Penerangan PAS Sarawak – HARAKAHDAILY 6/8/2020

- Advertisement -