Jangan lengahkan perbicaraan kes Adib

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda IKATAN Malaysia (DPIM) menyeru Kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak melengahkan siasatan dan perbicaraan kes pembunuhan Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kasim.

Ketuanya, Shahir Adnan berkata, tidak hairan sekiranya kes Allahyarham Muhammad Adib dipandang sepi kerana bukan daripada golongan kenamaan.

- Advertisement -

“Beliau (Muhammad Adib) bukanlah seorang ahli politik, bukan seorang bekas menteri atau bukan seorang pemimpin mana-mana organisasi yang mempunyai pengikut yang ramai.

“Maka, tidak hairanlah, kes beliau kian dipandang sepi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Selain itu, pihaknya turut menggesa kerajaan supaya tidak menukar tuduhan terhadap 12 orang suspek utama daripada tuduhan membunuh kepada tuduhan lebih ringan seperti rusuhan.

Katanya, Seksyen 143 Kanun Keseksaan adalah hukuman bagi mereka yang terlibat dalam sesuatu perhimpunan yang menyalahi undang-undang, di mana pesalah hanya dihukum penjara tidak lebih enam bulan atau denda atau keduanya sekali.

Menurutnya, hukuman ini adalah tidak setimpal dengan kematian Allahyarham Muhammad Adib, dan seakan-akan menghina keluarga beliau serta keseluruhan anggota penjawat awam.

Muhammad Adib, 24, yang bertugas sebagai anggota bantuan kecemasan Jabatan Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, parah dalam rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 Nov 2018 dan meninggal dunia di Institut Jantung Negara selepas 21 hari menerima rawatan.

Pada 27 September 2019, Mahkamah Koroner Shah Alam telah memutuskan bahawa kematian Muhammad Adib adalah akibat perbuatan jenayah yang dilakukan lebih dua atau tiga individu tidak diketahui.

Namun, Selasa lalu, Menteri Dalam Negeri Dato’ Seri Hamzah Zainudin dalam ucapan menggulung perbahasan menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong bagi kementeriannya di dalam Dewan Rakyat memaklumkan bahawa kertas siasatan kes kematian Muhammad Adib telah dirujuk semula ke Jabatan Peguam Negara pada 23 Julai lepas.

Rujukan semula kes berkenaan antara lain mencadangkan supaya 12 suspek yang sebelum ini disyaki terlibat dalam kematian Adib pada 17 Disember 2018 itu, dituduh mengikut Seksyen 143 Kanun Keseksaan.

Selain itu, mencadangkan untuk membuka semula inkues untuk siasatan sekiranya mendapat persetujuan Peguam Negara.

Berhubung perkara itu, Shahir menggesa kerajaan untuk lebih prihatin dan peka akan implikasi memulakan semula inkues dan menukar tuduhan suspek terbabit.

“Keadaan ini pasti meranapkan sisa-sisa harapan rakyat Malaysia yang mahukan keadilan buat Allahyarham Muhammad Adib,” ujarnya lagi.- HARAKAHDAILY 6/8/2020

- Advertisement -