Jangan sombong, nanti…

- Advertisement -

BILA kita pandai agama, boleh jadi imam contohnya, jangan kita perli-perli orang lain yang mungkin jahil dari kita. Jangan kita takutkan mereka dengan apa-apa yang tak patut seperti bab menjadi imam solat tarawih di rumah. Bagi semangat kepada mereka supaya berjaya.

Jika kita pakar dalam sesuatu bidang khusus, janganlah kita mengejek orang lain yang salah dengan kehinaan seperti kita tidak pernah buat salah apa-apa sebelum ini. Betulkan salah mereka maklumkan apa perkara sebenarnya.

Sekiranya kita banyak duit dan suka bersedekah, tidaklah sayugia kita memperlekehkan mereka yang kurang bersedekah atas sebab miskin mahupun yang nampak kedekut kerana mungkin si miskin itu bersedekah sedikit tetapi ikhlas dan si bakhil tadi mungkin bersedekah tapi bersembunyi. Sama-samalah kita bersedekah. Sama ada terang atau sembunyi.

- Advertisement -

Ditakdirkan kita pandai membaca al-Quran dan sentiasa mengkhatamknnya, janganlah kita merasa megah dan menyindir mereka yang merangkak-rangkak membacanya. Ucapkan kata-kata semangat bagi mereka berusaha lebih lagi atau kita bantu ajarkan mereka.

Andai kata kita seorang yang profesional, hendaklah kita tidak berfikir hanya kitalah yang paling pandai dan semua orang yang nampak tua atau pendidikan agak kurang dari kita itu tidak cerdik, kerana mungkin pengalaman mereka lebih diperlukan dari sijil kita. Maka berkerjalah bersama-sama.

Kalaulah kita mempunyai ketua, maka hormatilah dia sebagai pemimpin. Patuhilah arahannya yang tidak bercanggah dengan agama. Curahkan kesetiaan kita kepada mereka. Bukannya merendahkan mereka hanya kerana beberapa tindakan yang tidak popular atau kita mendengar perintah ketua lain pula.

Adakah dalam diri anda hal-hal sebegini? Itulah dinamakan kesombongan. Dalam Islam, sombong ialah menolak kebenaran. Ianya tiada nilai kebaikan kerana bukanlah kesilapan itu tidak boleh diperbaiki, tetapi kita memilih untuk merasa megah dan bangga. Kemudian kita mula sinis dan menyindir mereka yang lemah atau terkhilaf itu.

Oleh itu, janganlah bersikap sombong, nanti kita sama taraf seperti PH. Bagi PH, semua orang salah, bodoh, jahat, jahil dan segala macam yang negatif. Kemudian dia kutuk, hina, perlekeh, caci, maki, keji. Kononnya hanya dia sahaja yang betul, cerdik, pandai, alim, baik dan semua yang positif.

Ianya berlaku semenjak sebelum PRU, ketika PRU, sewaktu menang jadi Kerajaan dan sehingga kini, walaupun setelah diturunkan dengan hina oleh Tun Mahathir, namun masih tidak sedarkan diri, tenggelam dengan kesombongannya. Jika sedang berkuasa PH sombong, kita faham. Tetapi jika kita tiada kuasa, tapi masih berlagak, apa hebatnya?

Sewaktu ini, di Malaysia, tiadalah yang paling keji selain dari menjadi ahli atau penyokong kepada PH yang sombong itu. Siapa sombong, dia PH.

MOHD NASIR ABDULLAH
20 April 2020 – HARAKAHDAILY 20/4/2020

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -