PKP: KAS prihatin kebajikan pengguna bekalan air

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Beberapa langkah untuk meringankan beban pengguna dari segi kadar dan tempoh pembayaran caj bil air telah diambil termasuklah berkerjasama dengan syarikat dan operator air, demikian maklum Menteri Alam Sekitar, Dato’ Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man.

Sehubungan itu katanya, pihak Kementerian Alam Sekitar (KAS) mengalu-alukan langkah Ranhill Syarikat Air Johor (RSAJ) dan Kerajaan Negeri Sabah yang menyediakan skim bantuan kepada para pengguna air di kedua-dua negeri tersebut.

Menurut beliau, skim bantuan pertama oleh RSAJ melibatkan pengurangan caj bil air sebanyak 50 peratus terhadap bil keseluruhan pengguna dalam kumpulan B40 bagi bulan Mac berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

- Advertisement -

Manakala skim bantuan kedua pula ialah penangguhan aktiviti pemotongan bekalan air di sepanjang tempoh PKP, sementara Kerajaan Negeri Sabah pula mengecualikan bayaran bil air kepada pengguna domestik selama tiga bulan mulai April.

“Tindakan yang diambil oleh RSAJ dan Kerajaan Negeri Sabah tersebut perlu dihargai dan tepat pada masanya dalam membantu meringankan beban hidup serta memudahkan urusan rakyat di negeri tersebut di sepanjang PKP.

“Saya menggesa agar semua operator air di negeri-negeri lain mengamalkan konsep bantu-membantu dalam menghadapi kesusahan untuk mempertimbangkan langkah serupa ke arah meringankan beban rakyat di samping memastikan perkhidmatan bekalan air tidak tergendala dalam situasi pandemik ini.

“Kementerian ini telah merangka pelbagai inisiatif untuk menghadapi pandemik ini supaya bekalan air tidak terjejas dalam tempoh PKP dilaksanakan. Kementerian ini melalui Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) sentiasa memantau mutu perkhidmatan dan kualiti pembekalan air terawat.

“Dan komited dalam memastikan bekalan air bersih tidak terganggu di sepanjang masa terutama dalam tempoh PKP, insya-Allah,” ujar beliau dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Untuk rekod, sektor air meliputi bekalan dan perkhidmatan pembentungan telah disenaraikan sebagai sektor penting (essential) yang perlu dipastikan kelangsungannya di sepanjang tempoh PKP sebagaimana diumumkan oleh Perdana Menteri. – HARAKAHDAILY 27/3/2020*

- Advertisement -