Antara pakar, ilmu dan fatwa

- Advertisement -

PERNAH sekitar tahun 2000, masa di Petronas Gas, Kertih, aku dan kawan-kawan ada isu pasal keluar untuk solat Jumaat. Kerja kita orang jaga kilang 24/7 pada tiap-tiap masa, wajib ada minimum kru yang bertugas dalam kilang.

- Advertisement -

Maknanya, sesiapa yang nak ke masjid pada waktu solat Jumaat, mesti mendapat kebenaran penyelia supaya penyelia tahu, berapa orang lagi yang tinggal. Bukan kilang kicap, tapi kilang gas, jadi faham-fahamlah.

Tapi yang jadi masalah, majoriti semua nak ke masjid. Staf bukan Islam pulak sangat-sangat sedikit. Kadang tak ada langsung dalam satu-satu syif tu. Jadi banyak kali juga berebut dan disebabkan itu ada yang keluar juga, walau dah tahu staf tak cukup.

Ada yang buat alasan, tak apa kita nak pergi solatkan, Allah akan jaga kilang kita. Penyelia pun kadang-kadang bila dikata begitu jadi diam. Takutlah disebut orang nanti, tak yakin dengan Allah. Tapi ada yang sanggup berkorban, mengalah untuk kawan-kawan yang bersolat Jumaat, dia jaga kilang.

Ketika itu juga, ada rakan-rakan dari Petronas bersebelahan, telah menghantar surat pembaca ke akhbar bagi bertanyakan penyelesaian kepada permasalahan ini. Aku masih ingat, yang buka ruangan soal jawab dalam Utusan Malaysia ketika itu ialah Mufti Wilayah, almarhum Datuk Mohd Hashim Yahya. Zaman tu, email jer yang ada. Telefon pun Nokia 3310.

Soalan yang kurang lengkap itu dijawab oleh almarhum, pastinya dengan jawapan yang kurang lengkap juga. Almarhum menyatakan bahawa wajib bagi majikan membenarkan perkerja Islam mereka keluar bagi menunaikan solat Jumaat. Cadang Mufti lagi, majikan boleh mengarahkan pekerja bukan Islam berkerja pada waktu solat itu.

Apa yang tidak disebutkan dalam soalan ialah dharurat dalam kilang yang boleh membawa maut bukan sahaja pekerja, malah penduduk kampung sekitar dan juga tiada atau hampir tiada pekerja bukan Islam yang mencukupi dalam setiap syif bagi tujuan itu.

Maka ditampallah di papan kenyataan keratan akhbar bagi jawapan Mufti itu, tanpa diambil kira soalan yang tidak cukup maklumat itu. Dan bertambahlah tekanan kepada penyelia dengan adanya jawapan itu. Tetapi alhamdulillah, seingat aku, tiada apa-apa kejadian buruk yang berlaku pada waktu solat Jumaat. Tapi ada juga kemalangan maut, berlaku pada waktu lain.

Aku mengambil inisatif untuk pergi ke pejabat Mufti Terengganu bagi berjumpa dan bertanya sendiri jawapan yang paling tuntas dari Mufti. Ketika itu Mufti Terengganu ialah Syeikh Abdul Halim Abdul Kadir, dibawah Kerajaan PAS.

Aku menyebut semua permasalahan yang ada bagi Mufti mengeluarkan jawaban. Dan beliau akhirnya memberikan jawapan yang sangat berbeza daripada jawapan yang Mufti Wilayah berikan atas faktor beliau mendapat semua maklumat.

Kata beliau, orang yang tidak boleh pergi solat Jumaat atas alasan menjaga keselamatan harta negara itu diharuskan melakukan solat Jumaat di dalam kilang walaupun dengan jumlah yang kurang daripada 40 orang sehinggakan jika ada belasan orang pun masih dibolehkan.

Aku meminta Mufti mengeluarkan satu surat, kerana aku tahu, cakap-cakap mulut sahaja, tidak akan membawa kesan kepada orang lain yang tidak ada dalam perjumpaan itu. Mufti menegaskan bahawa, aku dan rakan-rakan boleh lakukan, atas pandangan beliau secara lisan. Beliau tidak akan mengeluarkan apa-apa surat.

Kemudian barulah aku tersedar yang beliau ialah seorang Mufti. Jika Mufti menandatangani sekeping surat mengharuskan solat Jumaat kurang 40 orang di kawasan bermazhab Syafie, akan bertambah kecoh lagilah keadaan. Jadi Syeikh Abdul Halim sangat bijak dalam menangani hal ini. Mengambil ‘uruf setempat.

Datang pula seorang tetamu jemputan, Ustaz Zawawi Jusoh, seorang personaliti agama yang terkenal waktu itu ke kilang kami, dijemput untuk memberikan syarahan. Soalan yang sama diajukan. Jawab beliau, kumpulkan seramai mungkin kakitangan yang ada dan semua kakitangan tak perlu keluar langsung dari kilang.

Lantik seorang jadi imam, bacalah seringkas yang boleh khutbah dan dibaginya contoh surah al-Asr. Cukupkan lima rukun khutbah, kemudiannya solatlah. Ia sudah sah kata beliau, tak perlu panjang-panjang khutbah itu sebab fikirkan dharurat itu.

Apa yang berlaku? Kami tetap keluar dari kilang kerana masih tidak yakin bahawa solat Jumaat kurang dari 40 orang. Kemudian isu lain ialah tiadanya penduduk pemastautin di kampung itu bersama. Dan juga masalah imam. Syak wasangka kami kerana kejahilan, melebihi fatwa atau hukum fiqh dari ulamak yang telah jelas.

Setelah lama berlalu, barulah otak kami berkembang. Kami melihat Tabung Haji melakukan solat di ruangan lobi bangunan mereka, tanpa ada penduduk asal di situ, semuanya pekerja. Rukhsah daripada mazhab lain, boleh diguna dalam berfatwa, bagi kes-kes tertentu (maaf bagi yang berpegang kepada tiada mazhab, bacaan ini bukan untuk anda).

Sekarang dalam kes COVID-19 ini juga kelihatan corak pemikiran kami yang dahulu masih ada. Ya, aku faham yang isu menolak fatwa ini tidak akan habis. Tetapi percayalah dalam menentukan hukum sesuatu isu, yang paling utama ialah maklumat yang betul dan lengkap mesti diberikan.

Kemudiannya, maklumat atau data itu semestinya datang dari pakar dalam bidang yang terlibat dan dipercayai. Selepas itu ilmu bagi ulamak dengan dalil-dalil dari berbagai sudut bagi memadankan hukum dengan situasi yang berlaku. Dan akhirnya fatwa dikeluarkan oleh ulamak.

Kita boleh sahaja memilih fatwa ulamak yang lain dan berdiam diri jika fatwa yang berlawanan itu melibatkan kecemasan dan apa-apa yang boleh memberi kesan sangat besar kepada masyarakat. Kecuali jika fatwa itu fatwa yang bukan kecemasan bagi negara, ia tidaklah menjadi masalah jika diperdebatkan agamawan.

Maka, perkemaskanlah diri kita dengan ilmu, supaya tidak sentiasa berlawan dengan keadaan yang menunjukkan kita ini, tidak bijak.

MOHD NASIR ABDULLAH
17 Mac 2020 – HARAKAHDAILY 17/3/2020

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -