DEWAN Pemuda PAS Negeri Sabah (DPPNS) mengajak Parti WARISAN Sabah mengambil pendirian untuk meninggalkan DAP jika mahu bekerjasama rapat dengan Kerajaan Persekutuan yang dikuasai Perikatan Nasional (PN).
Pemuda PAS memandang konsep ‘Kerajaan Tanpa DAP’ yang dilaksanakan di peringkat Persekutuan menepati cita rasa rakyat Sabah dan ia juga perlu diambil sebagai model terbaharu oleh WARISAN memandangkan Pakatan Harapan (PH) kini sangat lemah sehingga tumbang di beberapa buah negeri dalam Malaysia.
Hampir segenap rakyat Malaysia mengetahui bahawa DAP telah menjadi ‘liabiliti’ utama sebelum ini dalam kejatuhan PH di peringkat Kerajaan Persekutuan dan Pemuda PAS berpandangan ‘teori domino’ ini juga bakal terjadi di Sabah tidak lama lagi.
Gabungan Perikatan Nasional – GPS yang kini disebut-sebut oleh rakyat Sabah setelah menguasai beberapa negeri di Semenanjung termasuk Sarawak bakal menyaksikan kekuatan politik baharu di Sabah iaitu kerjasama antara PAS, BN, BERSATU, dan STAR. Ia mungkin disertai parti-parti tempatan yang lain
Pemuda PAS sangat yakin kerjasama di antara Kerajaan Persekutuan dan negeri akan menjadi lebih utuh sekiranya WARISAN menolak bersama DAP dengan mengeluarkan mereka segera dari Kabinet Kerajaan Negeri Sabah dan beralih menyokong PN di peringkat Persekutuan.
Sekian, terima kasih
“Sabah Sejahtera”
ZULZAIM HILMEE ABIDIN
Ketua Dewan Pemuda PAS negeri Sabah (DPPNS) – HARAKAHDAILY 13/3/2020