Nabi Yusuf A.S dan peranan memulihkan negara

- Advertisement -

LATAR belakang

(1) Nabi Yusuf A.S dikisahkan oleh Allah S.W.T di dalam al-Quran, dan diiktiraf sebagai kisah yang terbaik أحسن القصص yang perlu dijadikan rujukan oleh para Menteri atau pemerintah.

Kisah perjalanan hidup Nabi Yusuf A.S yang sangat mengasyikkan, menceritakan dari mula zaman kanak-kanaknya, sehinggalah menjawat sebagai Menteri di Mesir.

(2) Baginda A.S bermula dengan dunia penindasan, diletakkan di dalam perigi, dibawa ke Mesir, terpisah daripada ayahnya, menjadi anak angkat raja, masuk penjara dan akhirnya menjadi Menteri.

Kita akan ambil beberapa poin di dalam kisah ini, yang boleh dijadikan panduan bagi berhadapan dengan krisis ekonomi pada hari ini. Semoga bermanfaat.

- Advertisement -

(3) Hari ini Malaysia sedang dilanda dengan cuaca panas yang tinggi, paras air di tempat tadahan semakin berkurangan, cuaca tak menentu dan sebagainya.

Hal realiti ini telah saya huraikan dalam artikel-artikel sebelum ini mengenai global warming [1] atau pemanasan global yang turut mengancam masa depan.

(4) Dalam perjalanan hidup Baginda A.S yang panjang, ketika Baginda A.S dipenjarakan dan terserlah kebolehan menafsir mimpi. Baginda A.S dipenjarakan bersama dua banduan lagi.

Kedua-dua banduan itu mengalami mimpi, dan meminta supaya Nabi Yusuf A.S menafsirkan mimpi mereka. Ternyata tafsiran Nabi Yusuf A.S tepat.

Mimpi Raja Mesir

(1) Nabi Yusuf A.S menafsirkan bahawa seorang dari kalangan mereka akan dibebaskan daripada penjara, dan bertugas menjadi pelayan istana. Manakala seorang lagi akan dijatuhkan hukuman dipalang.

(2) Ternyata tafsiran mimpi kedua-dua banduan tersebut tepat sepertimana yang terjadi. Nabi Yusuf A.S berpesan kepada orang yang bakal dibebaskan itu supaya memaklumkan kepada Raja Mesir mengenai dirinya;

وَقَالَ لِلَّذِی ظَنَّ أَنَّهُۥ نَاجࣲ مِّنۡهُمَا ٱذۡكُرۡنِی عِندَ رَبِّكَ فَأَنسَىٰهُ ٱلشَّیۡطَـٰنُ ذِكۡرَ رَبِّهِۦ فَلَبِثَ فِی ٱلسِّجۡنِ بِضۡعَ سِنِینَ

“Dan berkatalah Yusuf kepada orang yang ia percaya akan terselamat di antara mereka berdua: “Sebutkanlah perihalku kepada tuanmu”. (Setelah orang itu dibebaskan dari penjara) maka ia dilupakan oleh syaitan untuk menyebutkan (hal Yusuf) kepada tuannya. Dengan sebab itu tinggalah Yusuf dalam penjara beberapa tahun.”

(3) Beberapa tahun kemudian, Raja Mesir turut menerima mimpi ganjil;

وَقَالَ ٱلۡمَلِكُ إِنِّیۤ أَرَىٰ سَبۡعَ بَقَرَ ٰ⁠تࣲ سِمَانࣲ یَأۡكُلُهُنَّ سَبۡعٌ عِجَافࣱ وَسَبۡعَ سُنۢبُلَـٰتٍ خُضۡرࣲ وَأُخَرَ یَابِسَـٰتࣲۖ یَـٰۤأَیُّهَا ٱلۡمَلَأُ أَفۡتُونِی فِی رُءۡیَـٰیَ إِن كُنتُمۡ لِلرُّءۡیَا تَعۡبُرُونَ

“Dan (pada suatu hari) Raja Mesir berkata: “Sesungguhnya aku mimpi melihat: tujuh ekor lembu yang gemuk dimakan oleh tujuh ekor lembu yang kurus, dan aku melihat tujuh tangkai (biji-bijian) yang hijau dan tujuh tangkai lagi yang kering. Wahai ketua-ketua kaum (yang hadir, terangkanlah kepadaku mengenai mimpiku ini, kalau kamu orang yang pandai menafsirkan mimpi”.

(Yusuf: 43)

Di dalam ayat 43 ini menceritakan bagaimana Raja Mesir mengalami mimpi yang ganjil. Lalu beliau cuba meminta pandangan ketua-ketua kaum yang hadir ketika itu.

Cadangan pelayan istana

(1) Raja Mesir minta supaya ditafsirkan mimpinya itu. Allah S.W.T berfirman menceritakan bagaimanakah respons ketua-ketua kaum itu;

قَالُوۤا۟ أَضۡغَـٰثُ أَحۡلَـٰمࣲۖ وَمَا نَحۡنُ بِتَأۡوِیلِ ٱلۡأَحۡلَـٰمِ بِعَـٰلِمِینَ

“Mereka menjawab: “Yang demikian itu ialah mimpi-mimpi yang bercampur aduk, dan kami bukanlah orang-orang yang mengetahui mimpi-mimpi (yang sedemikian) itu”.”

(2) Lalu pelayan istana yang merupakan bekas banduan sepenjara dengan Nabi Yusuf A.S menyuarakan pandangannya;

وَقَالَ ٱلَّذِی نَجَا مِنۡهُمَا وَٱدَّكَرَ بَعۡدَ أُمَّةٍ أَنَا۠ أُنَبِّئُكُم بِتَأۡوِیلِهِۦ فَأَرۡسِلُونِ

“Dan (pada saat itu) berkatalah orang yang terselamat di antara mereka yang berdua itu, dan yang baharu mengingati (akan pesanan Yusuf) sesudah berlalu suatu masa yang lanjut: “Aku akan memberitahu kepada kamu tafsirannya. Oleh itu hantarkanlah daku pergi (kepada orang yang mengetahui tafsirannya) “.

(3) Pelayan istana ini baru teringat pesanan Nabi Yusuf A.S untuk menceritakan mengenai kisah Nabi Yusuf di dalam penjara, kerana dia terlupa.

Menyebabkan Nabi Yusuf A.S duduk dalam penjara bertahun-tahun (ayat 42). Lalu Raja Mesir pun mengutuskan pelayan itu untuk menemui Nabi Yusuf A.S di penjara.

Ibnu Abbas menyatakan bahawa penjara tersebut berada di luar Madinah. Justeru, Raja Mesir bersetuju dengan tawaran pelayan istana tadi.

Tafsiran Nabi Yusuf A.S

(1) Pelayan istana tadi menemui Nabi Yusuf A.S di dalam penjara dan menanyakan mengenai mimpi Raja;

یُوسُفُ أَیُّهَا ٱلصِّدِّیقُ أَفۡتِنَا فِی سَبۡعِ بَقَرَ ٰ⁠تࣲ سِمَانࣲ یَأۡكُلُهُنَّ سَبۡعٌ عِجَافࣱ وَسَبۡعِ سُنۢبُلَـٰتٍ خُضۡرࣲ وَأُخَرَ یَابِسَـٰتࣲ لَّعَلِّیۤ أَرۡجِعُ إِلَى ٱلنَّاسِ لَعَلَّهُمۡ یَعۡلَمُونَ

“(Setelah ia berjumpa dengan Yusuf, berkatalah ia): “Yusuf, Wahai orang yang benar (pada segala-galanya)! Tafsirkanlah kepada kami (seorang bermimpi melihat): tujuh ekor lembu yang gemuk dimakan oleh tujuh ekor lembu yang kurus; dan tujuh tangkai (biji-bijian) yang hijau serta tujuh tangkai lagi yang kering; (tafsirkanlah) supaya aku kembali kepada orang-orang yang mengutusku itu, semoga mereka dapat mengetahui tafsirannya”.

Nabi Yusuf A.S menghuraikan mimpi tersebut dengan menyatakan;

قَالَ تَزۡرَعُونَ سَبۡعَ سِنِینَ دَأَبࣰا فَمَا حَصَدتُّمۡ فَذَرُوهُ فِی سُنۢبُلِهِۦۤ إِلَّا قَلِیلࣰا مِّمَّا تَأۡكُلُونَ

“Yusuf menjawab: “Hendaklah kamu menanam bersungguh-sungguh tujuh tahun berturut-turut, kemudian apa yang kamu ketam biarkanlah dia pada tangkai- tangkainya; kecuali sedikit dari bahagian yang kamu jadikan untuk makan.”


ثُمَّ یَأۡتِی مِنۢ بَعۡدِ ذَ ٰ⁠لِكَ سَبۡعࣱ شِدَادࣱ یَأۡكُلۡنَ مَا قَدَّمۡتُمۡ لَهُنَّ إِلَّا قَلِیلࣰا مِّمَّا تُحۡصِنُونَ

“Kemudian akan datang selepas tempoh itu, tujuh tahun kemarau yang besar, yang akan menghabiskan makanan yang kamu sediakan baginya; kecuali sedikit dari apa yang kamu simpan (untuk dijadikan benih).”

ثُمَّ یَأۡتِی مِنۢ بَعۡدِ ذَ ٰ⁠لِكَ عَامࣱ فِیهِ یُغَاثُ ٱلنَّاسُ وَفِیهِ یَعۡصِرُونَ

“Kemudian akan datang pula sesudah itu tahun yang padanya orang ramai beroleh rahmat hujan, dan padanya mereka dapat memerah (hasil anggur, zaitun dan sebagainya)”.

Hedge dan budget allocation

(1) Wallahuaklam, saya belum menemui ulamak yang mengambil sistem ini untuk dijadikan sebagai hukum pada hari ini. Iaitu hasil negara disimpan dan digunakan sedikit sahaja.

Ini kerana di sana terdapat percanggahan dengan banyak dalil yang menjadi pensyariatan. Contohnya dalam konsep zakat, kutipan zakat perlu diagihkan dalam tahun yang sama kutipan dibuat.

(2) Contoh yang lain, zaman Saidina Umar R.A, beliau ‘mengosongkan’ Baitul Mal setiap tahun. Justeru dari sudut menyimpan hasil negara untuk digunakan pada masa depan, tidak sesuai.

Cuma ia berbeza dengan harta persendirian. Boleh dilaksanakan sedemikian, dan ada yang cukup setahun perlu dikeluarkan zakat. Hal ini dihuraikan dalam bab zakat.

(3) Apatah lagi Nabi Yusuf A.S adalah seorang Nabi yang menerima wahyu mengenai apa yang bakal terjadi. Boleh rujuk ayat 37 Surah Yusuf yang menggambarkan bahawa tafsiran itu daripada Allah S.W.T.

(4) Apa yang boleh kita ambil ialah konsep ‘budget allocation’ yang digunakan oleh Nabi Yusuf A.S. Menggambar bahawa kaedah penggunaan hasil negara disusun mengikut keutamaan.

Iaitu diberi keutamaan kepada keperluan asasi untuk hidup. Di samping itu, istilah yang sesuai dengan pelan perancangan Nabi Yusuf ini ialah ‘hedge’.

Ia adalah ‘halangan yang bertindak sebagai had atau sekatan’. Hedge adalah bertujuan untuk mengehadkan atau mengurangkan risiko berkaitan dengan pergerakan harga. InsyaAllah akan dihuraikan dalam artikel yang lain.

Oleh: MUHAMMAD MUJAHID IR HJ MOHAMMAD FADZIL – HARAKAHDAILY 13/3/2020

- Advertisement -