G25: Bebal tak bertepian, cerdik tak bermanfaat

G25: Bebal tak bertepian, cerdik tak bermanfaat
- Advertisement -

KUMPULAN bekas penjawat awam kanan, G25 merupakan sebuah pertubuhan kontroversi yang menggelarkan pertubuhan mereka sebagai “a group of influential and moderate Malays” semakin menunjukkan belang mereka yang sebenar sebagai sebuah pertubuhan yang Liberal provokatif apabila sekali lagi membuat tindakan bebal dengan melancarkan dokumen “Administration of Matters Pertaining to Islam” pada 11 Januari lalu.

Tindakan ini jelas menunjukkan pertubuhan mereka tidak layak untuk berbicara mengenai Islam khususnya berkaitan akidah dan syariat. Ini amat bertepatan dengan firman Allah:

- Advertisement -


“Dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang (kafir dan munafik) yang berkata: ‘Kami dengar’, padahal mereka tidak mendengar (tidak mahu menerima dan mematuhinya). Sesungguhnya sejahat-jahat makhluk yang melata, pada sisi (hukum dan ketetapan) Allah, ialah orang-orang yang pekak lagi bisu, yang tidak mahu memahami sesuatu pun (dengan akal fikirannya).”

(Al-Anfaal: 21-22)

GAMIS meneliti dokumen “Administration of Matters Pertaining to Islam” yang dikeluarkan oleh pertubuhan ini di mana agendanya terang-terangan untuk merendahkan dan melemahkan institusi agama Islam di peringkat Persekutuan. Antara kandungan dokumen ini yang jelas menyeleweng adalah:

(a) Menganggap murtad iaitu keluar dari Islam merupakan kesalahan atau dosa antara individu dengan Tuhan sahaja dan kerajaan hendaklah memberikan kebebasan kepada umat Islam untuk murtad.

(b) Mempertikai penubuhan Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Agama Islam (MKI) dan JAKIM dengan menyatakan ia tidak mengikut Perlembagaan Malaysia kerana agama adalah perkara yang berada di bawah kelolaan negeri-negeri.

Sebelum ini, pertubuhan songsang ini telah beberapa kali mengeluarkan kenyataan dan persoalan meragukan yang bertentangan dengan syariat. Antara kenyataannya adalah berkaitan khalwat, zina, minum arak dan sebagainya yang menunjukkan kejahilan mereka di dalam menilai hukum agama Islam serta Perlembagaan Negara.

GAMIS mencurigai akan ideologi pertubuhan G25 ini. Jika mereka sebuah pertubuhan Liberal agama, mengapa mereka sentiasa mengadakan forum, kajian dan diskusi berkaitan agama Islam sahaja. Mereka seakan-akan mencari kesilapan yang ada di dalam agama Islam walaupun sedia maklum bahawa agama suci ini bebas daripada segala kekurangan yang mana ajarannya mencakupi keseluruhan cara hidup manusia. Pendekatan mereka yang tidak sedikit pun ‘mencari’ kekurangan agama lain jelas membuktikan golongan G25 ini anti kepada Islam.

GAMIS mengingatkan kepada ahli pertubuhan ini yang mempunyai pengalaman dan pengaruh dalam masyarakat (seperti yang didakwa) dan kebanyakan mereka yang berada di umur senja agar kembali kepada Allah S.W.T dan menjadi warganegara yang menabur jasa kepada masyarakat dan negara. G25 sepatutnya mensyukuri kurniaan, pangkat, intelektual dan harta dengan cara membela Islam, bukan menimbulkan tanggapan yang salah terhadap Islam.

GAMIS juga menyeru kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), YB Datuk Seri Dr. Mujahid untuk bersikap responsif terhadap isu ini dan mengambil tindakan tegas bagi menangani dan menyekat pergerakan kumpulan yang menyeleweng ini. Jika tiada sebarang tindakan diambil kepada pertubuhan Liberal ini oleh pihak kementerian, GAMIS berpendapat bahawa Menteri Agama seperti ‘harapkan pagar, pagar makan padi’, malah Menteri Agama turut bersependapat dan sealiran dengan G25 yang sentiasa berusaha merosakkan dan menjatuhkan martabat Islam.

GAMIS sekali lagi menegaskan bahawa akan terus konsisten menjunjung penuh Perlembagaan Negara, mempertahankan kesucian Islam dan teras kenegaraan tanah air ini. Mana-mana pihak yang memberi sebarang ancaman dan pertikaian kepada teras negara ini haruslah bersedia untuk berhadapan dengan kami.

“Demi Islam, Mahasiswa Bangkit”

BADRUL IZZAT MOHD NAURUDI,
Timbalan Pengerusi 1,
Majlis Politik dan Nasional,
Gabungan Mahasiswa Islam Se-malaysia (GAMIS) 2020

22 Februari 2020 | 28 Jamadil Akhir 1441H – HARAKAHDAILY 22/2/2020

- Advertisement -