‘Dark Ages’: Guan Eng meracau burukkan PAS

- Advertisement -

FEARMONGERING, itulah yang cuba ditanam oleh Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng kepada rakyat Malaysia mengenai PAS dan Kerajaan Islam, sehingga menyebabkan ramai orang bukan Islam salah anggap terhadap PAS. Anehnya, jika dahulu MCA yang memukul gendang, kini DAP yang menyambung rentaknya, malah ditambah lagi iramanya.

- Advertisement -

Guan Eng terus menerus menggambarkan bahawa PAS akan mengenepikan dan menafikan hak orang bukan Islam untuk menjadi Menteri Kabinet. Hakikatnya Tuan Guru Presiden PAS sendiri menegaskan tidak pernah menafikan hak non-Muslim untuk menjadi Menteri Kabinet.

Kita meletakkan garis panduan yang mana ada sebahagian kementerian yang perlu dipegang oleh orang Islam, dan sebahagian kementerian boleh dipegang orang bukan Islam yang mempunyai kepakaran dan kemahiran. Guan Eng sendiri tahu pendirian PAS ini, kerana pendirian inilah yang dipegang dari dulu, malah semasa PAS bersama DAP sehingga sekarang.

Guan Eng menggambarkan seolah-olah masyarakat bukan Islam akan ditindas di bawah Kerajaan PAS. Hakikatnya selama 30 tahun PAS memerintah Kelantan, tidak ada waima satu orang pun masyarakat bukan Islam yang ditindas atau dinafikan hak mereka.

Mereka boleh beribadat, boleh mengamalkan cara hidup mereka, dan tidak pernah dipaksa mengamalkan ajaran Islam termasuk dipaksa bertudung atau menutup aurat. Mereka terus disantuni dan didekati setiap kali musim perayaan mereka.

Guan Eng sendiri tahu fakta ini. Malah beliau sendiri pernah memuji kerajaan PAS Kelantan suatu ketika dahulu. Kenapa kini nadanya berbeza?

Guan Eng menggambarkan PAS sebagai kerajaan yang teruk dan memilih PAS akan menyebabkan rakyat kembali ke Zaman Gelap (Dark Ages). Tidak pasti apa yang dimaksudkan beliau kembali ke Zaman Gelap. Apakah rakyat Kelantan merempat dan begitu daif sehingga digambarkan sebegitu rupa?

Bukankah Kelantan sendiri memberikan sumbangan ekonomi kepada kerajaan melalui kegiatan IKS dan kebudayaan yang subur berkembang biak di negeri ini? Bukankah sistem pendidikan Kelantan sendiri melahirkan ribuan, bahkan puluhan ribu graduan yang menjadi tenaga pakar dalam meningkatkan produktiviti dan ekonomi negara?

Teruk sangatkah PAS jaga Kelantan sehingga dikatakan sebagai ‘Dark Ages’? Yang pasti, baik PAS mahupun Kerajaan Kelantan, keduanya tiada sebarang hubungan dengan tauke dadah antarabangsa. Mungkin sebab itulah kerajaan Kelantan dikatakan tak maju dan ‘Dark Age’.

Cukuplah Guan Eng menakutkan rakyat Malaysia, khususnya masyarakat _non-Muslim_ terhadap PAS dan Islam. Cukuplah menipu dan membawa persepsi jahat. Rakyat sudah meluat dengan kerajaan sekarang yang langsung tidak menepati janji dan berterusan menipu rakyat.

Fokus dengan kerja anda sebagai kerajaan dan jangan takutkan rakyat dengan fahaman perkauman sempit dan politik permusuhan kamu. PAS akan terus berjuang ke arah Malaysia yang lebih sejahtera, dan tanpa DAP yang merosakkan kehidupan dan keharmonian rakyat Malaysia.

NAZRUL NAZIR
Timbalan Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Malaysia
11 Februari 2020 – HARAKAHDAILY 11/2/2020

- Advertisement -