WEF2020: Apa langkah Malaysia seterusnya?

- Advertisement -

TIDAK banyak liputan media tempatan mengenai World Economic Forum 2020 (WEF2020) yang berlangsung di Davos-Klosters Switzerland hujung Januari lepas. Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) yang mewakili negara dikatakan berpeluang bertemu dengan Mr Justin Wood (Head of the Asia Pacific Region and Member of the Executive Committee WEF) dan beberapa rakan sejawat dari Palestin, Turki, Chile, Korea dan Afrika Selatan. Selain itu, beliau mengadakan pertemuan dengan beberapa pemain industri syarikat multi nasional seperti ABB Ltd, DP World, Standard Chartered dan AIRBUS.

- Advertisement -

Dalam konteks ekonomi moden pada hari ini, tidak ada sebuah negara yang boleh berdiri sendiri tanpa sebarang hubungan dengan negara lain. Bahkan Al-Quran sendiri mengisyaratkan bagaimana orang-orang Quraisy seringkali mengadakan hubungan perniagaan dengan Syam dan Yaman (pada musim sejuk dan panas), justeru forum ini sebenarnya satu detik yang penting buat negara yang sedang membangun seperti Malaysia.  Walau bagaimanapun, kita masih menanti output perundingan bagi menyokong pertumbuhan ekonomi 2020 yang dilihat agak mencabar pada hari ini. Tidak lupa juga, Malaysia mendapat perhatian media antarabangsa ekoran ‘diplomatic spat’ dengan India awal tahun ini. Tindakan ‘non tariff barrier’ India telah memberikan dampak besar kepada pasaran eksport minyak sawit Malaysia dan jemputan rundingan bersama secara tidak formal di Davos-Klosters turut ditolak oleh India. Sedikit sebanyak ia dilihat mencalar kewibawaan Malaysia di persidangan dunia tersebut. Namun, mitigasi risiko telah diambil oleh Malaysia.

World Economic Forum (WEF) merupakan satu platform antarabangsa yang menghubungkan kerjasama strategik sektor kerajaan dan swasta. Topik yang dibincangkan merentasi pelbagai bidang tetapi bertujuan untuk mengagendakan hala tuju di peringkat global. WEF edisi ke-50 tahun ini turut menggagaskan resolusi ‘Davos Manifesto’ yang baharu dengan mengangkat model ‘Stakeholder Capitalism’. Ia bukan hanya meletakkan sektor perkorporatan swasta sebagai entiti ‘profit seeking’ sahaja sebaliknya sebagai sebuah organisma sosial juga. Idea tersebut adalah respon daripada ikon suara remaja dunia, Greta Thunberg.

Greta Thunberg yang berusia 17 tahun, kelahiran Sweden telah dinobat sebagai TIME’s 2019 Person of the Year. Beliau aktivis alam sekitar yang mengartikulasi agenda perubahan iklim di seluruh dunia. Beliau pernah diberi peluang untuk berucap di Parlimen United Kingdom dan berusaha melobi penggubalan akta untuk mengurangkan ‘carbon footprint’. Ratusan ribu ‘Gretas’ dari Lubnan ke Liberia telah memobilisasi ‘climate strikes’ di seluruh dunia. Greta yang juga menghidap Sindrom Asperger hanya mengungkap ucapan yang ringkas tapi tepat. “I want you to panic. I want you to feel the fear I feel every day. And then I want you to act”.

Natijah perjuangan eko-sosial beliau yang menjadi sensasi global itu, salah satu tema utama WEF 2020 turut membahaskan tema alam sekitar (How to Save the Planet). Terlalu banyak untuk diperkatakan. Agenda paling utama ialah ‘setting’ yang digambarkan dalam WEF2020 menjadikan isu alam sekitar telah menjadi ‘mainstream’ dalam kalangan masyarakat global. Pelbagai isu yang disinggung antaranya bahana plastik, perubahan iklim, kebakaran hutan, ‘deforestation’, budaya kepimpinan ‘eco-centric’, kecairan ais di benua Artik dan pelancaran The Global Risks Report 2020.

Selain itu, tema cabaran masa hadapan sektor kesihatan (healthy futures) turut dibincangkan dalam WEF2020. Sementelahan wabak Novel Coronavirus telah hangat dibincangkan hari ini, ia juga sebenarnya telah mula diperkatakan dalam sidang tersebut termasuk gesaan untuk membangunkan vaksin berkesan untuk mengatasi virus itu. Isu kesihatan yang banyak mendapat perhatian termasuklah kesihatan mental, malnutrisi khususnya dalam kalangan kanak-kanak, populasi masyarakat warga emas (ageing state) dan kos penjagaan kesihatan. Unjuran masa depan, sektor kesihatan akan bermodelkan ‘precision medicine’.

Slogan kuat yang dilaungkan dalam sidang bertemakan masyarakat dan masa depan pekerjaan ialah, “right education, right skills and right jobs”. RI 4.0 dijangka akan mentransformasi satu pertiga budaya pekerjaan seluruh dunia. Pemain industri mengunjurkan kira-kira 70 juta pekerjaan akan digantikan dengan robotik automasi dan integrasi teknologi. Justeru, jurang pendapatan dan peluang akan menjadi lebih luas. Oleh sebab itu, mereka membincangkan mengenai revolusi ‘reskilling’ supaya tidak ada yang terpinggir dalam arus RI 4.0 ini. Kecerdasan Buatan (AI) dilihat sebagai peluang atau ancaman besar terhadap masa depan pekerjaan.

Isu utama yang dibincangkan dalam keadilan ekonomi ialah kesenjangan atau ‘inequality’ antara dua pihak. Kaya dan miskin, bandar dan luar bandar. Justeru, para pemain utama menggagaskan ‘Stakeholder Capitalism’ yang mempunyai perbezaan ketara ‘Shareholder Capitalism’ dan ‘State Capitalism’. Meskipun ia merupakan teori pengurusan yang popular sekitar tahun 1950-an, namun krisis ekonomi yang melanda dunia pada tahun 2008 telah menyentak kesedaran mereka untuk memeta kembali hala tuju sebenar dunia perniagaan. Sekarang bisnes mesti mengutamakan hak asasi manusia, alam sekitar dan kelestarian.

Jika selama ini orientasi bisnes berpaksikan pulangan untuk pemegang saham syarikat, namun dalam WEF2020 mereka menukar ‘mindset’ ke arah memberi nilai untuk syarikat, komuniti dan sejagat. Bisnes bukan untuk keuntungan pemegang saham semata-mata tetapi juga mengambil berat kebajikan sosial dan alam sekitar. Oleh sebab itu, salah satu tema penting yang dibahaskan dalam WEF2020 adalah mengenai hala tuju baharu dunia perniagaan. Elemen ini akan menjadi sebahagian daripada kriteria utama untuk mengukur kejayaan sesebuah syarikat pada dekad ini.

Dunia tidak boleh lagi memandang rendah kepada Bangladesh. Dulu negara ini sangat mundur dan ditimpa bencana kebuluran. Kini, industri IT menjadi ‘anchor’ kepada pertumbuhan Bangladesh dan mengeksport hampir USD1 bilion produk teknologi setiap tahun. Seramai 600,000 rakyat Bangladesh merupakan pekerja bebas (freelancers) IT. Unjuran pertumbuhan ekonomi Bangladesh menjangkau 8 peratus pada tahun 2020. Teknologi menjadi teras kekuatan sesebuah negara. Pada masa yang sama, cabaran utama yang sedang dihadapi antaranya jenayah siber. Sistem sekuriti menjadi perbahasan penting tema teknologi dalam WEF.

WEF2020 juga tidak meminggirkan isu geopolitik. Tema terakhir ini tidak kurang pentingnya. Kebimbangan yang disuarakan Verisk Maplecroft berasas dengan andaian kira-kira 40 peratus daripada 195 negara di dunia akan berhadapan dengan _‘civil unrest’_ sepanjang tahun 2020. Rusia, Arab Saudi dan China antara negara yang akan menyaksikan protes rakyat besar-besaran. Desakan baharu terhadap orde antarabangsa pimpinan Barat digerakkan oleh kemunculan semula gerakan nasionalisme, terorisme dan konfrontasi ketenteraan. Memetik pandangan salah seorang figura geostrategis, “Authoritarian state capitalism is challenging the Western model of free markets and politics as the best wayto order society”.

Dunia sedang bergerak pantas. Topik-topik yang dibincangkan sangat mencabar dan sedang berjalan seperti yang diorkestrakan oleh para pemain utama dunia. Sisi yang lain, umat Islam di Palestin, Syria, Yaman, India, China, Myanmar dan hampir seluruh dunia bergelut dengan pelbagai isu sama ada isu dalaman atau isu luaran. Begitu juga di negara yang kita cintai, Malaysia. Reformasi politik yang diharapkan terkandas disebabkan oleh perkara yang tidak berkesudahan. Politik hanyir, rasisme (closet rasicm), prejudis dan sarkastik masih menjadi bualan rakyat. Jika tidak berubah, Malaysia akan terus terpinggir!

AHMAD FADHLI SHAARI
Ahli Parlimen Pasir Mas
1 Februari 2020 – HARAKAHDAILY 1/2/2020

- Advertisement -