Hidayah kerana seluar dalam

SEORANG wanita kelihatan terbongkok-bongkok mengumpul pakaian dalam satu bekas untuk dibasuh. Pakaian ini harus segera dicuci bagi dihantar kembali kepada tuannya. Wanita tadi ialah orang yang menguruskan dobi bagi semua penghuni kediaman syarikat di situ.

Advertisement

Syarikat menyediakan perkhidmatan dobi itu bagi kemudahan pekerjanya. Syarikat multi nasional itu dianggotai dari berbagai bangsa dan agama. Orang Islam hanyalah seorang sahaja dalam komuniti itu. Yang selebihnya ialah bukan Islam.

Sudah bertahun-tahun lamanya wanita itu melakukan kerja itu, sehingga dia tahu hampir semua nama-nama pekerja dan biliknya. Dan pada kebiasaannya, semua pakaian akan diserahkan kepada wanita itu bagi dicuci oleh pekerja-pekerja itu, termasuk pakaian dalam.

Dalam mengerjakan tugasannya, wanita itu, memerhatikan sesuatu yang agak menarik perhatiannya. Semua pakaian luaran hampir sama, kurang kotor, tetapi bagi pakaian dalam, dia mendapati perbezaan yang amat besar.

Semua pakaian dalam itu mempunyai kesan kotoran yang menjijikkan. Sama ada kesan najis, air kencing, dengan warna-warna yang menggelikan tekak, disertai dengan baunya amat kuat, walau sudah dipakai topeng muka. Terkadang darah kotor juga ada.

Tetapi pakaian dalam bagi pekerja Muslim itu, kelihatan suci. Tidak pernah dijumpai kesan-kesan najis dan kotoran yang teruk itu. Ianya menimbulkan kehairanan kepada wanita itu. Bagaimanakah hal ini berlaku? Apakah cara yang lelaki Muslim itu buat bagi menjauhkan segala kotoran.

Akhirnya wanita itu dapat bertemu dengan lelaki Muslim itu. Oleh kerana perasaan ingin tahu yang kuat, maka tidaklah dia malu untuk bertanya tentang hal keadaan yang beliau perhatikan itu. Dan bertanyalah dia, kerana apakah pakaian lelaki itu bersih, mengatasi semua yang lain.

Maka dijawab lelaki itu, ianya kerana Islam yang menyuruh untuk umatnya menjaga kebersihan. Diberitahu akan kewajiban mereka menghindari najis, menyuci kemaluan, dan pakaian yang terkena najis kerana mahu bersolat, menghadap Allah Yang Maha Esa, lima kali sehari.

Kelihatannya mudah, kerana sebagai Muslim, ianya wajib melakukan hal ini. Tetapi tidak bagi si Muslim yang jahil atau orang kafir. Maka dengan penjelasan mudah itu juga, wanita bukan Islam itu, mendalami Islam dan masuk Islam, hanya kerana seluar dalam yang bersih berbanding yang lain. Itulah hidayah Allah dalam waktu yang sama, ianya juga kewajiban kita menjaga kebersihan diri, bagi kesihatan kita juga.

Cerita benar ini diceritakan oleh seorang rakan dan kelihatan amat ringkas plotnya. Tetapi dari segi lain, ia merupakan suatu hal yang amat besar. Ia memberikan perbezaan yang khusus antara ajaran Islam yang mulia, dipraktikkan dengan ajaran lain yang mereka sendiri tidak tahu bagaimana mahu mengamalkannya.

Sering sudah kita mendengar ceramah perbandingan agama yang memberikan perbezaan yang amat nipis antara Islam dan agama lain iaitulah hanya tentang akidah, kepercayaan kepada Allah dan Rasul, tetapi mempunyai terlalu banyak persamaan dalam pengamalan ibadat lain.

Bagaimana disuruh bersuci dalam agama Islam, diperintahkan membantu orang miskin, berakhlak mulia, taat kepada kedua ibu bapa. Semuanya ini, bahkan kepada yang tidak percayakan tuhan juga mengakui bahawa hal ini adalah kebaikan yang mesti dipuji apabila dilakukan manusia.

Sudah kerap singgah di telinga kita berkenaan dengan Hadis yang menceritakan mengenai azab kubur hanya kerana si mati tidak membersihkan najisnya. Disuruh kita membasuh tangan dahulu ketika bangun tidur, diwajibkan makan yang halal dan baik sahaja. Betapa Islam memandang serius akan kebersihan.

Dan apabila dunia terkena dengan serangan penyakit di atas asbab tangan-tangan manusia ini, maka ketika itu, semua manusia akan berpaling dan mencari tuhan. Tidakkah anda tahu bahawa Lenin, si pembenci tuhan itu, apabila hampir kepada ajalnya menyebut “Oh my God” lantas mengejutkan ramai orang.

Apabila diberitahu yang makanan yang jijik seperti kelawar, ular, musang dan lain-lain itu adalah punca kepada serangan virus Corona, mereka segera mengeluarkan teori mereka, menempelak kembali. Malang bagi sesetengah manusia jenis ini apabila mempersoalkan takdir Allah sebegitu rupa.

Kata mereka, sudah ratusan tahun, malah sudah menjadi budaya mereka memakan makanan ‘eksotik’ itu, tetapi hanya beberapa kali sahaja yang terkena sebelum ini. Jika benar binatang itu membawa penyakit, maka mestilah setiap kali makan, mereka akan menerima akibatnya.

Amat mengelirukan jawaban seperti ini. Bala itu, bukanlah Allah akan timpakan setiap hari. Jika setiap kali manusia membuat dosa kemudian ditimpa bala, maka tiadalah manusia akan melakukan maksiat. Sama seperti mukjizat. Jika hari-hari mukjizat diberikan, ianya bukan lagi mukjizat, orang sudah tidak hairan lagi.

Allah melarang, kemudian memberi ingat dengan menghantar utusan, memberikan tanda-tanda kepada manusia. Kasih sayang Allah tidak bertepi. Dia mahu manusia bertaubat dan meninggalkan maksiat dahulu. Kemudian setelah manusia berkeras dan melampaui batas sebagaimana kaum-kaum terdahulu, baharulah azab diturunkan. Ia bukan semudah-mudahnya diturunkan.

Oleh itu jawaban bagi menafikan azab Allah yang sedang turun ini, amat menghairankan kerana buta kepada kuasa Allah. Tiadalah kita menyebut azab itu kerana ianya akan menjadi penawar yang ampuh kepada hati yang jahat dan lalai ini. Azab Allah tidak mengira sesiapa jika ia datang walau ada orang beriman di tempat itu. Perkataan azab itu membuat hati kita ini gerun dan insaf.

Kerana diamnya orang beriman itu, maka Allah mengizinkan azab itu diturunkan. Inilah yang seharusnya menjadi pegangan kepada kita semua umat Islam bahawa setiap malapetaka itu apabila ia datang, ianya mesti dlihat dari dalam kita dahulu, iaitu kesilapan, kelemahan dan dosa kita. Bukannya kepada orang lain.

Ia membantu kita merasa kerdil sebagai seorang hamba yang lemah dan tidak mempunyai apa-apa, tetapi dalam masa yang sama kita telah melakukan usaha-usaha yang besar bagi memartabatkan agama Allah ini kepada seluruh umat manusia. Usaha kita digandingkan bersama dan menghormati satu sama lain. Inilah sifat orang yang benar-benar beriman.

Jika kita hanya tahu menyalahkan usaha orang lain, atau kita masih belum dapat menghadamkan bahawa azab Allah itu ada dan benar-benar wujud, maka dibimbangi, kita lebih hina dari seluar dalam yang penuh dengan najis dan kekotoran itu. Sekurang-kurangnya, sehelai seluar dalam telah berjaya menyedarkan bukan Islam akan keindahan Islam ini dan menjadi asbab kepada kembalinya kepada Allah.

Maka konsep amar makruf nahi mungkar adalah konsep yang dipraktikkan oleh para Rasul dan kemudiannya diikuti oleh para sahabat, tabiin dan kemudiannya ulamak. Tidak boleh dibuangkan kaedah ini bagi membendung maksiat. Siapa yang mencari jalan yang lain, dia pasti gagal. Dan kuasa pemerintahan ialah kuasa terbesar dalam memastikan amar makruf, nahi mungkar itu dilaksanakan.

MOHD NASIR ABDULLAH – HARAKAHDAILY 1/2/2020

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.