PAS mahu dunia bela nasib Uyghur

- Advertisement -

PAS melalui Lujnah Hal Ehwal Antarabangsa dan Hubungan Luar PAS Pusat menerima kunjungan badan bukan kerajaan (NGO) antarabangsa yang memperjuangkan nasib dan perihal masyarakat Uyghur di China. Kunjungan ini amat bermakna kerana membolehkan PAS mengetahui dengan lebih tepat dan jelas mengenai permasalahan yang menimpa bangsa Uyghur seperti yang diketahui umum.

Lujnah Hal Ehwal Antarabangsa dan Hubungan Luar PAS Pusat diwakili oleh Tuan Haji Hussin Ismail, YB Ustaz Yusni Mat Piah, Tuan Haji Adram Musa, Mohd. Khidir Izuddin dan Syaiful Hizam. Manakala NGO East Turkistan Education and Solidarity Association yang berpangkalan di Istanbul, Turki diwakili oleh Abdulvaris Hatem manakala NGO East Turkistan Australia Association yang berpangkalan di Australia diwakili oleh Nurmuhammad Najid.

PAS melihat perkembangan yang berlaku ke atas nasib bangsa Uyghur dengan cukup teliti dan mendalam. PAS juga merasakan bahawa bangsa Uyghur perlu pembelaan dan perhatian daripada masyarakat antarabangsa terutamanya daripada Dunia Islam. Kita tidak mahu apa yang berlaku di Bosnia Herzegovina satu ketika dahulu di mana telah berlaku pembunuhan kejam dan sistematik dalam usaha penghapusan etnik oleh Serbia turut sama berlaku ke atas bangsa Uyghur.

Dunia Islam perlu sedar dan bingkas bangun membantu saudara seagamanya yang dalam kesusahan. Di saat ini, bukan sahaja bangsa Uyghur menerima nasib buruk di negara mereka sendiri tetapi ia juga turut berlaku di Rakhine, Myanmar di mana bangsa Rohingya dibunuh dengan kejam, ditindas dan dihalau dari kampung halaman dan tanah air mereka sendiri. Di saat ini banyak tempat di seluruh dunia di mana umat Islam adalah minoriti berlaku penindasan dan kekejaman ke atas mereka terutamanya bersangkutan Islamophobia.

Apa yang diharapkan adalah nasib buruk yang menimpa bangsa Uyghur perlu diberi perhatian yang sewajarnya dari Dunia Islam. Sikap membisu badan induk yang mewakili Dunia Islam seperti OIC telah banyak memberi ruang kepada pemerintah yang kejam dan zalim untuk menindas umat Islam di negara mereka. Wajarnya jika begini keadaannya, OIC perlu diterajui oleh muka baru yang segar untuk membela nasib umat dan Dunia Islam di seluruh dunia.

Sama-sama kita membantu dan prihatin atas nasib yang menimpa bangsa Uyghur di China. Harapannya agar Dunia Islam yang prihatin diberi peluang untuk membantu demi untuk kelangsungan mereka. Yang pasti masih ada yang prihatin dan mengambil berat ke atas nasib Dunia Islam dan umatnya. Moga PAS diberi ruang dan kekuatan untuk membantu saudara seagama yang sedang ditimpa kesusahan dan kesukaran di Uyghur, China.

MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Pengerusi Lujnah Antarabangsa PAS Pusat
ADUN Batu Burok – HARAKAHDAILY 25/1/2020

- Advertisement -
- Advertisement -