Luas dan giatkan lagi kempen BMF

- Advertisement -

TAMBUN: Ekonomi Islam mesti terus diperkukuh khususnya melalui pelbagai urusan seharian melibatkan penggunaan bekalan bahan mentah di dapur, termasuklah juga perkhidmatan telekomunikasi, penghantaran ekspres dan seumpamanya.

- Advertisement -

“Utamakanlah produk dan perkhidmatan Muslim semaksimum mungkin yang juga mendidik kita untuk saling bantu-membantu sesama kita disamping memastikan ianya halalan toyyiba serta akan mengukuhkan ekonomi Islam.

“Kempen BMF sepatutnya disokong semua pihak dan bukannya bertindak menghalang pelaksanaannya sepertimana surat arahan kepada masjid-masjid seluruh negeri Perak,” ujar Yang DiPertua PAS Kawasan Tambun, Ustaz Md Salleh Said.

Beliau sebagai berkata demikian ketika ditemui wartawan selepas Majlis Perasmian Serentak Mesyuarat Agung Tahunan Cawangan-Cawangan PAS Kawasan Tambun di Dewan Ghazain, Meru Point, Ipoh, di sini baru-baru ini.

Menurut beliau lagi, sepatutnya segala usaha untuk kebaikan sesama Muslim mestilah disokong dan bukannya dihalang kerana ianya suatu dakwah dalam muamalat Islam yang mesti dikuasai oleh orang Islam keseluruhannya.

Gerai jualan yang menampilkan perkhidmatan dan produk buatan Muslim turut dibuka dan mendapat sambutan menggalakkan bersempena majlis tersebut yang disempurnakan oleh Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Ustaz Sallehen Mukhyi.

Sementara itu, menurut Pengerusi Lajnah Ekonomi, Hartanah dan Pembangunan Usahawan (LEHPU) PAS Tambun, Noor Hisham Mokhtar, pelbagai produk dan perkhidmatan telah tersedia oleh orang Islam hari ini.

“LEHPU PAS Tambun komited untuk terus membantu para usahawan Muslim mengketengahkan produk atau perkhidmatan Muslim dan terus mempromosikan kepada pengguna.

“Pelbagai platform telah dan sedang dilaksanakan untuk manfaat keseluruhan masyarakat dengan asas, jika tidak dapat buat semua, jangan ditinggalkan semua,” pesan Noor Hisham. – HARAKAHDAILY 17/1/2020

- Advertisement -