Isu benih padi: Kerajaan perlu bertanggungjawab

- Advertisement -

SAYA cukup terkilan dengan isu pesawah yang kerugian RM4.5 juta disebabkan oleh kelewatan pengagihan benih padi sedangkan mereka amat bergantung kepada subsidi benih padi yang diberikan oleh Kerajaan. Isu ini telah saya suarakan di Dewan Rakyat dan hari ini ia benar-benar berlaku. 

- Advertisement -

Kementerian Pertanian dan Industri Asas Padi seharusnya memastikan benih padi yang disalurkan benar-benar sampai kepada pesawah tepat pada masanya.

Kelewatan pengagihan benih padi memberi impak yang besar bukan sahaja kepada mereka malah kepada hasil pengeluaran beras negara.  

Para pesawah bukan sahaja menghadapi masalah kekurangan bekalan, malah bekalan yang diterima kurang berkualiti turut membawa implikasi negatif kepada hasil beras tempatan.

Saya khuatir perkara ini memberi kesan kepada sasaran Kerajaan bagi meningkatkan tahap sara diri beras atau SSL negara. 

Berdasarkan jawapan lisan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani pada sidang Dewan Negara baru-baru ini, tahap sara diri beras masih pada paras 70 peratus dan ia agak mustahil untuk mencapai sasaran Kerajaan iaitu 75 peratus bagi tahun 2020 jika isu pengagihan serta penambahbaikan kualiti benih padi tidak diselesaikan.

Pengeluaran padi sepatutnya mencapai 70 peratus hasil beras tempatan dan hanya 30 peratus sahaja adalah beras import namun kualiti beras tempatan yang semakin berkurang mendorong kepada permintaan beras import yang lebih tinggi.

Selain itu, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani seharusnya bertanggungjawab terhadap isu kelewatan pengagihan benih dengan segera memberi pampasan kepada pesawah bagi menampung kerugian yang dialami.

Maka, kerajaan sepatutnya lebih prihatin terhadap isu para pesawah dengan segera membendung masalah agihan benih padi dan segera mencari inisiatif baru bagi meningkatkan kualiti benih padi agar kebergantungan beras import dapat dikurangkan sekaligus dapat membantu para pesawah meningkatkan hasil pendapatannya. 

“Islam Memimpin Perpaduan”
YB SHAHARIZUKIRNAIN ABDUL KADIRAhli Parlimen Setiu – HARAKAHDAILY 9/1/2020

- Advertisement -