Isu tanglung: Sekolah bukan gelanggang juarai politik

- Advertisement -

PAS Kawasan Subang terpanggil untuk mengulas isu kontroversi hiasan tanglung sempena Tahun Baru Cina di Sekolah Menengah Kebangsaan Pusat Bandar Puchong 1 di Puchong.

Ternyata hubungan antara kaum kebelakangan ini agak tidak harmonis apabila sikap toleransi dan hormat-menghormati sesama kaum dan agama semakin terhakis khususnya di bawah Kerajaan PH.

Sikap curiga-mencurigai dan syak-wasangka antara satu sama lain yang mula muncul sesungguhnya tidak sihat dalam hubungan antara kaum dalam negara ini dan malangnya Kerajaan PH gagal menanganinya.

PAS Subang merasakan isu ini sebaiknya diselesaikan dengan rundingan dan dialog yang harmonis antara semua pihak berkepentingan khususnya PIBG dan pentadbiran sekolah tanpa perlu campur tangan politik apa lagi penglibatan TPM dan Menteri Kabinet serta Exco Kerajaan Negeri.

- Advertisement -

Isu ini sewajarnya diselesaikan dengan meletakkan kepentingan negara di hadapan tanpa ada pihak yang perlu mendakwa telah menang atau kalah.

Sekolah adalah institusi penting membina dan membentuk perpaduan kaum dan agama demi membina sebuah negara yang bersatu-padu. Ia jangan dijadikan gelanggang menjuarai agenda politik mana-mana pihak.

Semoga kes terpencil seumpama ini tidak berulang dan rakyat di semua peringkat dididik bermuafakat dan bertolak ansur setiap masa demi negara tercinta.

HAJI ROSLAN SHAHIR DATO’ MOHD SHAHIR
Yang DiPertua PAS Kawasan Subang
9 Januari 2020 – HARAKAHDAILY 9/1/2020

- Advertisement -