Tukar status tanah: Ikut keperluan negeri dan rakyat

    - Advertisement -

    TANAH pertanian boleh dimohon untuk ditukar syarat kegunaan kepada tanah bangunan atau rumah kediaman. Tidak ada peraturan yang menyatakan tak boleh tukar. Pertambahan penduduk menyebabkan keperluan kepada perumahan baru dan pembangunan adalah difahami.

    Tapi dalam masa yang sama, tanah pertanian mesti dipelihara kerana ini adalah jelapang makanan negara. Hilang tanah pertanian bermakna periuk nasi kita semakin kemik. Kita perlukan kediaman sebagai keperluan asas kehidupan, dalam masa yang sama kita juga perlu makan. Food security antara tanggungjawab utama kerajaan.

    Setiap kali ada permohonan tukar syarat, pandangan dan ulasan jabatan berkenaan akan diminta sama ada menyokong atau menolak. Di antaranya Pejabat Tanah Daerah, Jabatan Pertanian, Majlis Daerah, Jabatan Perancang Bandar dan Desa serta Pejabat Tanah dan Galian Negeri. Akhirnya Mesyuarat Exco akan membuat keputusan akhir sama ada lulus atau tidak.

    Antara pertimbangannya ialah, kerajaan akan merujuk kepada Rancangan Tempatan Daerah (RTD) yang telah menentukan kawasan tersebut dizonkan sebagai zon pertanian, zon perumahan kediaman, zon perniagaan, zon kawasan industri, zon kawasan badan air, zon kawasan lapang atau lain-lain zon. Soal kewujudan kemudahan asas seperti jalan raya, bekalan elektrik dan air juga diambil kira.

    Kita memberi perhatian serius untuk mengekalkan kawasan yang masih digunakan sebagai zon pertanian aktif dan kawasan jelapang padi IADA KETARA untuk kekal sebagai zon pertanian.

    Selalu timbul dilema bagi mereka yang terlibat dalam bidang pemaju perumahan atau jual tanah lot apabila buat kerja tak ikut aturan sepatutnya. Mereka siap tambun dulu tanah pertanian dan ada kes yang dah ambil duit dari pembeli tanah lot. Lepas tu baru nak mohon tukar syarat. Bila ciri-ciri tanah yang dimohon tukar syarat tak mendapat sokongan jabatan berkaitan untuk diluluskan, mulalah mereka garu kepala yang tak gatal dan berulang kali mari merayu.

    Saya bertanggungjawab untuk jaga periuk nasi rakyat Terengganu. Tentunya kepentingan jangka panjang rakyat akan lebih diutamakan. Di sini perlu ketegasan.

    DR AZMAN IBRAHIM
    Exco Pertanian, Industri Asas Tani
    dan Pembangunan Desa Terengganu – HARAKAHDAILY 31/12/2019

    - Advertisement -
    - Advertisement -