K’jaan disyor tubuh Suruhanjaya Perkhidmatan Kesihatan

Pemansuhan BIPK boleh bantutkan kualiti perkhidmatan perubatan dan kesihatan

- Advertisement -

BERIKUTAN pekeliling Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bertarikh 20 Disember lalu untuk memansuhkan Bayaran Insentif Perkhidmatan Kritikal (BIPK) kepada doktor, jururawat, jurutera dan profesional lain yang menyertai perkhidmatan awam bermula tahun depan telah mengundang pelbagai reaksi masyarakat.

Lajnah Kesihatan PAS mengambil perhatian terhadap isu ini.

Antara alasan yang dinyatakan oleh pihak JPA, langkah ini dibuat memandangkan pemberian BIPK ini tidak lagi menepati kriteria pemberian asal iaitu perkhidmatan yang sukar dipenuhi perjawatannya.

Sebelum ini, Malaysian Medical Association telah memaklumkan bahawa para doktor dan jururawat di hospital dan klinik berisiko mengalami ‘burnout’ disebabkan kekurangan staf dan tekanan kerja yang tinggi. Ini adalah berdasarkan Laporan Jabatan Audit Negara yang mendapati perkhidmatan kesihatan di seluruh negara terutama di jabatan kecemasan tidak cukup bajet, kemudahan  dan tenaga kerja.

Bahkan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefli Ahmad pernah menyatakan sektor kesihatan di negara ini berada di tahap ‘sangat memerlukan’ penambahan kakitangan bagi menampung bebanan kerja yang semakin meningkat. Menurut Timbalan Menteri Kesihatan pula, Dr Lee Boon Chye menyatakan nisbah seorang doktor kepada pesakit adalah 1:520, masih lagi jauh untuk mencapai sasaran seorang doktor bagi 450 pesakit.

Tindakan memansuhkan BIPK ini secara tidak langsung akan mengundang kepada ramai yang tidak berminat lagi kepada profesion ini sedangkan hospital dan klinik masih lagi kekurangan kakitangan perubatan. Di samping, ia juga mewujudkan suasana ketidakadilan dalam perkhidmatan di mana segolongan kakitangan mendapat emolumen yang jauh lebih tinggi daripada rakan sejawat mereka dalam tangga gaji yang sama.

Jika langkah ini dibuat sebagai langkah penjimatan, ia tidak banyak membantu ekonomi negara pun, sebaliknya akan membantutkan kualiti perkhidmatan kesihatan dalam negara.

Kerajaan tidak sewajarnya menghukum para penjawat awam atas kegagalan kerajaan mencari sumber hasil ganti atas perlaksanaan SST yang menggantikan GST.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mengaku pada Oktober 2018 bahawa berikutan perlaksanaan SST, hasil kerajaan berkurang RM21 billion pada tahun tersebut.

Tambahan lagi, keadaan ekonomi negara juga semakin merosot sehingga Malaysia jatuh dua tangga dalam Global Competitiveness Report (GCR) 2019. Pelabur-pelabur mula tidak yakin dan lari dari melabur di Negara ini.

PAS tidak bersetuju dengan GST tetapi PAS telah menawarkan gantian kepada GST semasa PRU14. Tetapi ia telah tinggal sejarah kerana selepas PRU14, ekonomi dan pasaran saham yang merudum memburukkan lagi keadaan.

Pilihan yang kerajaan ada ialah sama ada meneruskan langkah berjimat dan mencengkam rakyat yang paradoks dengan janji populis pilihan raya mereka atau mengembalikan GST dengan kadar yang berkurangan.

Walau apapun, tenaga kerja di bidang kesihatan kritikal bukan sekadar disebabkan pengisian jawatan tetapi juga beban tanggungjawab mereka dalam menjaga kesihatan rakyat. Rakyat yang sihat akan menjadikan negara lebih produktif.

Malah PAS merasakan, perkhidmatan kesihatan perlu berada di bawah suruhanjaya perkhidmatannya yang tersendiri dan tidak lagi di bawah Jabatan Perkhidmatan Awam. Ini disebabkan kemudahan, jumlah kakitangan dan bajet yang terlalu besar di samping kepentingannya yang kritikal mewajarkan supaya Suruhanjaya Perkhidmatan Kesihatan di bentuk bagi menambah mutu perkhidmatan.

PAS juga merasakan Kementerian Kesihatan perlu meneroka penggunaan premis Hospital Pakar Swasta di dalam melatih doktor-doktor siswazah bagi mengatasi penempatan doktor-doktor pelatih ini. Pengecualian cukai boleh difikirkan bagi institusi swasta yang berminat dengan kriteria yang dipersetujui bersama untuk kepentingan negara.

Jika alasan kelebihan doktor siswazah masih juga dikira, PAS merasakan satu langkah drastik yang pahit perlu diambil bagi membatasi pengeluaran graduan perubatan di seluruh negara. Satu model penggabungan institusi-institusi ini perlu dilakukan sepertimana negara pernah menggabungkan institusi perbankan dalam menghadapi kemelut kewangan negara pada akhir 90-an.

DR MOHD MAZRI YAHYA
Pengerusi
Lajnah Kesihatan PAS Pusat – HARAKAHDAILY 28/12/2019



Rujukan:
https://www.bharian.com.my/rencana/komentar/2019/08/593616/tangani-kekurangan-doktor-pakar-hospital-kerajaan

- Advertisement -
- Advertisement -