Sumbangan kedua PAS Kulai untuk mangsa banjir

- Advertisement -

KULAI: PAS Kawasan Kulai sekali lagi telah memberikan sumbangan pasca banjir dan kali ini bertempat di Surau Kampung Sungai Siam, di sini hari ini.

- Advertisement -

Surau ini juga merupakan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sungai Siam yang telah menempatkan 26 keluarga sepanjang banjir pertama dan kedua tempoh hari.

Sumbangan tersebut bertujuan meringankan beban perbelanjaan harian keluarga mangsa banjir ditambah lagi sedang dalam persiapan untuk sesi persekolahan yang akan bermula beberapa hari lagi.

Sumbangan telah disampaikan oleh Timbalan Pengarah Khidmat Malaysia Johor, Ab Aziz Abdullah diiringi Yang DiPertua dan Naib Yang DiPertua PAS Kulai, Abdul Aziz Jaafar dan Wan Razali Wan Din.

Juga bersama semasa serahan itu adalah Pengerusi Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Kulai, Mat Yassim Mahmood dan Ketua Umno Cawangan Sungai Siam, Saharuddin Sahar.

“Banjir pada kali ini agak lama kerana ada dua kali banjir di mana yang pertama air bertakung selama tiga hari dan yang kedua lima hari.

“Kami mengucapkan berbanyak terima kasih kepada PAS Kawasan Kulai kerana sudi memberikan sumbangan kepada mangsa banjir khususnya penduduk kampung kami,” ujarnya Saharuddin. – HARAKAHDAILY 28/12/2019

- Advertisement -