Sugarbook: Hilangnya moral di era Malaysia baru

- Advertisement -

DEWAN Pemuda PAS Malaysia (DPPM) menzahirkan kekecewaan yang teramat atas kewujudan iklan aplikasi tidak bermoral ‘Sugarbook’ pada papan billboard di ibu kota Kuala Lumpur. Iklan tersebut secara jelas mempromosi budaya pelacuran atau ‘Sugar Daddy’ kepada warga Malaysia, yang majoritinya beragama Islam.

DPPM menegaskan bahawa isu ini bukanlah sekadar ‘salah pasang’ atau ‘terlepas pandang’, bahkan lebih buruk, ia adalah isu moral yang sepatutnya menjadi perhatian seluruh masyarakat, sama ada beragama Islam atau bukan Islam. Menurut pengasas aplikasi tersebut dalam wawancaranya pada Febuari 2019, keahlian TheSugarbook pada waktu itu sudah menjangkau 300,000 orang, dengan majoritinya merupakan warga Malaysia! 70 peratus dari mereka adalah wanita muda yang mencari Sugar Daddies, dan majoritinya adalah golongan pelajar. Manakala 30 peratus dari mereka adalah golongan lelaki dari lingkungan usia 30 hingga 45 tahun yang mencari Sugar Babbies. Mereka terdiri dari berbagai kaum, majoritinya berbangsa Cina tetapi ada juga yang berbangsa Melayu dan beragama Islam.

DPPM menegaskan bahawa isu iklan di Billboard bukanlah isu pokok, tetapi yang lebih penting adalah bagaimana aplikasi ini boleh wujud dan menarik ramai anak gadis kita terjebak dengan budaya pelacuran kelas atasan. Isu Sugar Baby – Sugar Daddy ini bukan sahaja bertentangan dengan ajaran agama dan moral, malah ia meruntuhkan institusi kekeluargaan, menggalakkan budaya seks bebas serta menjurus ke arah kemaksiatan yang seterusnya membawa kepada kesan-kesan sampingan yang lebih buruk, seperti penularan HIV atau AIDS dan penyakit kelamin lain, serta pembuangan anak hasil zina.

DPPM menggesa kerajaan, khususnya Kementerian Komunikasi dan Multimedia (MCMC), Kementerian Dalam Negeri (KDN), Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dan badan-badan yang berkaitan untuk mengambil tindakan tegas bagi menghalang budaya ini dari terus menular dan merosakkan anak bangsa. Perkhidmatan yang dibawa oleh aplikasi Sugarbook adalah perkhidmatan yang merosakkan, serta bercanggah dengan prinsip kelima Rukun Negara: Kesopanan dan Kesusilaan.

Masyarakat juga digesa agar sama-sama turut membanteras gejala tidak bermoral ini dengan menggiatkan kempen kesedaran, mendekatkan diri dengan ajaran agama, serta menolak budaya seks bebas yang dibawa oleh aplikasi ini. Masyarakat harus menyatakan bantahan secara vokal bagi perkhidmatan aplikasi ini dan perkhidmatan-perkhidmatan lain yang tidak bermoral demi masa depan anak bangsa kita.

DPPM akan terus menentang segala unsur kemungkaran dan perbuatan tidak bermoral seperti aplikasi perkhidmatan Sugarbook dari bertapak di negara kita. DPPM bertegas bahawa prinsip moral dan kesopanan adalah suatu elemen terpenting dalam membina sebuah negara Malaysia yang bertamadun. Kerajaan harus mengambil tindakan tegas bagi menghalang budaya yang boleh merosakkan nilai moral dan kesopanan di negara ini.

AFNAN HAMIMI TAIB AZAMUDDIN
Naib Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Malaysia – HARAKAHDAILY 22/12/2019

- Advertisement -
- Advertisement -