Kristian mazhab mana anutan Hannah Yeoh?

- Advertisement -

SAYA mempunyai ramai rakan-rakan daripada kalangan mereka yang beragama Kristian, terutama dari Filipina. Terkadang saya ada juga bertanya tentang beberapa perkara utama berkaitan dengan agama mereka. Sebenarnya sangat ramai di antara mereka yang sendiri tidak faham dengan agama anutan mereka itu. Tetapi oleh kerana sudah turun temurun mereka menjadi Kristian, maka ianya adalah agama keturunan. Tidak jauh bezanya dengan kita. Tak belajar, mana nak tahu, kan?

Sefaham saya, antara mazhab utama dalam Kristian ini, iaitu Orthodoks, Katholik, Protestan dan juga Evangelis. Ada lagi yang lain, tetapi inilah yang biasa kita dengar. Banyak perkara yang membezakan mereka antara satu dengan yang lain. Mereka juga saling menyesatkan antara mereka. Tidak mengiktiraf sesama mereka kerana pertelingkahan dalam kefahaman. Namun, mereka ada beberapa rukun asas yang disepakati mereka dalam beragama.

Injil mereka, walaupun banyak versi seperti John, Luke, Mathhew, Paul, ia ada persamaan asasnya. Kitab Injil kalau mengikut panggilan al-Quran, dan dinamakan Bible oleh penganut Kristian mengandungi ajaran-ajaran yang mengajak manusia ke arah kebaikan. Kecuali dengan dua perkara utama yang membezakan Islam dan Kristian iaitu mereka menyekutukan Allah dengan yang lain dan tidak mahu mengakui bahawa Nabi Muhammad itu pesuruh Allah. Manakala hal-hal kebaikan sebagai seorang manusia, hampir sama dengan Islam.

Ia kerana agama asal mereka Nasrani ini adalah agama Samawi yang kita sebagai umat Islam, wajib mempercayainya. Termasuk dalam rukun iman mempercayai kitab Injil. Perubahan yang dilakukan oleh paderi-paderi mereka, bukanlah secara total. Ianya hanya kepada perkara aqidah, yang sekali gus menyesatkan mereka. Manakala peraturan-peraturan seperti jangan membunuh, jangan mencuri, jangan berkhianat, masih berada dalam kebersamaan dengan Islam. Terbukti dengan ajakan Rasulullah kepada pembesar-pembesar Kristian iaitu kembali kepada ‘kalimatan sawa’ iaitu kalimah yang sama.

Titik pertemuan ini, ialah akhlak, jika kita benar-benar mengambilnya sebagai satu ikatan, maka kita akan melihat betapa Nabi ialah yang paling utama ialah akhlaknya. Rasulullah sendiri sudah acap kali diberitakan sebagai seorang yang mempunyai akhlak yang terpuji, sama ada oleh lidah manusia, mahupun daripada ayat-ayat suci al-Quran. Dipuji Baginda sebagai al-Amin dan nama Baginda sendiri membawa maksud terpuji. Baginda berdakwah melalui akhlak Baginda. Baginda al-Quran yang berjalan.

Hannah Yeoh Tseow Suan yang begitu bangga dengan dirinya sebagai seorang Kristian dengan menjelaskan beberapa ciri kekristianan beliau dalam bukunya, gagal menterjemahkan akhlak yang sepatutnya dimiliki beliau untuk dipersembahkan kepada masyarakat, terutama masyarakat Islam. Dengan wajah yang dilihat lemah lembut, diangkat sebagai Speaker Wanita Pertama Dun Selangor sebagai mahu menunjukkan bahawa beliau seorang berwibawa, ianya sangat jauh daripada kenyataan.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, dengan niat yang sangat jahat, cuba mempengaruhi rakyat dengan memanipulasikan keadaan sebenar, apa yang berlaku di Parlimen baru-baru ini. Kerajaan hampir gagal mendapatkan kelulusan RUU perbekalan bagi Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. Ini kerana kehadiran ahli Parlimen PH yang kurang. Seramai 160 orang tidak hadir ke sidang pada waktu itu dan 107 nya ialah ahli Parlimen PH.

Sifir mudah matematik ialah ahli Parlimen PH lebih ramai daripada PAS dan BN dalam Parlimen. Jika mereka semua hadir, maka tidak akan timbul isu mereka boleh dikalahkan untuk mengundi, kecuali berlaku sabotaj seperti di Dun Melaka. Ianya tidak ubah seperti masuk ke toko beg tangan berjenama, tidak membawa wang yang cukup, tidak mampu membayar, kemudian tularkan kata toko itu tidak mahu kurangkan harga. Awaklah yang kena bawa wang yang cukup, dah tahu nak menang membeli, alah memakai.

Mana ada kedai beg tangan berjenama yang akan bagi potongan sewenang-wenangnya, kalau bukan pada hari jualan murah mereka? Pada tahun-tahun terdahulu, PH, tidak pernah menyokong sebarang bentuk pembentangan Bajet yang dibuat oleh BN. Malah mereka membuat pula Bajet mereka sendiri yang mereka dakwa lebih baik.

Hannah kemudiannya mengeluarkan kenyataan bahawa tindakan menentang oleh PAS dan BN itu adalah kerana mahu menghalang Bajet yang disediakan kerajaan kepada golongan OKU dan ramai lagi. Dengan menggunakan OKU bagi memancing simpati rakyat, maka jelas niat jahat Hannah untuk menutup kegagalan ahli Parlimen mereka yang tidak hadir, atau dengan bahasa mudah yang penyokong mereka guna dahulu iaitu suka ponteng, makan gaji buta.

Ini termasuklah Timbalan Perdana Menteri sendiri, bos kepada Kementerian itu. Negeri-negeri yang dikuasai PAS dan BN, meluluskan Bajet yang terdapat di dalamnya peruntukan-peruntukan kepada OKU dan sebagainya tanpa ia dijadikan polemik murahan bahawa PH juga ada yang menentang Bajet di negeri-negeri, menandakan PH juga cuba menghalang peruntukan disalur kepada OKU, sebagaimana Hannah lakukan. Pastinya ini contoh yang bodoh ini, tidak sesuai menjadi ikutan kepada golongan yang cerdik.

Ketika Bajet dibentang oleh BN dahulu, tentangan mereka tidak pula dikira dosa. PAS yang mengasingkan diri, dituduh dengan berbagai-bagai tuduhan. Tiada pula mereka menafsirkan bantahan mereka itu sebagai menghalang Bajet kepada OKU. Tetapi wakil BN berdisiplin. Mereka hadir. Tiada isu kerajaan kekurangan undi.

Dan sangat sesuai dengan kenyataan Ahli Parlimen Sik dan Rantau Panjang bahawa tindakan ini adalah amaran kepada ahli Parlimen PH yang suka ponteng. Biar mereka merasa malu. Namun bagi Hannah, ponteng mereka, ponteng berpahala, mungkin? Oleh itu Pembangkang disalahkan.

Rancangan mereka mahu memalukan Tun sebagai PM yang tidak mampu menguruskan kerajaan, sudah diketahui oleh orang ramai. Maka bagi mengalihkan pandangan itu, Hannah menunjukkan akhlak buruk dengan menuding jari kepada pembangkang, setelah usaha mereka gagal. Mereka masih takut untuk membuat undi tidak percaya kepada PM kerana tidak tahu bagaimana sokongan yang lain setelah Azmin begitu nakal bermain dengan Anwar. Jika benar mereka mahu mengangkat Anwar, pastinya Tun sudah boleh ditendang.

Maka jelas, Hannah tidak beramal dengan ajaran Kristiannya yang menyuruh melakukan kebaikan terhadap sesama manusia. Jangan berbohong, jangan mencuri, jangan membunuh dan lain-lainnya. Atau Hannah tidak tahu bahawa semua itu adalah dilarang dalam Kristian? Mungkin Hannah beramal dengan Kristian bermazhab lain? Atau lebih parah Hannah  sedang mengikut ajaran sesat dalam Kristian? Sama seperti ajaran Ayah Pin dalam Kristian? Sebab itu mungkin Hannah jauh tergelincir dari kehendak agamanya sendiri dengan berperangai hodoh sebegitu?

Saya sangat yakin dan percaya, tulisan saya ini yang melabelkan Hannah Yeoh sebegitu, akan diserang dan dihentam oleh ‘Muslim yang korup’ dalam PH kerana mereka percaya Hannah Yeoh seorang ‘kafir yang amanah’. Kita tunggu respon mereka sebab apabila orang Islam berbuat jahat, maka Islamlah yang jadi sasaran. Jadi apa salahnya kita mencuba juga.

MOHD NASIR ABDULLAH
1 Disember 2019 – HARAKAHDAILY 1/11/2019

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -
- Advertisement -