Pembaharuan dibawa PH penuh kepincangan

BAGAN SERAI: Pesuruhjaya PAS Negeri Perak, Razman Zakaria mencabar PH membubarkan Dun mahupun Parlimen bagi melihat perubahan semasa rakyat Malaysia seluruhnya pasca PRK P.165 Tanjung Piai.

Advertisement

Beliau selaku Adun Gunung Semanggol membidas hujah pincang Kerajaan PH Perak yang menolak keputusan PRK tersebut sebagai tidak menggambarkan keseluruhan kebangkitan rakyat di Malaysia ini.

Gesaan tersebut diutarakan beliau di pentas Pidato Perpaduan Ummah sempena Sambutan Ulang Tahun PAS Kali Ke-68 Peringkat Negeri Perak di Markas PAS Gunung Semanggol, di sini kelmarin.

“Perubahan ini benar-benar membuktikan rakyat sudah muak dengan Kerajaan PH. Pertama kali dalam sejarah kita diperlihatkan pihak kerajaan sendiri terkejut kerana tewas dengan majoriti yang besar dalam PRK.

“Rakyat sentiasa mengharapkan perkara baharu dalam pemerintahan mereka. (Tetapi) Sampai hari ini tiada satu benda baru pun yang mereka (PH) buat untuk negara. Bukan sahaja tidak membawa perubahan, malah telah merosakkan perkara-perkara yang sedia ada.

“Mereka mengisytiharkan bajet untuk kakitangan kerajaan di dalam Sidang Dun, namun bagaimana pula nasib sebahagian besar rakyat Perak yang kehidupan mereka bergantung kepada penoreh getah, nelayan dan bendang? Apa bonus yang mereka bagi?

“Cukuplah tiada pembaharuan yang mereka lakukan, jangan pula merosakkan perkara baik yang sedia ada,” bidas beliau yang menyenaraikan tindakan-tindakan Kerajaan PH hingga memberi kesengsaraan kepada rakyat.

Sehubungan itu katanya, Penyatuan Ummah antara PAS dan Umno merupakan anugerah Allah untuk sama-sama dipelihara dan dijadikan persediaan bagi memastikan PH dapat ditumbangkan pada PRU akan datang.

Yakini beliau, penyatuan bersama dengan agenda Muafakat Nasional itu mampu menerajui Kerajaan Negeri Perak kelak, bahkan dengan kedudukan selesa iaitu 40 kerusi daripada 59 keseluruhan negeri Perak.

“Orang bendang buat padi dalam setahun kebiasaan akan mendapat empat kali hasil dalam masa tempoh dua tahun. Kalau mereka (PH) boleh buat pembaharuan, sepatutnya hasil yang diterima adalah lima kali.

“Pelbagai bantuan yang diperoleh rakyat pada musim lalu sudah tidak diperoleh di era pemerintahan PH. Jika mahu buat pembaharuan, maka harus pembaharuan yang membawa kepada kebaikan, bukan pembaharuan ke arah yang lebih teruk.

“Kita tak ada masa lagi untuk biarkan PH rosakkan negara,” ujarnya menyeru sokongan rakyat untuk bersama mendukung hasrat tersebut. – HARAKAHDAILY 25/11/2019