Tolak usaha untuk sekularkan negara

- Advertisement -

CADANGAN Ahli Parlimen Kangar dari PKR, Amin Ahmad untuk menyemak semula dasar pengecualian cukai daripada bayaran zakat dalam erti kata mahu memansuhkannya adalah cubaan parti-parti dalam PH, khususnya PKR dan DAP untuk mengubah asas negara.

Cadangan ini perlu ditentang kerana ia merupakan usaha untuk memisahkan urusan agama dari urusan negara atau dalam erti kata lain untuk mensekularkan negara ini yang bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan Islam sebagai agama Persekutuan.

Mengikut Seksyen 6A (3), Akta Cukai Pendapatan (ACP) 1967, “Rebat hendaklah diberikan pada tahun-tahun taksiran untuk sebarang bayaran zakat atau tuntutan lain agama Islam yang mana pembayarannya wajib dan yang telah dibayar dalam tahun asas bagi tahun taksiran itu dan dibuktikan oleh resit yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa agama yang berkenaan yang ditubuhkan mengikut undang-undang bertulis”.

Tidak ada salah dan silapnya amalan memberi rebat cukai untuk bayaran zakat atau tuntutan lain agama Islam yang mana pembayarannya wajib seperti yang diamalkan sekarang kerana ia selari dengan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan.

Ahli Parlimen Kangar perlu ingat, cadangan begini bukan hanya akan menyusahkan penganut agama Islam tetapi akan menyusahkan juga penganut agama lain kerana jika amalan memberi rebat cukai untuk bayaran zakat ini dimansuhkan maka institusi, organisasi atau tabung untuk rumah ibadat dan kemajuan keagamaan yang menikmati tolakan dan pengecualian cukai di bawah subseksyen 44(6) Akta Cukai Pendapatan 1967 juga terpaksa dimansuhkan.

Apa yang sepatutnya perlu lebih ditekankan oleh parti-parti dalam PH ini sepatutnya bukanlah untuk menambahkan beban umat Islam supaya dua kali membayar zakat dan membayar cukai pendapatan, sebaliknya adalah memburu individu-individu dan syarikat-syarikat, termasuk mereka yang bergerak dalam gelap, yang langsung tidak membayar cukai.

Ahli-ahli Parlimen PH diingatkan bahawa Islam sebagai agama Persekutuan perlu didaulatkan antaranya dengan pemberian rebat cukai bagi pembayaran zakat ini. Tetapi malang sekali perkara ini tidak mampu dihayati oleh pemimpin PH yang dilihat lebih memperjuangkan hak samara untuk semua agama sekali gus mengenepikan keistimewaan Islam yang termaktub dalam Perlembagaan.

Amat wajar sekali rakyat Kangar bangkit membantah cadangan songsang Ahli Parlimen mereka ini.

Sekian.

“Islam Memimpin Perpaduan”

DATO’ DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI
Ahli Parlimen Kuala Nerus – HARAKAHDAILY 6/11/2019

- Advertisement -
- Advertisement -